Ahad, November 23, 2008

Sudut-sudut Pembelajaran

Guru prasekolah atau tadika mesti rajin membuat eksplorasi dalam usaha mewujudkan kelas yang menarik kerana kelas ini merupakan rumah kedua atau pejabat kita yang utama. Maklumlah di Malaysia ini satu kelas prasekolah hanya mengandungi seorang sahaja guru terutamanya bagi sekolah yang tidak membekalkan guru Pendidikan Islam atas alasan kekurangan guru atau masa guru agama terlalu padat padahal mereka telah diberikan kursus sewajarnya oleh pihak Jabatan Pelajaran. Malah kalau masuk pun hanya 2 hari dan ada ketikanya masuk lewat dan pelbagai lagi masalah. Peraturan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran dipandang sebelah mata padahal di umur ini kanak-kanak perlu didedahkan dengan secara maksimum Pendidikan Islam dan Moral. OKlah kita tinggalkan dahulu masalah pentadbiran itu, biarlah pihak pentadbiran menjawabnya dengan orang atasan dan Allah s.w.t di hari pembalasan kelak kerana gagal memimpin orang-orang bawahannya.

Kelas yang menarik ibarat sebuah rumah yang kita diami. Hari-hari kita akan duduk di situ dari pukul 7.15 pagi hingga ke 1.30 petang ( Ini waktu persekolahan di sekolah saya ). Kita tidak sibuk ke Bilik Guru sebab bilik guru kita sangat luas. Hmm... tidak tahulah kalau ada di kalangan anda memang suka duduk di Bilik Guru untuk bersembang sakan atau membelek katalog perniagaan atau membelek katalog alat solek, pinggan mangkuk dan kasut!. Terus terang saya katakan dalam setahun boleh dikatakan sekali sekala sahaja saya ke Bilik Guru apabila ada tugas yang benar-benar memerlukan saya menjengah Bilik Guru. Malah ada guru yang berbulan-bulan tidak saya temui kecuali di perhimpunan mingguan!.



Saya suka duduk di kelas saya sebab di situ adalah "core business" saya. Selepas mengiringi murid-murid pulang biasanya saya ambil masa ke kantin untuk sarapan pagi plus makan tengah hari. Itu rutin harian saya. Saya hanya ke kantin selepas waktu pengajaran tamat. Jarang saya ke kantin sebelum pukul 11 pagi kecuali dalam keadaan yang terdesak. Malah untuk hadiri jamuan sekolah pun saya akan pastikan selepas murid-murid saya pulang semuanya. Mujur orang kantin faham keadaan saya dan pembantu. Kami akan sama-sama ke kantin. Tiada istilah seorang pergi seorang tinggal kerana saya anggap pembantu seperti keluarga sendiri. Jadi saya tidak ada masalah dengan pembantu. Ini memudahkan juga kerja saya bila mana saya perlukan dia membantu menyediakan bahan bantu mengajar di kelas. Hubungan akrab amat penting bagi menjamin kelancaran perjalanan tugas harian kita. Kami akan sama-sama berbincang tentang apa yang akan diletakkan di kelas. Kalau dulu saya sering mendengar ada di kalangan guru seolah-olah menghambakan pembantu mereka. Malah ada yang tergamak menyuruh pembantu memasak makanan untuk makan tengah hari guru dan keluarga dalam waktu persekolahan! Saya kenal guru tersebut dan sekolahnya walaupun bukan sedaerah dengan saya. Tamat cerita di atas. Jom kita tengok apa yang saya temui di internet yang boleh memberikan inspirasi dan motivasi kepada kita dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.








Tiada ulasan:

Worksheets