Jumaat, Januari 12, 2007

12 Januari 2007

Hujan turun tidak berhenti-henti. Hari ini Izzat Zulhemi, Mohamad Nazim, Mohamad Afif, Natasha dan Amir Nazrul Ezzad tidak hadir ke sekolah. Rumah mereka telah dinaiki air dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Kota Tinggi dilanda banjir lagi dalam masa tidak sampai sebulan. Aku turut rasa fobia dan sukar melelapkan mata setiap malam apabila sahaja mendengar hujan mencurah-curah. Di kawasan tempat tinggalku, kawasan di belakang taman perumahan ini telah dinaiki air sejak pagi tadi. Malah anakku juga tidak dapat ke sekolah kerana jambatan Kota Tinggi tidak dapat dilalui. Kalau tiada aral melintang, esok aku akan ke bandar untuk merakamkan suasana banjir untuk tatapan pembaca.

Berbalik kepada suasana kelas, kira-kira pukul 8.00 pagi, ibu Mohd Irfan Zakri mengambilnya pulang kerana khuatir jalan untuk pulang ke rumah tidak dapat dilalui kerana air semakin naik. Beberapa orang guru juga tidak dapat hadir ke sekolah hari ini kerana terperangkap di kawasan yang dinaiki air. Suasana kelas agak sunyi hari ini kerana hero-hero yang ada di kelas tidak hadir hari ini. Terasa juga bila Nazim tidak datang kerana biasanya dialah yang sering mengingatkan kanak-kanak lain untuk segera menutup paip di sinki selepas mencuci tangan. Lucu betul budak tu. Dia akan menyuruh kanak-kanak lain menutup segera paip dengan berkata, "Nanti kena bayar banyak tau!". Nazim...walaupun baru berumur 5 tahun sudah tahu menilai kepentingan berjimat cermat dalam penggunaan air. Bila ditanya kepada ibunya, rupa-rupanya dia suka bermain air di rumah dan sering dinasihati ibunya dengan kata-kata sedemikian.

Jika hujan berterusan sehingga Isnin, aku khuatir pembantuku tidak dapat hadir ke sekolah kerana rumahnya sejak malam tadi sudah dinaiki air. Aku sempat menghantar SMS kepada rakan guru yang tinggal tidak jauh dari rumahku yang tidak dapat ke sekolah kerana terputus jalan perhubungan. Khusairi, guru prasekolah dari SK Nam Heng meminta aku mengambilnya pada hari Isnin kerana motornya sudah kehabisan minyak. Oleh kerana dia sudah kuanggap seperti anak/adik sendiri, aku sedia membantu. Yang penting dia boleh membantu aku mengajar pada Isnin depan supaya aku boleh memasak makanan murid-muridku seandainya Rosmizana tidak dapat ke sekolah. Hujan, hujan...bilalah kau nak berhenti?

Tiada ulasan:

Worksheets