Selasa, Januari 06, 2009

Hari Kedua 2009

Assalamualaikum
Hari kedua hari ini berjalan lancar. Hanya Udin yang tidak mahu masuk ke kelas. Bila sesi pengajaran bermula saya dan pembantu mencekup Udin dan mengusungnya masuk ke dalam kelas. Pintu ditutup rapat dan saya terpaksa keluarkan taring kegarangan yang saya miliki. Saya tepuk punggung Udin dan serta merta dia senyap. Hahaha... rupanya dia takut bila saya garang begitu. Terjadi pula kisah lain, bila saya menepuk Udin, Aina pula menunjukkan rasa takut. Dia mula menjauhkan diri dari rakan-rakan yang lain dengan muka yang sedih. Alahai... saya hanya biarkan Aina duduk sendirian. Saya mengajak kanak-kanak bersarapan. Pada mulanya ada yang mogok. Saya menunjukkan air kotak perasa coklat. Apa lagi mereka mula masuk ke ruangan dapur. Selesai minum saya mengajak kanak-kanak ke taman permainan. Masih ramai kanak-kanak yang tidak tahu mengambil giliran walaupun pernah ke tadika sebelum ini. Mereka berebut-rebut untuk memanjat tangga gelongsor. Saya terpaksa menjadi hakim dengan berdiri di tepi tangga. Mana yang hendak mengelat saya piat telinganya. Garangnya Cikgu Fauziah hari ini. Beberapa minit berlalu dan mereka sudah mula boleh mematuhi peraturan dan mengikut giliran masing-masing.

Sewaktu pulang saya telah belajar dari kesilapan semalam. Kanak-kanak disuruh beratur di dalam kelas. Mereka bergilir-gilir keluar dan memakai kasut di luar kelas seterusnya berbaris panjang. Matlamat saya hari ini adalah untuk mengubah tingkahlaku kanak-kanak untuk mematuhi peraturan kelas tercapai sepenuhnya. Alhamdulillah. Beginilah saya sebenarnya suka memilih satu sahaja matlamat bagi sehari. Apa yang penting ialah mereka dapat mematuhi araha-arahan dan peraturan awal di sekolah. Tidak guna mengajar terlalu banyak perkara sedangkan kanak-kanak tidak mendapat pengukuhan sebenarnya. Hari ini kanak-kanak dapat memahami kehendak saya dan peraturan sekolah iaitu beratur ketika:
1. Ingin ke dapur untuk bersarapan / makan.
2. Mencuci tangan di sinki.
3. Mengambil makanan di kaunter.
4. Ingin keluar dari kelas untuk ke taman.
5. Akan pulang ke rumah menuju ke pintu pagar utama.

Sekiranya mereka gagal mematuhi arahan, saya akan mengenakan denda kepada mereka misalnya beratur di barisan paling belakang semula. Lega rasanya bila semua faham matlamat saya.

Hari ini juga saya masih menayangkan video Magic English bertajuk Hello. Walaupun ada bantahan dari kanak-kanak yang inginkan VCD yang lain, saya tetap meneruskannya. Saya mahu mereka boleh menyebutkan pengucapan bertatasusila dengan betul iaitu perkataan Hello, Hi, How are you?. Mereka juga boleh mengingat lagu yang ada di situ.

Apa lagi nak cerita ya? Ahh cukuplah sampai di sini dulu.

Tiada ulasan:

Worksheets