Saya suka blog ini

Rabu, September 06, 2006

Komponen Bahasa dan Komunikasi

Kemahiran bahasa dan komunikasi merupakan nadi kepada pembelajaran murid. Seseorang murid sudah menguasai kemahiran asas bahasa apabila mereka mempunyai kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta boleh berinteraksi dengan orang lain. Kebolehan berbahasa dan berkomunikasi dengan baik meningkatkan keyakinan murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran. Ini akan menjadi asas kepada pembelajaran sepanjang hayat.

Komponen bahasa dan komunikasi merangkumi Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa Cina sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina, bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Tamil dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Prinsip utama pengajaran bahasa ialah menyepadukan empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa yang mereka pelajari.

Kemahiran mendengar

Kanak-kanak boleh membezakan bunyi dan boleh memahami apa yang didengar.

Kemahiran bertutur
Murid dapat menyebut bunyi dan perkataan dengan betul serta dapat menyatakan pemikiran
dan perasaan mereka secara berkesan dan bertatasusila.

Kemahiran membaca
Murid boleh mengucapkan apa yang tertulis dan bercetak dan memahami makna perkataan atau ayat yang dibaca.

Kemahiran menulis
Murid dilatih untuk menguasai motor halus sehingga boleh menuliskan huruf dan perkataan dan seterusnya menulis ayat mudah.

Kemahiran bahasa dan komunikasi boleh dicapai melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menggembirakan seperti permainan bahasa, main peranan, bercerita dan lawatan. Selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menjadi mata pelajaran wajib di peringkat rendah dan menengah, adalah wajar Bahasa Melayu dikuasai dengan baik dari peringkat prasekolah lagi.

Bahasa Melayu digunakan secara merentas komponen dan dalam interaksi seharian. Oleh itu penggunaannya perlu dipertingkatkan sebagai alat untuk berfikir, berinteraksi dan menyatakan fikiran danperasaan. Selain itu, penguasaan kemahiran Bahasa Melayu membolehkan murid berkomunikasi dengan bahasa yang betul dan bertatasusila.

Penguasaan kemahiran Bahasa Melayu diperolehi melalui pelbagai pengalaman pembelajaran yang melibatkan murid secara aktif dalam aktiviti yang menggembirakan seperti bercerita, berbual, bersoal jawab, menyanyi, berlakon, berpuisi dan permainan bahasa. Aktiviti-aktiviti ini boleh menambahkan perbendaharaan kata dan seterusnya meningkatkan kemahiran bahasa.

Objektif
Kurikulum Bahasa Melayu membolehkan murid
  1. Mendengar dan menyatakan apa yang didengar;
  2. Bertutur dengan sebutan yang betul dan bahasa yang bertatasusila;
  3. Membaca dan menceritakan isi bacaan sesuai dengan peringkat perkembangan murid;
  4. Menulis perkataan dan ayat mudah dengan betul.

1 ulasan:

Nurul Mawaddah Nur Iman berkata...

assalamualaikum
akak, sy wawa student dr UTM tahun akhir. kne bangunkan 1 aplikasi utk pra sekolah. ay nk tny ttg kurikulum bahasa Melayu bil 3 (3.1.1) memadankan gmbr dengan lakarannya. sy x faham sgt tentang itu. apa aktiviti yg boleh kita lakukan? adakah dia mcm padankan gambar betul dgn gmbar lukisan? kalau akak boleh explain pd sy...terima kasih byk2..