Ahad, Februari 15, 2009

Pengurusan Kewangan Kelas Prasekolah






Pengenalan

Kumpulan Wang Sekolah merupakan sejumlah wang yang dipertanggungjawabkan kepada Pengurus Sekolah untuk diuruskan secara cekap, berkesan dan amanah. Wang yang dipertanggungjawabkan ini adalah berpunca daripada sumber kerajaan dan sumber-sumber lain. Wang tersebut hendaklah diuruskan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Jenis-jenis Kumpulan Wang Sekolah
Boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan:
a. Kumpulan Wang Kerajaan
b. Kumpulan Wang SUWA (Sumbangan Wang Awam)
c. Kumpulan Wang Asrama ( bagi sekolah yang ada asrama )

Setiap kumpulan wang diselenggarakan secara berasingan dan satu akaun bank dibuka bagi setiap kumpulan wang tersebut. Bagi sekolah yang bilangan muridnya kurang daripada 100 orang dan urusniaganya terlalu sedikit, hanya perlu mempunyai satu akaun bank bagi menguruskan semua Kumpulan Wang Sekolah.

Kumpulan Wang Kerajaan
Kumpulan wang ini mengakaunkan semua terimaan yang diperolehi daripada Pemberian Bantuan Kerajaan ( termasuk terimaan dari Badan Berkanun, Yuran Peperiksaan Kerajaan dan faedah bank ) kecuali bagi bantuan kerajaan yang berkaitan dengan asrama.

Antara punca kewangan yang diperakaunkan ke dalam Kumpulan Wang Kerajaan adalah Pemberian Bantuan Prasekolah dan Geran Pelancaran / Launching Grant untuk kelas prasekolah yang baru dibuka sahaja. Maklumat lain boleh anda baca di dalam Buku Tatacara Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kumpulan Wang Sekolah terbitan Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran Malaysia Putrajaya Edisi Keempat - Tahun 2005.

Sebenarnya saya lebih suka menumpukan kepada maklumat yang berkaitan dengan prasekolah sahaja untuk panduan kita bersama.

Pemberian dan Bantuan
Pemberian bermaksud wang atau barangan yang diperuntuk dan diagihkan kepada sekolah untuk menampung keperluan pembelajaran dan pengajaran misalnya Bantuan Per Kapita. Pemberian juga termasuklah wang atau barangan yang diperuntuk dan diagihkan kepada sekolah untuk menampung pembekalan makanan bermasak atau bahan makanan mentah kepada murid prasekolah iaitu Pemberian Bantuan Makanan Pelajar.

Pemberian Bantuan Per Kapita ( Per Capita Grant - PCG )
Peruntukan ini hendaklah dibelanjakan pada tahun semasa dan tidak melebihi 10% daripada jumlah asal PCG yang diterima dalam tahun berkenaan yang dibenarkan dibawa ke tahun hadapan. Peruntukan ini hendaklah diakaunkan ke dalam Buku Tunai Kumpulan Wang Kerajaan.

Geran Pelancaran
Peruntukan ini diberi oleh Bahagian Pembangunan dan Perolehan Kementerian Pelajaran kepada kelas prasekolah dan sekolah yang baru beroperasi. Ia bertujuan membantu pengurusan sekolah bagi memulakan operasi pentadbiran kelas. Kadar adalah ditentukan mengikut kategori sekolah mengikut garis panduan yang disediakan oleh KPM. Bantuan ini akan diakaunkan ke dalam Buku Tunai Kumpulan Wang Kerajaan di bawah lajur Pelbagai dengan menyelenggarakan Akaun Subsidiari. Pengurus sekolah boleh menggunakan peruntukan ini untuk pembelian bahan yang telah disenaraikan oleh BPP, KPM semasa peruntukan diberi.

Pemberian Bantuan Makanan Pelajar
Kadar bantuan makanan adalah sama di semua kelas prasekolah seluruh negara.

Maksud Perbelanjaan Bantuan Per Kapita Prasekolah
a. Pembelian peralatan kecil dan bahan habis guna bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
b. Penyelenggaraan peralatan permainan dalam dan luar bilik darjah serta penyelenggaraan komputer dan lain-lain peralatan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
c. Pembelian buku rujukan, ensaiklopedia, perisian, video tape dan lain-lain yang bersesuaian untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
d. Program dan lawatan berunsurkan pendidikan yang boleh memberi pengukuhan kepada proses pengajaran dan pembelajaran sama ada semasa cuti persekolahan atau hari persekolahan ( misalnya melawat Zoo pada hari persekolahan semasa tema Haiwan Liar, melawat Muzium semasa tema Masyarakat, Negeri dan Negara, melawat Taman Bunga semasa tema Bunga atau melawat ke dusun buah-buahan semasa tema Buah-buahan )
e. Perolehan harta modal adalah tidak dibenarkan.

Maksud Perbelanjaan wang LPBT Kelas Prasekolah
a. Bayaran bil telefon, air, eletrik, telegram, internet dan pembentungan.
b. Pembaikan kecil kelas.
c. Penyelengggaran perabot dan peralatan kelengkapan kelas termasuk komputer.
d. Perkhidmatan percetakan untuk bahan pengajaran dan pembelajaran.
e. Perkhidmatan pengiklanan ( misalnya membuat banner bagi memaklumkan kepada khalayak tentang pendaftaran dan kemasukan murid prasekolah pada tahun berikutnya )
f. Pengangkutan barang-barang
g. Pembelian bahan bakar, bahan habis guna dan ubat ( misalnya kelas anda kehabisan gas dan anda perlukannya segera maka tambang teksi untuk mengambil gas boleh dituntut kepada sekolah )
h. Perbelanjaan bagi keraian yang melibatkan lawatan pihak luar atas urusan rasmi.
i. Perolehan harta modal melebihi RM10,000 perlu mendapat kelulusan Ketua PTJ, manakala pembelian komputer mesti mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Maklumat Pengkomputeran Kementerian.
j. Bayaran yuran kursus bagi guru prasekolah.
k. Perbelanjaan untuk keceriaan / kesihatan murid dan keselamatan kelas.
l. Bayaran teksi bagi urusan kecemasan berdasarkan kelayakan tambang teksi.
m. Pengangkutan murid dan bayaran insuran untuk murid dan guru pengiring untuk aktiviti sukan dan karnival prasekolah.

Panjar Wang Runcit (PWR)
Ia merupakan sejumlah wang yang membolehkan Pengurus Sekolah membuat pembayaran kecil dengan segera dan perbelanjaan runcit tanpa mempertanggungkannya terlebih dahulu kepada butiran perbelanjaan. Ia boleh juga digunakan bagi memberi pendahuluan wang tunai segera kepada guru yang memerlukan untuk membayar perbelanjaan aktiviti kelas.

Belian dengan bil tidak melebihi RM100.00 boleh dituntut menggunakan PWR.

Penutup
Demikianlah serba sedikit yang boleh saya turunkan apa yang telah saya baca dan fahami berkaitan urusan kewangan kelas. Oleh itu sekiranya anda ingin membuat pembelian, perhatikan apakah jenis bahan yang boleh anda beli. Jika kurang dari RM100 dan anda perlukan bahan itu segera, berbincanglah dengan Guru Besar untuk mendapatkannya dan ia boleh dituntut menggunakan Panjar Wang Runcit. Apa yang penting, berbelanjalah dengan berhemah dan jujur kerana Allah memerhatikan apa yang anda lakukan. Setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya.


Tiada ulasan:

Worksheets