Rabu, September 06, 2006

Komponen Perkembangan Fizikal

Komponen Perkembangan Fizikal memberi fokus kepada pertumbuhan dan perkembangan murid dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera untuk memupuk keyakinan diri dan membentuk personaliti yang positif. Komponen Perkembangan Fizikal memberi penekanan kepada tiga aspek penting iaitu :
  1. Perkembangan psikomotor;
  2. Kesihatan; dan
  3. Keselamatan.
Perkembangan psikomotor melibatkan penguasaan motor kasar dan motor halus. Penguasaan ini amat penting dalam pergerakan asas untuk membolehkan murid melibatkan diri dalam aktiviti fizikal dengan penuh yakin. Dalam aspek kesihatan, murid dilatih untuk mengamal cara hidup yang sihat dari segi mental dan fizikal melalui kebersihan, pemakanan yang seimbang dan cara menjauhkan diri dari penyakit. Aspek keselamatan pula membantu murid mengenal pasti objek dan situasi yang membahayakan diri dan mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil untuk bertindak.

Perkembangan Fizikal dapat dikuasai melalui aktiviti fizikal di dalam dan di luar bilik darjah dengan menggunakan pelbagai alat permainan yang disediakan. Aspek kesihatan dan keselamatan pula dapat dicapai melalui tunjuk cara oleh pihak yang berkaitan dengan kesihatan, lakonan dan lawatan ke Pusat Kesihatan dan tempat-tempat lain yang berkaitan.

Objektif
Komponen Perkembangan Fizikal membolehkan murid :
  1. Menyatakan kepentingan kesihatan diri;
  2. Membina kemahiran pergerakan asas dan kekuatan fizikal untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal;
  3. Mengamalkan cara hidup yang sihat dan selamat; dan
  4. Membina minda yang sihat dan cerdas.

Tiada ulasan:

Worksheets