Rabu, Oktober 15, 2008

Lagu Kanak-kanak

Kanak-kanak mempunyai daya kreativiti mereka sendiri. Mereka sebenarnya boleh mencipta lagu. Tidak percaya? Cuba anda perhatikan apakah yang sering murid-murid anda buat sewaktu masa terluang. Apa yang perlu anda buat adalah dengan merakam setiap perlakuan mereka di dalam kamera. Cuba lihat kreativiti murid-murid saya mencipta lagu mereka sendiri. Lagu itu pula akan dikaitkan dengan permainan yang akan mereka lakukan. Aksi mereka sempat saya rakamkan sewaktu menunggu van sekolah tiba sebelum pulang ke rumah. Jika kita kaji dunia mereka, pasti kita akan dapat mengimbau kembali zaman kanak-kanak kita dahulu. Sewaktu saya kecil dahulu dan bersekolah di kampung, banyak permainan yang dapat saya perolehi. Seronoknya zaman kanak-kanak. Ada kalanya saya rasa zaman pembelajaran ketika itu amat mudah sekali. Apa yang diajar guru adalah benda-benda yang paling dekat dengan alam sekeliling berbanding sekarang.... malah ada kalanya buat kita pening sepening-peningnya memikirkan cara bagaimana hendak menyampaikan isi pengajaran.

Saya teringat soalan seorang rakan di ruang chat blog ini yang bertanya tentang ciri-ciri haiwan jinak. Perlukah kita mengajar kepada kanak-kanak ciri-ciri itu? Semasa UPSR pun tidak ada soalan sebegitu akan keluar. Malah ketika di universiti dahulu pun tiada soalan yang diajukan tentang ciri-ciri haiwan jinak dan sebagainya. Apa yang perlu dijelaskan kepada kanak-kanak adalah perkara yang mudah mereka fahami. Konteks perkataan "ciri-ciri" itu pun boleh buatkan kita sendiri hilang kata-kata. Ada sesiapa di sini boleh jelaskan tentang ciri-ciri haiwan jinak? Adakah anda pernah sebut perkataan ini pada murid-murid anda? Apa yang saya buat adalah menunjukkan gambar sebenar haiwan jinak yang dekat dengan persekitaran murid. Saya lebih suka memudahkan pengajaran dengan hanya menyatakan haiwan jinak adalah haiwan yang boleh kita bela di rumah. Manakala haiwan liar merupakan haiwan yang boleh memudaratkan kita. Mudah bukan? Kepada anda yang bertanya, kalau untuk kefahaman murid, tunjukkan gambar, namakan haiwan itu dan nyatakan faedah yang boleh diberi oleh haiwan tersebut kepada manusia. Jangan serabutkan pemikiran murid anda dengan perkataan-perkataan yang bombastik yang boleh memerangkap anda sendiri untuk memberi penjelasan yang berjela-jela. Buatkan murid anda gembira dengan kaedah pengajaran anda yang bersahaja kerana bak kata orang putih (omputih) ... Learning Is Fun.

Tiada ulasan:

Worksheets