Saya suka blog ini

Selasa, November 18, 2008

Menentukan Matlamat dan Objektif Prasekolah

Di negara kita kebanyakan pusat-pusat prasekolah dijalankan oleh pelbagai agensi yang berbeza seperti agensi kerajaan KEMAS, FELDA, Jabatan Perpaduan, Prasekolah Kementerian Pelajaran dan swasta. Memandangkan pusat-pusat prasekolah ini dikendalikan oleh pihak-pihak yang berbeza maka dari segi matlamat dan objektif penubuhannya juga berbeza. Kepentingan kepada pengajaran 3M membuka mata masyarakat tentang pentingnya pendidikan di peringkat prasekolah. Ibu bapa berlumba-lumba memilih pusat prasekolah yang dapat memenuhi harapan dan kehendak mereka. Inilah yang mendorong munculnya pusat prasekolah seperti cendawan tumbuh pada masa sekarang. Pemilihan pusat prasekolah oleh ibu bapa adalah berlandaskan kualiti yang dimiliki oleh sesuatu pusat prasekolah yang menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak. Pusat prasekolah yang mempunyai matlamat dan objektif yang menepati kehendak dan harapan akan lebih menjadi tumpuan ibu bapa.

Terdapat pelbagai kualiti pusat prasekolah yang perlu difikirkan bersama-sama ada penubuhannya menepati matlamat dan objektif atau pun tidak. Di antara penemuan penubuhan pusat prasekolah adalah seperti berikut:
1. Ada sesetengah pengusaha pusat prasekolah tidak melaksanakan program mereka dengan bersungguh-sungguh.
2. Ada pula yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
3. Ada pengusaha pusat prasekolah hanya mementingkan akademik semata-mata
4. Ada pengusaha pusat prasekolah yang memberi penekanan kepada aspek sosialisasi kanak-kanak.

Sebagaimana Kementerian Pelajaran Malaysia, matlamat penubuhan pusat prasekolah secara umumnya adalah untuk memberi peluang yang sama kepada semua kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan pada umur seawal 4 tahun. Objektif dan matlamat pendidikan prasekolah menggambarkan harapan dan jangkaan yang perlu dicapai oleh kanak-kanak prasekolah. Di sini mari kita lihat apakah penentuan matlamat dan objektif pendidikan prasekolah yang telah dibentuk oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Pendidikan prasekolah bertujuan menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke tahun satu di sekolah rendah. Pendidikan prasekolah membolehkan kanak-kanak mencapai
tujuan berikut :
i. Mempunyai sifat peribadi, perwatakan dan konsep kendiri yang positif yang menjadi warganegara yang patriotik;
ii. Menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan memperkembangkan kemahiran bahasa untuk berkomunikasi;
iii. Menggunakan bahasa Cina dan bahasa Tamil dengan betul untuk berkomunikasi di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina dan bahasa Tamil;
iv. Menggunakan bahasa Inggeris dalam interaksi seharian selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua;
v. Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid-murid beragama Islam;
vi. Mengamalkan nilai-nilai murid dalam kehidupan seharian;
vii. Mempunyai kemahiran kognitif, kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah;
viii. Mempunyai kematangan emosi dan kemahiran sosial;
ix. Mempunyai kecerdasan dan kemahiran fizikal serta mempraktikkan amalan kesihatan dan keselamatan yang baik; dan
x. Mempunyai daya kreatif dan estetika unuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya.

Walau bagaimanapun secara umumnya apa yang perlu kita faham bahawa prasekolah merupakan tempat kanak-kanak mula belajar membiasakan diri dengan rakan sebaya dan orang dewasa. Di mana mereka berpeluang berinteraksi bersama rakan, meningkatkan kemahiran-kemahiran perkembangan menyeluruh mereka di samping meningkatkan keupayaan berkomunikasi. Peruntukan suatu alam persekitaran yang kaya dan menggalakkan potensi maksimum kanak-kanak ini boleh diwujudkan di pusat prasekolah.

0 ulasan: