Rabu, September 06, 2006

Komponen Kerohanian dan Moral

Komponen Kerohanian dan Moral amat penting bagi pemupukan nilai Islam dan nilai murni masyarakat berbilang kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang percaya kepada Tuhan, berperibadi mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Komponen Kerohanian dan Moral mengandungi Pendidikan Islam untuk murid Islam dan Pendidikan Moral untuk murid bukan Islam. Pendidikan Islam memberi fokus kepada penyampaian ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Pendidikan Moral memberi fokus kepada penyampaian ilmu untuk menjadikan seseorang insan yang berakhlak mulia dan bermoral.

Kurikulum Pendidikan Islam
Kurikulum Pendidikan Islam prasekolah merangkumi aspek keimanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan ketatanegaraan. Tumpuan khusus kurikulum adalah kepada : Pembentukan akidah dan bimbingan asas Fardhu Ain, pemupukan amalan Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah yang dituntut oleh syariah Islam, penyuburan adab dan akhlak Islamiah ke dalam diri kanak-kanak, berteraskan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai contoh yang terbaik, pengenalan kepada asas Bahasa Al-Quran dan surah-surah pendek dari Juzu Amma dan pengenalan kepada tulisan jawi

Melalui ilmu, kemahiran dan amalan yang disarankan, Kurikulum Pendidikan Islam dapat menyumbangkan ke arah melahirkan murid Islam yang beriman, berilmu, berakhlak mulia, bertaqwa dan beramal soleh. Pendidikan Islam prasekolah dapat disampaikan melalui aktiviti bercerita, tunjukcara, latihan amali, nyanyian lagu dan nasyid, permainan, lakonan, penjelajahan, pemerhatian alam sekitar dan melihat kegiatan manusia. Sekolah digalakkan mengadakan lawatan di persekitaran sekolah, kebun bunga, tempat bersejarah dan mengadakan perkelahan di kawasan pemandangan semula jadi. Dengan cara ini, mereka dapat menikmati keindahan alam sambil mengenali tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan dan kebesaran Tuhan dan menjadikan pendidikan agama sebagai amalan dan perlakuan.

Penyampaian kandungan Kurikulum Pendidikan Islam hendaklah disepadukan dan diseimbangkan dengan lima komponen kurikulum prasekolah yang lain semasa pengajaran dan pembelajaran. Penyampaian yang berkesan mampu menanam asas keimanan dan membentuk murid agar mempunyai cita-cita yang tinggi, daya tahan, semangat juang, gigih berusaha dan mampu mempertingkatkan harga diri dan menyumbang kepada asas kemajuan masyarakat, bangsa dan negara.

Objektif
Kurikulum Pendidikan Islam membolehkan murid :
  1. Menyebut dan menyatakan asas-asas keimanan dan keislaman;
  2. Mengamalkan ibadah yang bersesuaian dengan peringkat umur;
  3. Mengenali sirah dan peribadi Rasulullah SAW, dan berusaha mencontohinya
  4. Mengamalkan adab dan akhlak yang mulia;
  5. Mengenali Al-Quran - bahasa dan hurufnya; dan
  6. Menghafaz dengan makna beberapa surah pendek dan doa harian.

Tiada ulasan:

Worksheets