Isnin, Mac 02, 2009

Penggunaan Buku Garis Tiga

Saya teringat nasihat seorang rakan guru yang telah lama tidak saya temui. Nasihat beliau kalau ingin menggunakan buku garis tiga di peringkat awal, biarkan sahaja dahulu kanak-kanak menulis kerana di peringkat awal adalah peringkat penyesuaian dan membina kesediaan kanak-kanak. Setelah beberapa hari, barulah anda mula menerangkan secara individu cara penulisan. Setiap aktiviti penulisan, sebagai guru kita kena membuatnya secara individu kepada setiap kanak-kanak untuk memastikan mereka dapat membuat tulisan yang kita inginkan.

Apa yang paling penting ialah pegang tangan kanak-kanak kerana sentuhan itu sangat bermakna buat mereka. Mereka sering akan membuat rumusan bahawa bila guru buat begitu cikgu sayang mereka. Peluklah anak murid anda setiap kali mereka berjaya melakukan sesuatu. Kanak-kanak akan mudah mengikut dengan pendekatan begini. Saya juga tidak terkecuali kerana saya merupakan seorang guru yang garang dengan kanak-kanak... garang dalam erti kata tegas dalam setiap peraturan di kelas. Kalau pendekatan garang tidak menjadi, saya akan mencuba kaedah kedua iaitu memeluk mereka setiap kali mereka berjaya melakukan tugas yang diberi dengan sempurna. Adakalanya saya akan mencium kepala mereka sebagai tanda sayang dan menghargai usaha mereka atau memeluk dan menepuk bahu mereka sebagai tanda ucapan tahniah. Saya cium pipi kanak-kanak perempuan dan tahukah anda betapa gembiranya mereka? Sepanjang masa itu sahaja yang disebut di kelas. Hehehe... Kini murid saya sudah kurang bermasalah di kelas. Mereka sudah boleh memahami apakah itu arahan, larangan dan pelukan tanda kejayaan. Bukan mudah untuk mengambil hati kanak-kanak. Apa yang penting, jadikan murid kita seperti cucu / anak / adik kita sendiri. Anda gembira dan mereka juga pasti gembira.

Selamat mencuba. Yakinlah bahawa usaha anda akan membuahkan hasil di hujung tahun nanti. Itulah hadiah paling berharga buat seorang guru... kejayaan murid-muridnya.

Tiada ulasan:

Worksheets