Rabu, September 06, 2006

Komponen Pembelajaran

Perkembangan murid akan dicapai melalui enam komponen pembelajaran yang dilaksanakan secara bersepadu. Komponen tersebut adalah seperti berikut :
  1. Bahasa dan Komunikasi;
  2. Perkembangan Kognitif;
  3. Kerohanian dan Moral;
  4. Perkembangan Sosioemosi;
  5. Perkembangan Fizikal; dan
  6. Kreativiti dan Estetika.
Penekanan diberi kepada bahasa yang merentas semua komponen kerana penguasaan bahasa penting dalam proses pembelajaran. Penguasaan kemahiran bahasa diperolehi melalui kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kecekapan berbahasa akan membantu murid berfikir, memahami sesuatu konsep, berimaginasi, melahirkan idea, berinteraksi dan
berkomunikasi secara berkesan.

Pelaksanaan kurikulum adalah secara bersepadu yang dirancang melalui amalan yang bersesuaian dengan perkembangan murid (ABP). Amalan yang bersesuaian dengan perkembangan murid adalah satu pendekatan yang menekankan kepada penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan umur, perkembangan diri, kebolehan, bakat serta minat murid. Pendekatan kurikulum berfokus kepada hasil pembelajaran (outcome-based learning) iaitu memberi penekanan kepada apa yang murid perlu tahu, faham dan buat serta amalkan, hasil daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna aktiviti pembelajaran memberi penekanan kepada apa yang harus diperolehi dan dicapai oleh murid itu.

Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel dan bersepadu, murid dapat menguasai dan memperolehi ciri-ciri berikut:
  1. Kecekapan berbahasa dan berkomunikasi;
  2. Kemahiran berfikir;
  3. Berakhlak mulia dan beretika;
  4. Berkeyakinan dan berdisiplin;
  5. Sihat dan cergas; dan Imaginatif, kreatif dan ekspresif.
Berbekalkan kecekapan dan kemahiran di atas, murid akan bersedia untuk ke sekolah rendah.

Tiada ulasan:

Worksheets