Selasa, Mac 03, 2009

Masalah Murid

3 Mar 09, 15:32
azi: salam k.g. hari ni kat sekolah saya rasa putus harapan untuk mengajar murid pra. sudah berulang kali saya mengajar sukukata kata kv + kv dan bertanya pula apa huruf tersebut ......
3 Mar 09, 15:353
azi: tetapi tetap juga murid saya tidak mengenali huruf tersebut walupun sudah di ajar berulang kali. adakah pengajaran saya ini salah k.g atau murid tue sendiri yang memang susah untuk mengingat.
3 Mar 09, 15:39
azi: untuk pengetahuan k.g murid di sarawak ni mempunyai banyak masalah keluarga yang sangat berbeza berbanding murid di semenanjung. saya berasa kasihan juga melihat kebanyakkan murid tersebut.
3 Mar 09, 15:43
azi: sudahlah guru pra terikat dengan kia2m, ini amat membebankan saya dan memberi banyak tekanan k.g
Mar 09, 15:45
azi: tolong k.g bantu saya beri idea yang dapat membangkitkan semangat saya untuk membantu murid bumi kenyalang ni...???/


Assalamualaikum...
Bagaimana ya nak jawab soalan Azi ni? Sebenarnya banyak sebab kenapa murid kita kurang dapat menguasai apa yang kita ajar. Antara kemungkinan adalah...
1. Baru pertama kali ke sekolah.
2. Anak tunggal
3. Belum ada kesediaan belajar.
4. Kurang tumpuan
5. Gangguan luar / sekitar
6. Masalah fizikal

Biasanya kanak-kanak yang baru pertama kali ke sekolah akan lebih senang bersendiri ( kalau tiada rakan yang berhampiran rumahnya - teman sepermainan ) Mereka akan suka duduk atau memerhatikan kanak-kanak lain bermain. Penguasaan sosial dan komunikasi mereka masih lemah. Di sini guru harus bijak melihat tanda-tanda awal ini dengan menggalakkan kanak-kanak bermain dengan rakan di kelas. Ajak kanak-kanak bermain bersama guru untuk mencungkil masalah sebenar yang dialami oleh kanak-kanak. Tanyakan juga kepada ibu bapa apakah minat kanak-kanak dan makanan kesukaannya. Kita boleh ajak kanak-kanak berbual untuk menghilangkan rasa malunya.

Anak tunggal biasanya akan sukar berkongsi alatan dengan rakan sebaya mereka. Mereka juga ada kalanya suka bersendiri atau terlalu bersikap agresif atau terlalu mengada-ngada. Sikap mereka hampir sama dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah perceraian ibu bapa. Mereka akan mudah meradang atau akan bersikap memberontak atau mengada-ngada. Kanak-kanak dalam kumpulan ini biasanya inginkan perhatian yang lebih dari guru. Ada kalanya guru perlu bersikap tegas dengan sikap mereka jika keterlaluan.

Bagi anak yang baru kehilangan ibu atau bapa, mereka akan mudah menangis dan kurang beri tumpuan. Mereka sering memberontak untuk mendapatkan perhatian guru. Adakalanya mereka akan murung. Kanak-kanak begini memerlukan sokongan dari guru. Bantu mereka dengan memberikan kasih sayang sebagai ganti bapa / ibu / kakak / abang. Peluk dan pujuk mereka supaya mereka berasa diri masih disayangi.

Kanak-kanak yang belum ada kesediaan belajar pula lebih suka berbual dengan rakan sebaya. Mereka lebih gemar bermain dari memberikan tumpuan kepada pengajaran guru. Kanak-kanak begini biasanya suka kalau guru mengadakan permainan kecil. Jangan lokek untuk memberikan hadiah / token sebagai galakan kepada sikap positif yang dapat mereka tunjukkan. Pencapaian yang sedikit patut diberi pujian yang tinggi. Rajinlah puji murid anda supaya mereka akan berasa seronok untuk mencuba.

