Sabtu, Januari 24, 2009

Bahan Fotostat

99% bahan yang ada di kelas saya adalah dibuat sendiri. Bagi saya itulah kepuasan. Bahan-bahan ini saya fotostat dari buku dan dibesarkan dan kemudian diwarnakan dengan bantuan Pembantu Pengurusan Murid saya, Puan Rosmizana. Sewaktu zaman persekolahan dahulu saya sering gagal di dalam matapelajaran Seni. Pelik bin ajaib sebab biasanya seni ini jarang orang boleh gagal. Mungkin kerana hasil kerja saya tidak mencapai kehendak guru-guru Seni saya. Sewaktu di Maktab Perguruan Pasir Panjang, saya sering menangis kerana gagal mendapat markah yang baik. Dari kegagalan itu saya terus belajar melukis dan mewarna. Sewaktu melahirkan anak ketiga dalam tahun 1992, saya terus melukis sewaktu dalam pantang. Hari-hari saya penuhi dengan melukis dan mewarna. Selagi tidak mencapai kepuasan, saya akan terus belajar. Sewaktu mula-mula mengajar dalam tahun 1987, saya menekap semua gambar untuk bahan bantu mengajar menggunakan kertas karbon. Bayangkan saya akan menekap gambar dari abjad A hingga Z. Saya tidak mahu mengaku kalah. Pernah saya menangis bila meminta bantuan rakan guru untuk melakarkan lukisan di kad imbasan. Mereka tidak memperdulikan rayuan saya. Maklumlah saya mengajar murid Tahun 1 ketika itu yang perlu banyak bahan bergambar. Saya tanam azam untuk belajar dan terus belajar.

Sekarang segalanya sudah mudah. Hanya klik sahaja semua siap. Tidak perlu lagi menekap dengan kertas karbon yang boleh membuatkan semua kuku kehitaman. Saya hairan kenapa masih ramai guru yang masih malas sedangkan zaman semakin canggih. Nak kata sibuk, saya pun sibuk. Nak kata tidak cukup masa, masa tetap 24 jam sehari. Nak kata sibuk dengan anak-anak, saya juga punya anak-anak. Sebenarnya masalah berpunca di hati. Saya tidak menyatakan saya rajin atau bagus. Cuma saya kesal kalau ada di kalangan guru prasekolah yang buat tidak peduli dengan kelas mereka kerana peruntukan sudah diberikan kerajaan. Sebenarnya sikap beginilah membuatkan ramai guru prasekolah dilabel sebagai guru yang senang kerjanya, yang relaks, yang bla ... bla... bla.... Saya ingin menyeru kepada semua guru terutamanya guru muda, jadikanlah kelas itu macam rumah anda sendiri atau pejabat anda sendiri. Jangan terlalu mengharapkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dalam menjalankan tugas. Semua ini amanah Allah buat kita. Buatlah yang terbaik dan termampu. Walaupun setelah 22 tahun mengajar dan APC tidak pernah saya miliki, saya tetap menjalankan tugas yang saya sukai. Saya tidak nafikan ada kalanya saya juga berasa malas dan penat. Nasihat saya, kalau anda malas, gantikan kemalasan itu dengan melakukannya di rumah. Itulah yang saya lakukan sebab rezeki yang diperolehi itu akan dimakan oleh kita sendiri dan ahli keluarga.

Maafkan saya kalau agak kasar tadi. Tujuan saya satu iaitu ingin mengajak rakan-rakan guru untuk mengangkat pandangan masyarakat kepada guru prasekolah. Kalau dahulu guru prasekolah dianggap guru menempel di sekolah. Guru prasekolah dianggap guru kelas bawahan. Guru prasekolah dianggap guru yang tidak memberi sumbangan yang besar kepada sekolah. Masyarakat silap sebenarnya. Tanpa guru prasekolah, tiada murid Tahun 6 yang berjaya memperoleh 5A, tanpa guru prasekolah tiada pelajar cemerlang PMR, SPM dan STPM malah ke menara gading. Guru yang dipandang rendah yang sanggup mencuci punggung anak-anak bila cirit birit di kelas atau terkencing di dalam seluar inilah yang juga mengenalkan ABC dan membaca, menulis dan mengira. Dari kosong hingga boleh mengenal angka dan abjad. Rendahkah prestasi kami? Kalau diberi kepada guru Tahun 1, 2, 3, 4, 5, 6 malah pensyarah universiti untuk mencuci punggung anak orang lain mahukah mereka membuatnya dengan ikhlas? Mahukah mereka menadah tangan menyambut muntah yang tersembur di mulut anak-anak kecil ini di kelas tanpa memikirkan bau yang busuk dan hanyir menyembur ke baju dan kain sutera yang baru dibeli atau dihadiahkan seseorang? Alangkan baru 10 minit sahaja bersama anak-anak ini mereka sudah menyerah kalah. Ayuh... rakan-rakan guru prasekolah... saya yakin anda semua boleh melakukannya. Anggap anak-anak didik itu sebagai anak anda sendiri maka sudah pasti anda akan sayangkan mereka. Peluklah anak-anak didik yang suci itu dengan kasih sayang kerana orang yang tidak menyayangi orang lain sudah pasti akan dibenci orang kelak.

Bagi guru yang kurang kemudahan di sekolah, buatlah apa yang sepatutnya. Kementerian Pelajaran telah memberikan peruntukan yang sama banyak kepada semua kelas prasekolah. Gunakan dengan berhemah. Kalau semua bahan ingin dibeli memanglah tidak mencukupi. Bagaimana cara untuk menjimatkan perbelanjaan? Jawapannya cubalah buat sendiri. Yang penting anda melapangkan dada dan sedia belajar. Caranya?
1. Fotostat gambar ke saiz A3 atau A4.
2. Beli warna poster atau krayon yang mempunyai set yang ada tone warna.
3. Perhatikan gambar-gambar yang ingin anda warnakan.
4. Tentukan arah cahaya. Kalau dari atas, maka warna di bawah akan menjadi lebih gelap.
5. Kalau tidak pandai mewarna, warnakan 1 warna sahaja tanpa tone.
6. Kalau anda memiliki set krayon yang bertone, anda boleh gunakan ikut arah dari warna yang gelap ke warna yang terang.
7. Warnakan dengan sepenuh hati kerana anda pasti akan berpuas hati dengan hasil kerja anda itu.
8. Selamat mencuba.
9. Kalau tidak pandai juga rajin-rajinlah bertanya kepada guru Seni. Jangan asyik nak mengumpat atau bersembang kosong. Sambil berbual pastikan tangan anda bekerja ok!.
10. Jom kita kongsi apa yang telah saya warnakan di kelas.
11. Jangan buat mural di dalam kelas kerana ia akan membuatkan kelas anda kaku.

Rama-rama merupakan serangga kesukaan saya.

Mawar bunga yang cantik dan wangi meskipun berduri.

Cendawan memang comel dan kanak-kanak sukakannya.

Suasana warna-warni menceriakan tugas anda seharian.

Tiada ulasan:

Worksheets