Minggu ini temanya adalah Diri Saya. Ianya merupakan sambungan kepada tema Anggota Badan. Kanak-kanak masih mengenal nama-nama anggota badan mereka dan jantina. Oleh itu saya masih menggunakan modul Anggota Badan yang telah saya buat sebelum ini. Modul itu telah saya abadikan di dalam bentuk CD yang mana saya telah edarkan kepada guru-guru yang berminat. Di dalam CD itu telah saya muatkan latihan-latihan untuk komponen Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Semuanya merupakan perkongsian ilmu di mana saya hanya mengenakan bayaran sebanyak RM6 bagi sekeping CD. Walaupun begitu ada juga guru yang mengatakan harga yang saya letakkan adalah tinggi. Saya tidak pernah memaksa mana-mana guru untuk menerima idea saya. Oleh itu bagi yang berasa ianya mahal, silalah buat sendiri. Saya tidak akan melayan kerenah mereka yang ingin mendapatkan secara percuma kerana saya apa yang saya buat merupakan sebuah kajian yang panjang malah mengambil masa untuk menyiapkannya sehingga pen drive 4GB saya musnah ditelan virus yang banyak diternak di makmal komputer sekolah. Maka saya terpaksa memulakannya semula kerana kealpaan saya untuk membuat back-up semua fail-fail yang ada. Proses yang panjang ini turut menjejaskan kesihatan saya. Sakit belakang saya berulang semula dan hari ini saya mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Kota Tinggi. Hasilnya pihak hospital mengesahkan adanya ketidaksempurnaan di ruas tulang belakang di mana wujudnya tulang yang tumbuh di antara ruang tulang akibat kemalangan yang saya alami sewaktu menuntut di MPPP Kuala Terengganu kira-kira 24 tahun yang lalu. Hari ini dan esok saya akan bercuti rehat di rumah sambil menelan pil penahan sakit!. Nampaknya selepas ini itulah ubat yang terpaksa saya telan untuk menahan bisa yang ada. Saya benar-benar mengharapkan agar pihak hospital dapat mengaturkan jadual terapi yang boleh saya ikuti untuk mengurangkan kesakitan dan kebergantungan kepada ubat penahan sakit.
Baiklah kita lupakan dahulu masalah kecil saya itu. Untuk makluman, sebenarnya bahan-bahan itu adalah untuk simpanan peribadi saya di kelas namun atas rasa keguruan, saya bersedia berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja. Jom lihat apa anak-anak murid saya yang comel buat...
Hasil kerja murid-murid yang dipamer di hadapan kelas. Apa yang penting mereka dapat mewarna dalam keadaan yang terkawal. Latihan asas yang perlu untuk memegang pensel dengan betul terutamanya bagi murid yang berumur 4 dan 5 tahun serta murid berumur 6 tahun yang baru mengenal alam tadika.
Hasil sentuhan Suraya menunjukkan yang dia dapat melukis kedudukan anggota muka di tempat yang sesuai dengan lukisan asas yang disediakan
Suraya (6 tahun) mudah membantu rakan yang lain bila diperlukan. Sikap ini membuatkan beliau disukai oleh kanak-kanak yang lain.
Haiqal (6 tahun) seorang kanak-kanak yang berani namun masih kurang memberi tumpuan. Sikapnya yang lucu menyerikan suasana kelas.
Khairuddin (6 tahun) sering ingin mendapatkan perhatian dengan tingkahlaku yang mencabar kesabaran saya. Kematian ibu mungkin punca masalah tingkahlaku. Untuk cuba menyelesaikan masalah, saya sering memeluknya dan menyatakan yang saya sayang padanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan