Rabu, April 09, 2008

Komputer Meragam.

Assalamualaikum.
Sudah lama saya tidak online kerana komputer di rumah terpaksa dihantar ke kedai untuk dibaiki. Terlalu banyak virus yang ada dalam komputer saya tu sehingga beberapa komponen yang ada cair. Eh betulkah ni? Mungkin komputer saya terlalu panas agaknya sebab tu ada komponennya yang sudah cair. Susah juga bila tidak boleh akses ke internet beberapa hari. Sebenarnya banyak kerja-kerja di blog ini saya lakukan di rumah kerana di pusat akses sekolah, laman blogspot disekat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tugas-tugas di blog ini saya lakukan untuk kepuasan sendiri dan untuk merakam setiap apa yang berlaku di kelas saya. Tiada bantuan kewangan walau 1 sen pun dari pihak sekolah atau mana-mana pihak. Apa yang saya lakukan adalah atas rasa seronok memiliki laman blog yang boleh saya pamerkan wajah-wajah murid-murid kesayangan saya. Kini saya giat mempromosi blog ini setiap kali menghantar sms kepada rakan-rakan.

Saya sering ditanya oleh pelajar-pelajar yang sedang mendalami bidang pendidikan awal kanak-kanak (PPAK). Adakalanya saya akan cuba menjawab soalan-soalan yang dikemukakan setakat yang termampu. Seandainya saya tidak dapat memberi respon kepada soalan anda, saya harap anda akan cuba mendapatkan semua maklumat itu di Perpustakaan Utama Universiti Malaya di mana saya pernah melanjutkan pelajaran di sana pada tahun 1997-1999. Kami merupakan pelajar perintis bagi program prasekolah di Malaysia. Pada pandangan saya dan berbekalkan pengalaman yang pernah dilalui dahulu, banyak bahan-bahan prasekolah boleh anda dapati di situ. Malangnya mereka terdiri dari buku-buku dan jurnal yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Bak kata orang dulu kala, kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya. Bagi adik-adik pelajar PPAK, silalah rujuk ke sana. Kalau dulu, saya akan menghabiskan masa sehari suntuk di situ untuk mencari bahan-bahan. Kalau boleh rasanya saya ingin tidur di perpustakaan. Saya sangat seronok berada di situ. Bagi saya buku adalah teman paling setia. Berbekalkan separuh gaji waktu itu (hanya RM300)saya terpaksa survive...tiada handphone, tiada makanan yang enak-enak. Saya hanya makan sekali sehari kerana wang perlu dibelanjakan dengan bijak (saya memiliki 4 orang anak yang masih kecil waktu itu dan suami pula terpaksa menanggung pelajaran adik-adiknya seramai 4 orang dengan gaji guru yang berkelulusan SPM)Waktu saya dipenuhkan dengan mentelaah di perpustakaan dan di rumah sewa menaip kerja kursus kawan-kawan untuk menampung hidup seharian. Bagi anda yang masih bergantung kepada bantuan ibu bapa, nasihat saya dapatkan markah yang terbaik. Saya yakin anda mampu kerana anda masih muda berbanding saya yang belajar di usia senja. Apapun saya tetap bersyukur kerana rakan-rakan sekelas saya yang rata-rata guru tua mampu mencapai kejayaan cemerlang...90% telah memperoleh ijazah Second Class Upper dengan Kepujian. Anda pula bagaimana? Selamat berjuang

Tiada ulasan:

Worksheets