Ahad, Mei 10, 2009

Selamat Hari Ibu

Assalamualaikum
Hari ini Hari Ibu. Namun begitu tidak semestinya hari ini sahaja kita ucapkan "Saya sayang ibu". Bagi saya di setiap solat dan doa saya tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan ayah dan ibu termasuk juga kedua mertua. Saya dikategorikan sebagai anak-anak zaman 60an. Kami jarang didedahkan dengan sambutan hari jadi dan lain-lainnya kecuali Hari Raya. Jadi kebiasaan untuk menuturkan "Saya sayang ibu / ayah " tu agak kaku. Saya tidak terkecuali. Entahlah saya rasa segan untuk menuturkannya walaupun di hati saya sentiasa sayangkan mereka. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Saya bukan jenis orang yang mudah menunjukkan perasaan sayang kepada sesiapa jua meskipun kepada suami. Teruk betul. Mungkin rasa malu yang tebal buat saya begini. Mungkin juga kerana saya tinggal dengan nenek yang sangat tegas sejak kecil. Ketegasan nenek buat saya seolah-olah keras hati namun sebenarnya saya sangat perasa orangnya. Malah ketika menonton cerita sedih atau melihat orang lain menangis pun saya sudah pasti menitiskan airmata. First impression rakan-rakan yang bertemu saya sering menyangka saya seorang yang sombong dan garang. Hehe...garang tu memang betul. Saya telah terdidik dengan ketegasan.

Pagi ini hanya anak bongsu yang mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada saya. Menjelang tengah hari sempat juga bertekak dengan saya... hehehe... Biasalah anak-anak. Anak-anak yang lain berada di luar dan mungkin terlupa. Alah... tak kisahlah tu yang penting mereka sentiasa doakan saya dan suami sejahtera dunia dan akhirat. Amin.

Buat mak di kampung, percayalah saya tetap sayangkan mak. Begitu juga abah. Saya tidak pandai meluahkannya dengan kata-kata. Cukuplah saya bisikan di angin lalu dan di hadapan Allah Yang Esa betapa saya sangat bertuah kerana mempunyai mak yang sangat penyabar. Meskipun abah seorang yang garang dan tegas, namun saya bangga kerana sikap abah yang mahu saya sentiasa berdikari membuatkan saya seorang yang tabah menghadapi setiap rintangan yang tiba. Sikap mak dan abah yang mahukan saya menjadi kakak sulung yang bertanggungjawab untuk melindungi dan memberi juga sudah dan akan saya laksanakan bukan sahaja kepada adik-adik sendiri, malah adik-adik ipar dan biras juga serta terhadap anak-anak sendiri.

Kini giliran anak-anak saya pula bermanja dengan mak dan abah untuk menggantikan tempat saya yang tidak tertunai dahulu. Seronok saya melihat anak-anak begitu manja dan rapat dengan abah dan mak. Mereka telah saya didik untuk tidak bersikap seperti saya yang malu menunjukkan kasih sayang. Gembira melihat anak-anak memeluk dan mencium mak dan abah kerana mereka adalah bayangan saya. Setiap kali melihat situasi ini saya sering teringat alangkah indahnya kalau saya seperti mereka ketika kecil dahulu. Perpisahan waktu kecil hingga ke usia remaja buat saya agak renggang dengan kedua orangtua. Namun di hati ini saya tetap akan menyayangi mereka dunia dan akhirat. Maafkan saya kerana tidak pandai meluahkan kata-kata secara berdepan. Cukuplah di sini saya membuatkan catatan buat mereka.

Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka

Ya Allah,

Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya,
atas didikan mereka padaku
dan Pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,

Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku,
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku,

jadikanlah itu semua penyebab rontotnya dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan perkenan-Mu ya Allah,
hanya Engkaulah
yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,

Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka
memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-Mu di tempat
kediaman yang dinaungi kemulian-Mu,
ampunan-Mu serta rahmat-Mu

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung,
serta anugerah
yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamin..

Tiada ulasan:

Worksheets