atom: Slm k.g n kwn2 sume..penah x di antara anda ada mengalami d malukan d dpn org oleh parent ank2 yg kita didik sepenuh hati? Erm mksud sy yg x puas hati sbb ank dia x pndai.sy sdh sbb nk d katakan pnp x ok, ada jg mrd sy x pandai bc leh lak jd pandai....
btl x guru pra cam kt ni byk psalahkn,dperlekeh dn x dhormati.x mcm guru2 perdana yg lain..haruskah kt paksa bdk2 bljr sdgkn dia x mahu n x blh.haruskh kt puaskan ht makbpk sdgkan anknya x mampu? Jika d lht blk pd konsep pra 2 sndiri mcm mn?...Perlukah d ubah konsep 2 selaras dgn keinginan ibu bp yg mahu anknya blh x blh,mesti pandai bc buku bl berada d pra.. Sy sentiasa berusaha,siapa yg x mahu ank2 didiknya pandai?skrg dh pth smgt sy...huhuhu...k.g sbg penawar,tlglah....
Waalaikumsalam
Izinkan saya menjawab satu persatu soalan Atom di sini…
Setakat ini saya tidak pernahlah diperlakukan sedemikian oleh ibu bapa murid. Mungkin ianya tidak berlaku kerana saya telah mengambil langkah awal dengan mengadakan taklimat kepada semua ibu bapa semasa mesyuarat sebelum sekolah dibuka. Semasa mesyuarat itu saya akan menerangkan semua matlamat dan objektif pendidikan awal kanak-kanak, serta hala tuju pendidikan itu sendiri.
Saya juga menerangkan kaedah-kaedah pembelajaran di kelas dan prinsip yang saya pegang dalam mendidik kanak-kanak di peringkat awal. Setiap kejayaan dan kegagalan kanak-kanak akan saya maklumkan secara lisan atau bersemuka dengan ibu bapa. Saya akan memuji dan memaklumkan kepada ibu bapa kanak-kanak yang dapat menunjukkan perubahan tingkah laku walaupun sedikit. Ini sangat penting dalam membentuk jiwa ibu bapa itu sendiri. Sebagai seorang ibu, saya juga akan merasa kecewa andainya setiap kali guru menghubungi kita menyatakan masalah anak kita. Kenapa tidak ada yang menelefon sekadar mengatakan misalnya “ ( Nama Murid ) hari ini dapat menulis dengan cantik sekali “ atau menyatakan “ ( Nama Murid ) hari ni pandai memakai kasut sendiri. Dia tidak lagi menangis”.
Sebagai ibu bapa apakah perasaan anda bila guru menelefon sekadar mengucapkan sebegitu. Mungkin nampak biasa sahaja tetapi impaknya amat tinggi. Kepada rakan guru cubalah ubah pendekatan komunikasi anda dengan ibu bapa murid. Saya mengaplikasikan pendekatan ini apabila disarankan oleh seorang kenalan yang berasal dari Australia dan Kanada sewaktu bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi dahulu. Teknik begini sering diamalkan di luarnegara. Bila kita menyatakan kelemahan dan kekuatan / keistimewaan kanak-kanak, ibu bapa akan berasa anak mereka diberikan perhatian oleh guru.
Saya juga seorang guru yang tegas dengan kanak-kanak. Saya akui saya juga sering mendenda kanak-kanak kalau mereka membuat kesilapan. Apa yang saya lakukan adalah menghubungi ibu bapa untuk memaklumkan dendaan yang dikenakan. Kita menghadapi 25 orang kanak-kanak dari pelbagai latarbelakang. Alangkan dengan anak seramai 4 orang di rumah kita sudah pening kepala dibuatnya. Tidak mustahil rotan dan cubit pasti dikenakan tetapi atas niat mendidik bukan mendera. Malah saya juga meletakkan rotan di kelas sesuai dengan saranan Rasulullah s.a.w dalam mendidik kanak-kanak. Terangkan kepada ibu bapa bagaimana proses pengajaran dilakukan agar mereka benar-benar faham. Buat juga survey sekiranya kanak-kanak memang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa. Kalau ibu bapa sudah menyatakan sikap sebenar mereka, tidak salah kalau kita membiarkan sahaja kanak-kanak itu. Yalah daripada disaman oleh ibu bapa, biarkan sahajalah manusia sebegitu. Bak kata arwah nenek saya dahulu “ Itu saying membunuh namanya” Sayang tidak bertempat.
