Selasa, Januari 23, 2007

23 Januari 2007

Semalam aku tidak membuat catatan untuk blog ini sebab sibuk melayari blog orang lain. Lagi pun semalam memang aku rasa malas sangat nak menulis ditambah pula keletihan mengemas rumah selepas banjir melanda. Suasana di bandar Kota Tinggi ibarat tsunami. Cuma yang aku pelik selepas banjir, suasana di bandar sangat meriah. Jualan lelong begitu banyak. Orangramai berasak-asak membeli seolah-olah lupa penderitaan yang sedang dialami malah bank juga tidak beroperasi. Mungkin duit mereka ambil dari bank di luar agaknya. Mungkin mereka dari luar kawasan banjir. Huh...lelong sakan. Kain langsir yang mahal itu hanya dijual dengan harga RM4 semeter!.

Eh, ini bukan cerita sebenarnya hari ini. Itu sekadar info sahaja suasana pasca banjir. Apa yang menarik hari ini ialah berkaitan murid aku, Nuraqilah Adlina (murid tahun lepas) yang kini berumur 5 tahun sudah tahu menulis namanya sendiri. Kalau tahun sudah dia banyak menggunakan huruf Q dan L sahaja untuk menulis namanya. Seronok aku melihat perkembangan dirinya. Kalau tahun lepas, dia hanya melihat rakan-rakan lain belajar dan dia hanya menconteng semua kertas yang aku berikan. Perkembangannya agak lambat malah sangat merisaukan aku kerana takut disalah ertikan seolah-olah tidak mengajar pula. Tahun lepas Aqilah lebih banyak bermain dari melakukan aktiviti menulis. Dia masih belum menguasai kemahiran mewarna...nak dipaksa takut dia enggan pula ke sekolah tetapi tahun ini memang drastik perubahan dirinya. Sayang Qila!


Aqilah murid yang agak pendiam. Jarang mendengar suaranya. Kalau tahun lepas, dia hanya akan menarik bajuku jika mahukan sesuatu. Hanya apabila dengan rakan-rakannya dia akan mula bercerita sekali-sekala. Perkataan yang mula-mula aku dengar ialah apabila dia berbual dengan kawan-kawannya. “ Hey, hey, nama aku Aqilah Adlina” dengan penuh beremosi. Sewaktu ayahnya baru pindah ke Putrajaya kerana dinaikkan pangkat, Aqilah bercerita ayahnya beli kereta baru. Sedangkan itu hanya khayalannya sahaja. Awal sesi persekolahan tahun ini... kisah yang mencuit hatiku ialah bila aku memujinya. Dia lantas bercakap kepada kawan-kawannya “ Cikgu kata aku pandai tau!” dengan mimik muka yang lucu sekali. Telatah Aqilah memang menghiburkan. Dia tidak pernah menangis di kelas sepanjang tahun walaupun waktu itu dia baru berumur 4 tahun. Itulah istimewanya Aqilah, seorang kanak-kanak yang comel dan menyenangkan mata memandang.

Tiada ulasan:

Worksheets