Khamis, Januari 11, 2007

11 Januari 2006

Radin Muhammad Fathi Daei baru nak datang ke sekolah hari ini. Menurut ibunya sejak Selasa lepas Daei susah dikejutkan dari tidur. Sebut sahaja sekolah, dia terus menarik selimut ke muka. Kenapa dia tidak mahu hadir ke sekolah? Inilah persoalan yang menghantui diriku. Semalam aku mengirimkan tanda nama kepada ibu Daei untuk ditunjukkan kepadanya. Berjaya! Daei mahu ke sekolah pagi ini. Namun di bilik guru puas juga aku memujuknya untuk masuk ke kelas. Akhirnya ibu Daei terpaksa menunggu sehingga pukul 8.00 pagi sebelum aku mengumpan perhatiannya dengan meminta Daei menunjukkan bekas penselnya kepadaku. Sementara Daei menunjukkan apa yang ada di dalam begnya, ibu Daei menyusup keluar dari kelas. Selepas itu Daei sudah boleh bermain dengan rakan-rakannya.

Hujan terus menerus sehingga ke tengahari. Sekejap lebat sekejap rintik-rintik. Aku bersoaljawab dengan kanak-kanak tentang diri mereka kerana minggu ini bertemakan Diri Saya. Sambil bersoaljawab tentang anggota badan kanak-kanak, aku selitkan lagu-lagu yang berkaitan. Antaranya:

Angkatlah tangan kanan,
Angkatlah tangan kiri,
Goyangkan kaki kanan,
Goyangkan kaki kiri.

Aku meminta kanak-kanak menggayakan bagaimana seorang askar sedang berbaris untuk mengukuhkan konsep kanan dan kiri. Gamat juga kelas seketika. Bila berbual tentang gigi, kami menyanyikan lagu berkaitan gigi. Seterusnya berbual tentang kaki dan mata serta telinga. Hmm, lagu apa nak kaitkan ya? Bila berbual tentang mata, kanak-kanak kaitkan tentang kegunaan mata iaitu untuk melihat. Maka keluarlah cerita melihat banjir dan apa yang menyebabkan banjir terjadi. Aku lantas teringat lagu:

Tanya sama pokok apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok, angin yang goncang,
Tanya sama angin apa sebab goyang,
Nanti jawab angin tanyalah awan.

Awan nanti kata, aku kandung air,
Sampai tempat teduh aku pun cair,
Tengok dalam air nampak bayang-bayang,
Campak satu batu bayang pun hilang.

Aku juga teringat lagu Bangau Oh Bangau dan mengajak kanak-kanak sama-sama menyanyikannya:

Bangau oh bangau,
Mengapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus,
Ikan tidak timbul (2X)

Ikan oh ikan,
Mengapa kau tak timbul?
Macamana aku nak timbul,
Rumput panjang sangat (2X)

Rumput oh rumput,
Kenapa panjang sangat?
Macamana aku tak panjang,
Kerbau tak makan aku (2X)

Kerbau oh kerbau,
Kenapa tak makan rumput?
Macamana aku nak makan,
Perut aku sakit (2X)

Perut oh perut,
Kenapa engkau sakit?
Macamana aku tak sakit,
Makan nasi mentah.

Nasi oh nasi,
Kenapa engkau mentah?
Macamana aku tak mentah,
Kayu api basah (2X)

Kayu oh kayu,
Kenapa engkau basah?
Macamana aku tak basah,
Hujan timpa aku.

Hujan oh hujan,
Kenapa timpa kayu?
Macamana aku tak timpa,
Katak panggil aku.

Katak oh katak,
Kenapa panggil hujan?
Macamana aku tak panggil,
Ular nak makan aku.

Ular oh ular,
Kenapa nak makan katak?
Macamana aku tak makan,
Memang makanan aku (2X)

Bila menyanyi lagu-lagu ini aku sering teringat zaman kanak-kanakku di akhir tahun 60an. Zaman masih dibelenggu kedaifan namun penuh keazaman untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Lagu Bangau oh Bangau banyak mengajar aku untuk tidak menyalahkan orang lain. Orang Melayu kena keluar dari konsep menyalahkan orang lain untuk terus maju dan bersaing dalam kehidupan ini. Ah dah melalut pula aku ni.

Tepat jam 10.45 pagi, semua kanak-kanak pulang ke rumah. Hujan tetap mencurah-curah membuatkan aku lapar. Mujur ada lagi nasi lemak di dapur lebihan kanak-kanak pagi tadi. Makan sajalah apa yang ada. Nak ke kantin? Sudah lepas waktu sarapan ni... dah tak ada makanan di situ. Kalau nak minum air suam bolehlah. Baik aku menghirup Nescafe di kelasku yang masih panas tu. Sekurang-kurangnya panas sikit badan.


Tiada ulasan:

Worksheets