Isnin, Januari 05, 2009

Hari Pertama Persekolahan 2009

Assalamualaikum
Hari ini merupakan hari pertama persekolahan. Suasana pagi agak kelam kabut sedikit sebab ramai ibu bapa yang datang menghantar anak mereka ke kelas ditambah dengan kerenah kanak-kanak.


Suasana semasa perhimpunan pagi

Ada yang menangis meraung sekuat hati kerana ingin pulang bersama ibunya. Ada yang asyik ingin keluar dari kelas. Ada yang mengeluarkan alat-alat permainan yang ada tanpa kebenaran. Ada yang banyak cakap. Macam-macam ada.

Untuk menarik perhatian kanak-kanak, saya mulakan dengan sesi perbualan. Di peringkat awal suasana senyap kecuali seorang kanak-kanak yang meraung sekuat hati apabila pintu kelas ditutup untuk mengelakkan kanak-kanak lari keluar kelas. Kerusi dibalingnya. Mujur tiada yang cedera. Pembantu Pengurusan Murid saya turut ditumbuknya. Saya hanya membiarkan Pembantu dengan kanak-kanak tersebut kerana perlu melayan 23 orang lagi kanak-kanak yang lain. Mujurlah saya sudah mengarahkan Pembantu untuk menempah makanan awal-awal di kantin sekolah. Kalau tidak pasti suasana semakin haru biru. Pintu akhirnya dapat dibuka oleh kanak-kanak berkenaan dan dia lari keluar kelas. Pembantu saya terpaksa mengejarnya. Apabila dapat ditangkap ( hehehe macam main kejar-kejar pula ) kanak-kanak itu boleh mengatakan yang dia hendak bersiar-siar sekeliling sekolah. Macam-macam cerita pendek yang dikeluarkannya. Pembantu terpaksa melayan Udin di luar kelas. Kelakar pun ada bila tengok keadaan itu.

Kepala saya ligat memikirkan bagaimana cara untuk mententeramkan kanak-kanak yang lain kerana mereka sudah mula gelisah apabila semua ibu bapa telah pulang. Ada yang mukanya mula masam-masam manis sahaja. Mujur tiada yang terbuang air besar atau kecil hari ini. Sewaktu perbualan awal pagi itu saya mengeluarkan beg alat tulis yang telah disediakan. Wah meriah juga dibuatnya sebab semua hendak bercakap. Semua kanak-kanak mula ingin memperkenalkan diri masing-masing. Seterusnya saya menerangkan tentang cara menyampaikan ucapan bertatasusila. Bermula dengan ucapan salam kemudian diikuti dengan ucapan Good Morning dan terima kasih. Kemudian saya mulakan dengan acara nyanyian lagu ABC dan mengira sehingga nombor 10. Nampaknya ramai yang sudah ada kesediaan belajar. Bagi menarik perhatian mereka saya pun mulalah mengeluarkan idea-idea kartun yang terlintas di benak saya untuk menambahkan rencah pengiraan. Saya sebutkan cara Naruto ingin berlari, cara Ultraman ingin terbang dan Papaya ingin lari. Apa lagi macam-macam cerita kartun keluar dari mulut mereka. Ada yang bercerita tentang Ben 10. Malangnya kartun itu tidak pernah saya tonton. Kisah Ultraman ini sebenarnya kisah yang saya suka tonton sejak awal tahun 1970an di zaman persekolahan dahulu. Bayangkan cerita yang sudah 30 tahun berlalu masih mendapat tempat di hati kanak-kanak!. Saya membuat aksi Ultraman... apa lagi mereka semakin seronok sebab cikgu pun sudah jadi macam budak-budak.

Apabila bercerita tentang cerita kelakar maka terkeluarlah cerita Papaya. Apa lagi saya pun teringat kertas lembaran topeng yang telah disediakan. Hmm bagaimana pula cara untuk menarik perhatian kanak-kanak untuk menyiapkan tugasan ini? Mentol tiba-tiba menyala... hehe mentol di kepala daa... saya pun mengeluarkan beg plastik yang mengandungi alat tulis yang telah dibeli oleh pihak sekolah menggunakan duit LPBT. Konon-konon cikgu akan beri hadiah kalau siapa dapat menyiapkan kerja. Hehehe.... Tipah Tertipu... semua kanak-kanak dengan penuh bersemangat menyiapkan topeng yang diberi. Cuba lihat wajah ceria mereka di bawah ini... berjaya cikgu menipu Tipah... bila kamera diajukan... amboi berposing sakanlah mereka. Meriah kelas Cikgu Fauziah pagi ini...

Membuat topeng Papaya

Masa makan juga boleh tahan kelam kabutnya. Ada yang sudah makan lebih dahulu sebelum sempat membaca doa. Terpaksalah saya menahan mereka dari terus menyuap. Mee goreng yang disediakan oleh pihak kantin pula agak pedas namun mereka begitu berselera menyuapnya ke mulut masing-masing.



Selesai makan ada yang meninggalkan piring dan cawan di atas meja. Alahai macam mana hendak menyelesaikan masalah ini? Saya teringatkan senikata lagu Wonder Pet lalu menyanyikannya "Apa yang penting?" Murid-murid pun menjawab "Kerjasama". Saya menambah senikata dengan "Wonder pet, wonder pet banyak cawan. Wonder pet, wonder pet banyak piring. Apa nak buat?" Kanak-kanak menjawab " Kerjasama!"... Mereka pun mengambil cawan dan piring lalu meletakkannya ke dalam sinki. Akhirnya berjaya saya menyelesaikan masalah.

Usai makan, saya memasang video Magic English dengan tema Hello. Ada yang pernah menonton video berkenaan mula hilang tumpuan. Terpaksalah saya menyuruh mereka mengikut apa yang disebutkan di dalam tayangan video.

Kelas berakhir dengan agak kelam kabut juga bila ada yang terus berlari keluar kelas menuju ke pagar sekolah. Saya dan pembantu tidak sempat mengejar mereka. Oleh itu saya meneruskan program dengan mengarahkan kanak-kanak beratur dan membaca doa pulang kemudian bersalaman dengan mereka. Untuk memandu arah mereka berjalan mengikut barisan ke pintu pagar utama sekolah juga menjadi masalah kerana mereka sudah mula ingin berlari. Hai Cikgu Fauziah mula jadi Tarzan hari ini...naik perit tekak melarang mereka dari berlari. Selesai kanak-kanak diambil penjaga masing-masing barulah saya dapat membasahkan tekak di kantin dengan segelas Milo Ice... hehehe untuk pulihkan tenaga. Eh...eh... masuk iklan Milo la pulok... Selesailah kisah hari ini... Esok nak bawa kanak-kanak berlari di padang sekolah pula dan bermain di taman permainan. Asak mereka dengan permainan di padang pula... harap-harap hari tidak hujan. Hehehe macam-macam dah rancang nak buat esok.

Tiada ulasan:

Worksheets