Selasa, Mac 31, 2009

Kenapa saya suka mengajar di prasekolah?

Kenapa ya saya suka mengajar di prasekolah? Mungkin kerana sejak kecil saya sudah terbiasa menjaga adik-adik yang ramai. Saya juga suka kepada kanak-kanak terutamanya bila saat bosan, suka sangat menyakat mereka. Saya juga merasakan kanak-kanak lebih ikhlas dan telus dalam tuturkata mereka. Mereka juga sangat comel dan manja.

Kini saya merasakan kerja-kerja saya lebih mudah kerana setelah sekian lama berkongsi idea dengan rakan-rakan, saya dapat mengaplikasikan semua idea yang ada. Kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah juga membuatkan saya seronok berada di sini. Kepercayaan pihak pentadbir dalam mengurus kewangan kelas juga banyak membantu di mana kini saya telah mempunyai koleksi Bahan Bantu Mengajar yang banyak. Saya masih dalam usaha melengkapkan bahan-bahan yang ada supaya memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Dari hari ke hari saya banyak belajar perkara baru yang boleh saya gunakan di kelas. Azam saya untuk menjadikan kelas saya seolah-olah sebuah klinik yang serba lengkap di mana bahan yang ada hanya perlu dipilih sahaja untuk digunakan bila-bila sahaja diperlukan sewaktu mendiagnos masalah kanak-kanak.

Faktor usia juga menjadi sebab kenapa saya suka berada di kelas prasekolah. Kalau dulu saya adalah antara guru paling garang di sekolah. Semakin usia meningkat saya semakin “cool” walau ada ketikanya taring terkeluar juga. Sikap kanak-kanak yang manja membuatkan saya rasa amat disayangi dan dihargai.

Di peringkat awal sesi persekolahan memang mencabar tetapi dari hari ke hari kanak-kanak mula mengenali sikap saya. Mereka semakin minat belajar. Inilah yang membuatkan saya semakin seronok. Hadiah galakan yang sering diberi membuatkan kanak-kanak semakin berani mencuba.

Saya pernah mengajar di sekolah menengah dan duduk di kerusi pentadbiran. Kepuasan di prasekolah amat dirasakan kerana di akhir tahun saya dapat melihat hasil usaha saya selama 10 bulan persekolahan. Pengalaman mengajar di Tahap 1, Pemulihan Khas dan Pendidikan Khas juga banyak membantu saya meningkatkan mutu kerja. Pengalaman mengajar kanak-kanak bermasalah membuatkan saya sering mencari idea baru untuk mengekalkan minat kanak-kanak untuk belajar. Kejayaan mereka adalah kejayaan saya. Prinsip ini membuatkan saya sentiasa berusaha mencari idea-idea baru setiap hari.

Tiada ulasan:

Worksheets