Dari pengalaman selama 22 tahun di bidang pendidikan, saya pernah mengendalikan murid-murid yang lemah. Di awal perkhidmatan saya dahulu, saya pernah mengajar murid-murid di kelas G iaitu kelas ketujuh. Hampir kesemua murid saya tidak mengenal huruf ketika itu padahal kelas sudah menjengah ke bulan Jun kerana streaming kelas dibuat selepas cuti pertengahan tahun. Memang perit untuk menerima hakikat murid-murid yang lemah begitu… tetapi ketika itu saya memang memberanikan diri kerana niat saya hanya satu iaitu mahu memajukan anak bangsa. Setiap hari saya akan memberikan kerja rumah Bahasa Melayu dan Matematik sebanyak 10 muka bagi setiap matapelajaran. Sekiranya gagal menyiapkan tugasan yang diberi pada hari esoknya pasti murid akan dirotan. Malah murid akan ditahan dari pulang awal. Biasanya kelas saya akan berakhir hingga jam 7.00 petang. Memang ada ibu bapa yang membuat bantahan dan tidak menerima tindakan yang saya buat. Akhirnya saya membuat sesi perjumpaan dari rumah ke rumah dengan ibu bapa. Apa yang saya katakan adalah… “ Kalau boleh saya sendiri pukul 3.00 petang dah nak balik ke rumah. Nak buat apa tahan anak orang?. Kalau pandai pun bukan anak saya, kalau bodoh pun saya tidak rugi.” Kata-kata begitu saya luahkan kepada ibu bapa. Setelah bertahun, akhirnya saya bertemu bekas murid saya. Tahukah anda apa kata mereka? “ Terima kasih cikgu. Sebab cikgu rotan saya dulu. Sekarang saya sudah bergelar siswazah. Tahukah cikgu ½ dari murid yang cikgu rotan dulu telahpun bergelar siswazah?” Malah seorang bekas murid saya telah berjaya memiliki Ijazah dalam bidang Fizik yang mana saya sendiri gagal dalam matapelajaran itu semasa SPM!.
Kepada rakan guru, janganlah anda bersedih kalau tiada orang memuji atau menyanjung perjuangan kita. Saya sendiri tidak pernah menerima pujian atau sanjungan malah TIDAK PERNAH mendapat ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG sepanjang perkhidmatan saya selama 22 tahun. Dulu saya pernah mengajar di kelas Pemulihan Khas dan Pendidikan Khas malah ada rakan yang menghina kerana saya dan suami menjadi guru khas dengan menggelarkan kami sekeluarga keluarga Khas. Malah ada yang memperlekeh anak-anak saya juga. Macam-macam ujian telah saya terima. Namun saya bersyukur kerana kami sekeluarga berjaya juga di bidang pendidikan. Saya tetap mengingati bagaimana pedihnya kata-kata seorang rakan sejawat yang memperlekehkan ijazah yang saya mohon. Katanya ijazah low class… ijazah prasekolah yang orang tidak minat…Semua itu tetap saya pahat di hati. Saya lalui kepayahan demi kepayahan sehingga ke tahap gaji saya dipotong sehingga tiada sesen pun dalam akaun selama 3 bulan. Bayangkan bagaimana saya survive di Kuala Lumpur sewaktu menyambung pelajaran di Universiti Malaya. Kos hidup di Kuala Lumpur yang tinggi sangat menyiksa saya. Saya hanya makan sekali sehari dan mengikat perut demi mendapatkan segulung ijazah. Waktu itu gaji saya hanya RM300 sahaja… apabila dipotong habis… tiada sesen pun dalam akaun sedangkan saya punya 4 orang anak yang perlu diberi makan!.
Pesan saya kepada rakan guru, berjuanglah. Didiklah murid-murid anda sebagaimana anda didik anak anda sendiri. Yakinlah bahawa ganjaran Allah itu lebih besar dari ganjaran manusia.Ikhlaskan hati anda dan sayangi murid-murid anda. InsyaAllah anda akan disayangi kelak. Manusia tidak dapat membaca hati kita. Biarlah apa orang nak kata. Perjuangan mesti diteruskan.
