Isnin, Julai 28, 2008

Kreatif



Saya sangat meminati hasil seni. Sebenarnya saya sering gagal dalam ujian Pendidikan Seni sewaktu di bangku sekolah dahulu. Sewaktu di Maktab Perguruan Pasir Panjang (1984-86) saya sering menangis kerana tidak berupaya menyiapkan kerja-kerja seni dengan cemerlang. Malah saya pernah meminta bantuan pakcik yang memang handal dalam seni lukis. Sewaktu membuat hasil kerja pointilism, saya mendapat idea untuk membuat kerja saya lebih mudah. Saya menggunakan projektor OPEC di makmal Teknologi Pendidikan. Saya membesarkan gambar yang diambil dari surat khabar dan melakarkan wajah Tun Dr Mahathir dengan mudah. Kemudian saya menggunakan pen untuk membuat titik-titik pada lukisan. Pensyarah Pendidikan Seni saya ketika itu Mr John memuji hasil kerja saya. Gembira rasanya. Hari-hari pengajian saya di maktab dipenuhi dengan usaha cuba jaya.

Sewaktu ditukarkan di SK Pusat Bandar Lok Heng, saya tidak punya alatan untuk melukis. Lagipun saya ditempatkan di sekolah yang serba kekurangan ketika itu. Mesin fotostat tiada di sekolah. Saya sering merayu guru-guru yang pandai melukis untuk membantu saya membuat carta di kelas. Adakalanya mereka buat tak endah sahaja rayuan saya. Sedih rasanya. Saya cuba belajar melukis. Saya menemui pantograf. Saya lupa di mana saya mendapat alat tersebut. Dengan alat itulah saya belajar melukis. Sewaktu melahirkan anak ketiga pada tahun 1992, barulah saya benar-benar tahu melukis tanpa bantuan alat tersebut kerana sewaktu bercuti dalam pantang selama 40 hari saya melukis di rumah untuk menghilangkan kebosanan. Saya hanya pandai mewarnakan lukisan setelah anak bongsu saya belajar melukis di sebuah pusat seni di bandar kira-kira 4 tahun lepas. Anak saya telah membantu saya mempelajari teknik mewarna.

Kini kebanyakan bahan yang ada di kelas saya merupakan hasil kerja tangan saya sendiri. Saya jarang membeli bahan-bahan yang ada di pasaran. Semua bahan saya fotostat dan diwarnakan sendiri dengan bantuan Pembantu Pengurusan Murid, Puan Rosmizana. Beliau juga seperti saya yang di peringkat awal memang "kaku" maklumlah dia bekas pelajar di sekolah Arab!. Pelajar aliran agama memang tiada asas melukis. Kini kami berasa seronok kerana setiap hari melihat hasil kerja kami yang bermula dengan jari yang "kaku" dipamerkan disetiap inci kelas. Kami sentiasa belajar. Puan Rosmizana juga masih belajar bersama-sama anak-anaknya yang dihantar ke kelas tuisyen Seni di bandar Kota Tinggi.

Anda bagaimana? Jangan malu dengan kekurangan diri. Ayuh kita belajar untuk lebih kreatif dan dapat menjimatkan kos pembelian bahan bantu mengajar. Anda seronok, murid juga akan seronok.

1 ulasan:

Adi Presley berkata...

-Salam

Al-fatihah-Dato Tn.Hj Razali ex pgetua MPPP.

Sekian

Guitarist MPPP
http://www.youtube.com/adipresley

Worksheets