Rabu, September 06, 2006

Komponen Perkembangan Kognitif

Komponen Perkembangan Kognitif menjadi fokus utama dalam pendidikan awal kanak-kanak kerana keupayaan kognitif mempengaruhi semua aktiviti pembelajaran. Komponen ini memberi penekanan kepada pemupukan sikap positif terhadap sains dan matematik. Penguasaan asas kemahiran kognitif ini adalah penting untuk memahami sesuatu konsep dalam semua komponen Kurikulum Prasekolah Kebangsaan terutama dalam bahasa, agama dan moral serta kreativiti dan estetika. Kemahiran kognitif terdiri daripada pengelasan, konsep ruang, konsep nombor, proses sains dan penyelesaian masalah. Pengelasan ialah kemahiran paling asas untuk perkembangan kognitif iaitu kemampuan untuk mengenal pasti sesuatu ciri objek dan mengumpulkan objek tersebut mengikut ciri yang telah dikenalpasti. Ini diikuti dengan kemampuan murid untuk menyusun sesuatu objek mengikut dimensi dan urutan. Konsep ruang memberi kefahaman tentang lingkungan dan kedudukan objek dalam ruang. Untuk memahami konsep nombor pula, murid perlu menguasai kemahiran seriasi dan padanan satu dengan satu secara logik. Penguasaan kemahiran proses sains membolehkan murid berinteraksi dengan bahan dan fenomena alam serta memupuk sikap ingin tahu dan suka menyiasat. Kemahiran asas proses sains dikuasai dengan aktiviti memerhati, membanding dan membeza, mengukur, meramal dan inferens. Penyelesaian masalah adalah hieraki tertinggi dalam kemahiran berfikir. Kualiti penyelesaian masalah, bergantung kepada kemahiran membuat keputusan, berasaskan naluri atau sebab yang boleh diterima. Murid boleh dilatih membuat refleksi dan menilai keputusan yang telah diambil.

Murid menguasai kemahiran kognitif melalui interaksi sebenar dengan menggunakan pelbagai bahan maujud atau konkrit daripada pelbagai jenis bahan yang mudah didapati di sekeliling mereka seperti butang, guli, kotak, tutup botol, biji benih, batu dan daun. Murid memahami persekitarannya melalui pengalaman pembelajaran sebenar dan manipulasi yang berulang-ulang.

Objektif
Komponen Perkembangan Kognitif membolehkan murid :
  1. Meningkatkan kemahiran berfikir dan kemahiran proses sains;
  2. Berfikir secara logik-matematik melalui manipulasi objek secara konkrit;
  3. Memperkembangkan sikap ingin tahu dan suka menyiasat; dan
  4. Memperkembangkan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian.

Tiada ulasan:

Worksheets