Selasa, Mac 03, 2009

Siapkan Kerja Dengan Cepat

Jom kita share pengalaman dari soalan yang diberikan oleh Kak Fatimah ini...

3 Mar 09, 22:17
kak t: tolong bgi cadangan kat sya camne nak buat bdk2 siapkan krj dgn cepa. bdk2 tu klu wat keja suka sembang n main. nak suruh siapkan 1 lamb krj pun jenuh bebuih mulut.


Berdasarkan pengalaman saya, apa yang saya buat adalah:
1. Mengumpulkan lembaran kerja mengikut kemahiran yang sama dan distaple.

Kanak-kanak sebenarnya suka buku yang cantik. Oleh itu pastikan anda mengumpulkan lembaran kerja yang gambarnya cantik. Staple menjadi sebuah buku ringkas yang dibinding. Bukan sahaja ia memudahkan urusan penyimpanan, malah dapat mengurangkan masalah tingkahlaku kanak-kanak. Ini kerana apabila kanak-kanak sudah dapat menyiapkan tugasan pertama mereka boleh meneruskan pada latihan seterusnya. Secara tidak langsung anda akan dapat menarik minat kanak-kanak untuk membuat latihan pengayaan.

2. Berikan hadiah
Hadiah atau token sangat penting dalam menggalakkan perubahan tingkahlaku kanak-kanak. Biasanya saya akan menghadiahkan kanak-kanak pensel atau melekatkan stiker berbentuk bintang pada latihan yang telah mereka sempurnakan dengan jayanya. Kita boleh menampal senarai nama kanak-kanak di papan kenyataan kelas dan melekatkan stiker di situ bagi menampakkan jumlah stiker yang telah mereka berjaya kumpul sepanjang minggu. Di akhir minggu atau akhir bulan, anda boleh memberikan hadiah kepada kanak-kanak. Mereka sangat suka kepada hadiah yang berbentuk kejantinaan. Maksud saya kalau kanak-kanak perempuan, saya akan berikan penyepit atau getah rambut yang berwarna-warni atau stiker berbentuk "girly" yang ada "glitters" atau dalam kata Melayunya...berperada. Kalau kanak-kanak lelaki pula biasanya hadiah mereka sempoi sahaja...pensel sebatang pun sudah membuatkan mereka seronok. Saya pernah memberikan lencana Pooh yang ada abjad. Memang kesukaan saya "menggoreng" kanak-kanak di kelas. Saya katakan, siapa yang pakai lencana itu maknanya dia budak pandai. Saya minta mereka pakai setiap hari. Tahukah anda, ramai kanak-kanak berjaya diubah sikapnya. Namun begitu saya juga mengenakan syarat kepada kanak-kanak. Sekiranya mereka nakal saya akan mengambil semula lencana "budak pandai" itu. Hehehe... buruk siku betul Cikgu Fauziah ni.

3. Sebelum pulang tunjukkan hasil kerja terbaik kanak-kanak.

Pasti anda sendiri bangga kalau hasil kerja anda dipamer di hadapan rakan-rakan bukan? Begitulah juga naluri seorang kanak-kanak. Pujilah hasil kerja mereka. Elakkan memberi komen yang boleh membunuh rasa ingin berjaya mereka. Tidak rugi memberikan pujian kepada kanak-kanak. Bagi yang kurang berjaya, anda masih boleh memuji kerja mereka yang dapat menunjukkan perubahan walaupun sedikit. Biasanya saya akan memuji dan memeluk mereka. Kalau kanak-kanak perempuan, saya suka mencium pipi mereka sebagai tanda saya sayangkan mereka. Kalau kanak-kanak lelaki, saya hanya memeluk sahaja atau mencium kepala mereka.

4. Hubungi ibu bapa

Kongsi kejayaan perubahan tingkahlaku kanak-kanak dengan ibu bapa mereka. Kirimlah SMS kepada ibu bapa untuk memberitahu pencapaian anak mereka atau sewaktu pulang puji kanak-kanak di hadapan ibu bapa mereka. Sedikit yang anda berikan pasti mampu mengubah banyak perkara. Kanak-kanak akan lebih gembira dan ibu bapa pula semakin mudah memberikan kerjasama untuk meningkatkan pencapaian kanak-kanak. Cuba kita ingatkan apa yang Rasulullah kata...1 sedekah yang diberi akan mendapat 7 ganjaran dari Allah. Pujian juga boleh diumpamakan sedekah untuk jiwa kanak-kanak. 1 pujian anda beri akan dapat membuahkan banyak hasil yang tidak terduga misalnya kanak-kanak akan bersemangat ke sekolah, rajin menyiapkan tugasan yang diberi, cepat menyiapkan kerja, ibu bapa akan lebih bermotivasi untuk memastikan anak mereka sentiasa mendapat pujian dari guru.

Saya harap rakan-rakan sekelian akan sama-sama berusaha untuk meningkatkan mutu pendidikan prasekolah. Gembirakan hati kanak-kanak nescaya anda pasti akan digembirakan oleh mereka. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Worksheets