Kanak-kanak di peringkat umur 4 - 6 tahun biasanya kurang tumpuan. Jangka masa tumpuan mereka sangat pendek. Jadi fikirkan aktiviti yang dapat dilakukan dengan masa yang singkat tapi penuh bermakna. Misalnya nyanyian. Ubah lirik / tajuk lagu bila melihat reaksi kanak-kanak yang mula menunjukkan kebosanan. Nyanyian dan gerakan amat menarik minat kanak-kanak. Ajak mereka bermain permainan yang mudah yang diselang-seli dengan aktiviti nyanyian atau tulisan. Guru harus bijak memikirkan cara untuk menarik perhatian kanak-kanak. Buatlah cerita pendek anda sendiri untuk mengaitkan apa yang sedang diajar. Ajukan soalan-soalan yang dapat merangsang mereka berfikir. Ubah nada suara guru semasa bercerita atau menyanyi. Pastikan cerita anda ada kaitan dengan dunia mereka misalnya kartun yang biasa ditayangkan di televisyen. Semasa bercerita atau menyanyi guru buatlah gaya / lenggok yang dapat menarik perhatian kanak-kanak. Sekiranya sebagai contoh ada sebuah kapalterbang lalu sewaktu anda sedang mengajar, ubah topik perbincangan anda dengan mengaitkan tentang kapalterbang...tentang bunyi, saiz, warna, lokasi dan apa sahaja yang berkaitan dengan kapalterbang. Kalau kapalterbang itu berlegar-legar di udara berhampiran kelas anda, bawalah kanak-kanak keluar untuk melihatnya. Fikirkan soalan-soalan yang mudah yang boleh kanak-kanak jawab. Setiap kali kanak-kanak berjaya menjawab soalan anda, kaitkan dengan pemakanan yang mereka makan di kelas. Katakan..."macam nilah murid yang cikgu sayang, pandai... makan sayur, makan buah, minum susu. Siapa yang suka makan sayur mesti dapat jawab soalan cikgu"

Sebagaimana yang saya katakan tadi, gangguan luar / sekitar boleh menjejaskan perhatian kanak-kanak. Maka apa yang boleh kita lakukan ialah ubah topik yang sedang anda ajar kepada gangguan yang sedang berlaku. Bina soalan-soalan yang boleh merangsang kanak-kanak menjawab soalan berkaitan gangguan yang baru berlaku. Misalnya nama gangguan, jenis gangguan, huruf awal atau makna perkataan tertentu dalam Bahasa Inggeris. Mungkin anda boleh kaitkan dengan cerita yang ditayangkan di televisyen dan moral setiap cerita.

Jadual prasekolah adalah fleksibel. Oleh itu anda boleh menukar tema secara spontan mengikut minat kanak-kanak. Untuk mengajar mengeja perkataan KV + KV anda boleh kaitkan dengan bola, baju, bapa, meja, tali, roti, kaki, mata, jari dan apa sahaja yang ada di sekeliling murid atau kelas. Ajar ejaan benda-benda yang mudah mereka kenal. Kemudian ajak kanak-kanak menyanyi lagu yang ada kaitan dengan ejaan yang baru diajar. Misalnya ajar ejaan bapa... kaitkan dengan lagu "Bapaku Pulang Dari Kota". Sebagai guru kita kena rajin mencari lagu-lagu yang boleh dijadikan senjata untuk menarik minat kanak-kanak. Kalau mengeja mata, jari ... kaitkan dengan lagu "Kalau rasa gembira, petik jari... atau kalau rasa gembira kenyit mata... ubah lirik lagu mengikut situasi. Tidak salah kalau "pitching" lari... hantam sajalah Labu... kata P. Ramlee. Hehehe...

Masalah fizikal yang saya maksudkan adalah mungkin kanak-kanak itu merupakan kanak-kanak berkeperluan khas. Ciri-ciri kanak-kanak berkeperluan khas ini boleh anda perolehi dari guru Pendidikan Khas atau layari internet dengan menggunakan kata kunci "ciri-ciri kanak-kanak berkeperluan khas".

Buat Azi, saya harap Azi akan lebih banyak bersabar. Sentiasalah cari idea-idea baru untuk menarik minat kanak-kanak belajar dengan lebih seronok. Jangan risau kerana sekarang baru awal bulan Mac. Istiqamahlah dalam usaha mendidik kanak-kanak ini. Jangan mudah putus asa kerana bukan semua orang boleh menjadi guru. Guru adalah satu anugerah yang Allah beri kepada kita kerana ianya melibatkan bakat yang Allah kurnia. Jangan bersedih ya...kita telah berusaha dan serahkan kepada Allah. Setiap kali selesai solat doakan murid-murid kita semoga mereka berjaya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan balasan pahala Allah berikan kepada guru sehingga akhir zaman selagi ilmunya digunakan. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Worksheets