Saya akui saya juga mengubah konsep pengajaran di kelas saya selaras dengan kehendak sekolah dan ibu bapa. Kalau tidak sudah pasti murid saya gagal dalam KIA2M. Oleh itu saya akan memastikan untuk membekalkan kerja rumah setiap hari kepada murid-murid. Seandainya ada pegawai-pegawai dari PPD, JPN dan KPM sendiri membaca tulisan saya ini, izinkan saya bertanya kepada anda… Apakah yang tuan akan lakukan dalam situasi begini? Mampukah tuan mengajar sebagaimana kami? Selalukah tuan datang melawat dan bertanya masalah kami? Kalau sekadar datang untuk membuat tuntutan perjalanan, lupakan sahaja kami. Kalau sekadar datang untuk menunjukkan kuasa tuan tanpa memberikan kami resolusi…lebih baik tuan duduk sahaja di pejabat atau duduk di warung kopi melepas lelah. Kami guru-guru perlukan bimbingan. Berikan kami kursus untuk meningkatkan corak pengajaran kami dan kalau tuan orang hebat, silalah datang ke kelas kami untuk mengajar kami cara terbaik untuk mengajar. Sesiapa mudah akan memberikan teori tapi praktikalnya amat sukar.
Masih saya ingat lagi bagaimana seorang pegawai datang memantau saya bermula pukul 7.30 pagi hingga ke pukul 1.00 tengahari. Sekeping kuih dan seteguk air pun tidak sempat saya jamah sehari itu. Saya dikomen sebagai guru yang garang. Banyak teguran diberi tanpa satu pun resolusi penyelesaian masalah. Tahukah anda bahawa kanak-kanak sering menunjukkan sikap yang luar biasa bila ada orang lain yang melihat mereka? Bayangkan kalau anak kita sendiri apabila ada tetamu yang datang ke rumah? Waktu itu semua benda akan dibuatnya sehingga boleh mencabar kesabaran kita.
Kami guru prasekolah ini sebenarnya perlukan pembelaan sewajarnya. Sebenarnya menjadi guru adalah kurniaan Allah. Ianya bakat. Tidak semua orang boleh mengajar terutamanya kanak-kanak yang baru mengenal alam persekolahan. Saya masih ingat bagaimana seorang pensyarah saya dahulu yang sangat tip top dalam mengatakan tentang psikologi. Apa yang saya perhatikan bila dia berdepan dengan kanak-kanak yang berhingus bagai…seolah-olah geli geleman mendekati kanak-kanak itu. Ya… teori itu memang senang untuk dicadangkan…realitinya amat sukar. Apa yang sepatutnya kita pegang ialah bahawa PEMBELAJARAN ITU IALAH PERUBAHAN TINGKAHLAKU. Kalau murid kita tidak berubah, maka tiadalah pembelajaran berlaku dan perubahan itu bukan boleh berlaku dalam masa yang singkat.
Bagi anda yang tahu melihat dan memberi komen serta bidasan, selamilah perasaan kami. Kami bukan inginkan penghargaan atau pujian, cukuplah sekadar pengertian dan ucapan terima kasih atas lelah kami seharian. Kami korbankan masa bersama kanak-kanak yang hauskan pendidikan. Waktu makan kami tidak seenak anda. Kami makan di kelas pun dalam keadaan terkejar-kejar. Baru ingin menyuap ada kalanya murid sudah terberak dan terkencing dan muntah di lantai. Takkan nak dibiarkan sahaja… bayangkan anda seolah duduk makan di hadapan tandas!. Malah makan pun adalah lebihan makanan kanak-kanak!. Kalau makanan habis bermakna kami terpaksa makan di kantin pada pukul 11.00 pagi apabila semua kanak-kanak telah pulang. Sarapankah itu atau makan tengahari? Kamilah guru, kamilah ibu, kamilah segala-galanya. Malah ada juga setengah ibu bapa yang sanggup meletakkan anak mereka seharian di kelas sehingga pukul 1.00 tengahari. Kami ini BIBIKkah?
Akhir kata, saya menyusun jari memohon kemaafan kalau tulisan saya pedas bunyinya. Apa yang saya luahkan adalah dari rasa hati saya dan mungkin juga luahan guru-guru lain yang tidak berkesempatan untuk meluahkannya. Bukan pangkat yang kami kejar. Bukan pujian yang kami tagih. Cukuplah dengan pengertian ibu bapa, pentadbir dan rakan sejawat. Kami juga manusia yang tidak lepas dari membuat silap. Kamilah orang pertama yang mengenalkan kanak-kanak apa itu ABC… tanpa kami bolehkah guru Tahun 1 berfungsi, bolehkah guru Tahun 6 mendapat murid 5A, bolehkah guru PMR, SPM, STPM dan pensyarah universiti memiliki pelajar yang berjaya? Janganlah menjadi sebagaimana lagu Bangau Oh Bangau….kata orang tua-tua…Sepakat membawa berkat. Sayangilah orang di sekeliling anda jika anda mahu orang menyayangi diri anda kelak.
