Saya suka blog ini

Sabtu, Januari 24, 2009

Sepanjang Cuti Tahun Baru Cina 2009

Assalamualaikum
Selamat Tahun Baru Cina diucapkan kepada rakan-rakan guru yang menyambutnya. Sekolah saya bercuti mulai hari ini sehingga hari Rabu, 28hb Januari 2009. Sepanjang cuti saya hanya duduk di rumah bersama anak-anak dan sesekali akan ke kebun untuk melihat kambing-kambing yang diternak di kaki gunung Panti. Nak tengok aktiviti yang saya lakukan? Kambing-kambing ini sangat comel. Anak bongsu saya suka memeluknya. Lihat aksi beliau di sini. Cuma yang tidak tahan sewaktu di dalam kereta, aroma perfume kambing menusuk melekat ke baju.

Projek ternakan kambing ini telah kami usahakan sejak tahun lepas bermula dengan 5 ekor kambing dan sehingga kini kambing-kambing kami telah membiak sebanyak 31 ekor. Eh!... apa kaitan kambing dengan blog ini ya? Tidak ada apa-apa kaitannya cuma saya sering diajukan soalan ke mana akan pergi sewaktu cuti panjang begini. Sebenarnya saya anak jati Kota Tinggi. Rumah saya dengan rumah orang tua hanya 7 km sahaja. Tanah kebun ini milik saya sejak lebih 20 tahun lalu selepas saya membelinya dari arwah nenek. Tanah ini terletak di kaki Gunung Panti. Di sinilah suami saya sering menghabiskan waktu petangnya bertani selepas habis waktu persekolahan. Hari Jumaat pula, kandang kambing ini menerima pelajar-pelajar Pendidikan Khas SMK Taman Kota Jaya untuk menjalankan aktiviti transisi penternakan kerana suami saya merupakan guru Pendidikan Khas di sekolah tersebut. Saya sebenarnya menyimpan cita-cita untuk membawa murid-murid saya ke sini satu hari kelak. Buat masa sekarang jalan kurang sempurna kerana dipenuhi lumpur tanah sawah. Semoga impian saya untuk membina satu pusat pembelajaran bagi kanak-kanak khas akan tercapai dan di sini juga saya boleh membawa murid-murid prasekolah untuk mengenali lebih dekat kehidupan kambing yang menjadi sumber makanan di negara ini. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kanak-kanak kecil itu nanti bila melihat anak-anak kambing yang sangat comel ini.

Setakat ini anak-anak saya jarang dibawa bercuti ke tempat yang jauh. Maklumlah kalau kecil-kecil dahulu, mereka saya tinggalkan untuk menyambung pelajaran di Universiti Malaya. Bila mereka meningkat usia, suami pula menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bila sudah lapang sedikit beban kewangan, saya dan suami pula sering sakit-sakit. Maklumlah usia semakin menginjak tua. Oleh itu tempat percutian kami hanya di kampung sendiri. Bila ingin bercuti ke tempat lain, bagi anak yang tinggal di asrama saya izinkan mereka mengikut kawan seasrama pulang ke kampung. Mungkin pemikiran saya masih kekampungan (walaupun saya menetap di kawasan bandar) di mana saya lebih senang melihat anak-anak melawat ke kampung-kampung berbanding di bandar. Saya lebih suka membawa anak-anak melihat kesukaran orang lain supaya terbit rasa keinsafan. Saya sudah terbiasa susah begitu juga anak-anak kerana zaman awal kanak-kanak mereka berada di kawasan pedalaman. Seronok berada di kampung kerana udaranya yang segar. Bila bangun pagi terasa lapang dada.

Wah panjang juga penceritaan saya kali ini. Mungkin minat menulis itu ada sejak kecil membuatkan saya suka bercerita. Kalau di kelas, ada-ada sahaja cerita yang boleh saya ceritakan kepada murid-murid. Mungkin pengalaman kanak-kanak saya di kampung, meredah hutan dan sering mendengar cerita-cerita dongeng nenek dan makcik sebelum tidur membuatkan saya suka berfantasi. Zaman kanak-kanak saya dulu bila dapat kesempatan tidur di rumah nenek sebelah ibu, saya akan memaksa makcik-makcik saya bercerita sebelum saya lelapkan mata. Selagi mereka tidak bercerita, selagi itulah saya akan menjegilkan mata atau bermain dengan pelita minyak tanah nenek. Alangkah seronoknya mengenang zaman kanak-kanak dahulu. Kalau cuti panjang begini, saya dan sepupu akan mendaki Gunung Gaung di hadapan rumah abah. Peliknya tidak pernahlah terfikir tentang harimau yang ada di gunung tersebut. Hai... saya dan sepupu memang nakal dahulu kerana kalau mendaki gunung kami akan pergi senyap-senyap. Bayangkan kalau berlaku kejadian yang tidak diingini, pasti emak akan susah hati. Alahai...

1 ulasan:

miss rivebell berkata...

uina..
cikgu ader ladang kambing..
cm best jer..
*cm jakun*
xpenah tgk + pegang kambing live..
huhu..
bley r bw sy skali melawat..
cm best jer..
tiap2 ari sy tgk ayam boring lak..
xthrill lgsung..
hek3..
-munirah, praktikal PZM =P