Begitulah soalan yang dikemukakan oleh Mina. Bagus soalan ini. Sekurang-kurangnya saya tahu apa yang anda guru-guru baru perlukan. Terima kasih Mina kerana kemukakan soalan begini. Baiklah bagi menjawab soalan itu, buat ketika ini saya tidak membawa pulang Buku Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan. Sebenarnya di dalam buku itu telah tersedia contoh jadual waktu kelas. Kementerian Pelajaran juga telah membekalkan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Prasekolah kesemua sekolah. Anda boleh merujuk buku berkenaan. Ianya telah diserahkan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun lepas. Sila tanya kepada pihak pentadbiran sekolah. Kementerian turut membekalkan CD berkaitan. Mungkin ianya disimpan di pejabat. Harap maklum.
InsyaAllah saya akan memasukkan jadual waktu tersebut bila sesi persekolahan bermula esok. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah jadual waktu kelas prasekolah adalah fleksibel. Anda boleh mengubahnya mengikut situasi kanak-kanak. Untuk pengetahuan anda guru-guru baru, jadual waktu kelas dan persendirian sama sahaja kerana kitalah guru kelas dan guru semua komponen. Tiada istilah waktu rehat kecuali sekiranya kelas anda mendapat seorang guru Pendidikan Islam. Biasanya sekolah akan memberikan masa 1 jam seminggu sahaja!. Baki 1 jam lagi anda sendiri perlu mengajar. Betulkah begitu? Ya itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh guru prasekolah. Malah ada yang lebih malang lagi bila sekolah tidak meletakkan guru Pendidikan Islam di kelas prasekolah dengan alasan tiada pekeliling dari Kementerian Pelajaran. Andainya pegawai Prasekolah Kementerian Pelajaran membaca entri ini, saya ingin merayu tuan untuk membuat tindakan sewajarnya. Sebenarnya guru prasekolah sering diabaikan. Kami dianggap sebagai menumpang di sekolah. Malah ada di kalangan masyarakat masih memandang rendah kebolehan guru prasekolah.
Ada setengah sekolah yang tidak mempunyai pembantu pengurusan murid atau pembantu pengurusan murid cuti bersalin. Siapa yang perlu memasak dan mengemas kelas dan mencuci tandas? Jawapannya ialah guru prasekolah sendiri. Memang tidak menang tangan dibuatnya bila tiada yang membantu. Oleh itu bagi semua guru-guru prasekolah anda kenalah bersedia mental dan fizikal kerana walaupun nampak mudah mengajar di kelas prasekolah, tugas anda sangat berat. Aspek keselamatan kanak-kanak adalah paling utama. Selesai mengajar anda tiada punya istilah waktu rehat sebenarnya kerana apabila ketiadaan pembantu pengurusan murid, tugasan kedua anda sudah menanti iaitu kerja-kerja pembersihan!. Begitu juga anda perlu mengemaskini maklumat dan membuat kerja-kerja penandaan. Oleh itu anda perlu ingat bahawa dalam jadual persendirian anda tugas tidak habis setakat pukul 11.00 pagi ( murid saya pulang pada pukul 10.30 pagi dan saya akan menunggu mereka untuk diambil oleh ibu bapa dan penjaga yang ada kala menjangkau sehingga ke pukul 12.00 tengah hari!. ) Saranan saya untuk menyediakan jadual waktu persendirian masukkan aktiviti yang perlu anda lakukan selepas kanak-kanak pulang. Ini bermakna waktu kerja anda bukan hanya 3 jam tetapi menjangkau sehingga ke pukul 1.30 petang tanpa rehat kerana pada waktu rehat kelas prasekolah anda masih perlu menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu mendidik kanak-kanak untuk mematuhi adab makan, membaca doa dan membersihkan diri.
Kepada rakan-rakan guru, selamat bertugas. InsyaAllah kita lakukan yang terbaik.
1 ulasan:
Salam sejahtera....
Cuma hendak berkongsi. Begitu juga dengan PPM. Bila tiada Guru terpaksa juga mereka berkejar ke sana sini. Beban bukan hanya kepada Guru, malah PPM juga terlibat sama. Lagipun PPM tiada cuti sekolah dimana Guru dapat bercuti pada musim persekolahan. Walauapapun kita terima pekerjaan kita dengan redha menuju kebaikan sejagat.
Catat Ulasan