Salam kasih sayang dari saya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
Bahasa Melayu Mendengar cerita Mendengar puisi Mendengar perbualan Mendengar perbualan Bersoaljawab mengenai puisi dan cerita Me...
-
Urusan Pentadbiran Kelas Prasekolah (a) Membantu guru mendaftar kehadiran murid-murid prasekolah setiap hari. (b) Membantu guru membuat inve...
1 ulasan:
Salam penuh keinsafan dan salam 1 Malaysia. Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran diberikan ruang fikiran dan kesempatan untuk berkongsi dengan puan, mungkin dengan guru-guru prasekolah.
Terlebih dahulu saya mungkin gunakan perkataan simpati, atau yang sama maksudnya bersempena keluhan, mungkin menjadi anjakan paradigma untuk puan dalam melayari kehidupan sebagai seorang guru prasekolah. Saya juga seorang guru prasekolah di sebuah sekolah di utara. Mungkin special sikit, sebab saya ni guru lelaki. Sepanjang pengalaman saya sebagai guru prasekolah, tetapi tidak selama puan yang mengajar selama 22 tahun, saya tidak menghadapi masalah serumit puan dalam mengendalikan kelas prasekolah sahaja. Sebelum mengajar kelas Prasekolah, saya juga pernah mengajar di kelas perdana. Apabila dibandingkan, saya merasa lebih seronok mengajar kanak-kanak prasekolah yang baru mengenali alam persekolahan dan baru seusia jagung, berbanding kanak-kanak di kelas perdana yang mula tunjuk taring. Memang tidak dapat dinafikan tentang karenah. Karenah ini boleh saya bahagikan dengan karenah kanak-kanak, karenah guru besar, karenah PPM, karenah ibu bapa, karenah rakan setugas dan macam-macam lagi. Kalau nak memuaskan semua sekali karenah itu, tak tau lah saya kalau puan mampu. Nasihat saya, pandai-pandailah kita menyesuaikan diri dengan pelbagai persekitaran dan karenah yang berlaku. Adakala kita tau serba serbi, adakala sekadar tahu dan adakala memang tak tau... Yang baik gunakan untuk kepentingan anak bangsa, yang rasa tak sesuai, terima dengan baik teguran, buat atau tidak terpulang. Ambil jalan tengah, kadang-kadang boleh beri keputusan yang baik.
Saya hormati kesungguhan dan iltizam puan, tetapi jika situasi itu berlarutan dan kedengaran seolah-olah satu masalah putus asa tentang kerja sebagai guru prasekolah, saya melihat tentu tak ada lagi bakal guru yang ingin menyertai Prasekolah nanti, sebab takut dengan tugas tak henti-hanti. Tak dinafikan, bakat sebagai pengajar atau pendidik memainkan peranan dalam menyusuri kerjaya ini, tetapi jika ada bakat tetapi keikhlasan tidak wujud dalam diri, saya merasakan tak guna kita buat sesuatu kerja. Saya memandang soal ikhlas terhadap tugasdan tingkah laku sangat penting. Sewaktu saya melanjutkan pelajaran di sebnuah institusi pengajian tinggi dahulu, ada rakan-rakan menempelak saya dengan mengatakan cikgu belajar tinggi-tinggi, basuh berak anak murid je.. Kedengaran pedas, kalau layan boleh meletup, tetapi kita diberikan kekuatan dan keyakinan. Jawab saya senang je...macam anak kita, cuci je lah... mungkin dia tak pernah cuci anak dia berak kot... Saya menganggap satu kebiasaan andai kita menjadikan kerja kita dengan semangat ikhlas. bagilah banyak manapun, insyaallah boleh diselesaikan.
Akhir kata, buat sesuatu kerja menggunakan akal fikiran tak rugi, berkongsi, masalah dapat diringankan, tak tau bertanya, tau, kena kongsi. Jangan terlalu mengharap balasan atas kerja, nanti yang diharap langsung tak dipandang, sendiri rasa tersinggung.
Salam...
Catat Ulasan