Rabu, Disember 09, 2009

Pergi Tak Kembali

Assalamualaikum.

Semalam adalah hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke 22 tahun dan semalam juga makcik yang pernah mendidik saya sewaktu bersekolah agama di SK Bukit Lintang kembali menemui Allah Maha Pencipta. Kami sampai terlupa yang semalam adalah ulangtahun perkahwinan kerana asyik memikirkan makcik yang tenat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sejak Isnin. Makcik dipanggil Allah beberapa minit sebelum pukul 3.00 petang semalam dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kebun Teh, Johor Bahru. Suasana amat mengharukan kerana dalam masa yang sama, anak perempuan tunggal arwah baru seminggu kemalangan dan kini masih belum sembuh sepenuhnya. Ramai yang menangis melihat anak arwah yang seakan-akan kebingungan. Suasana ketika melihat wajah arwah sebelum disembahyangkan juga amat mengharukan. Terlalu ramai orang yang datang. Wajahnya licin bersih sekali seolah-olah sedang tidur. Wajahnya menyerupai wajah emak padahal sewaktu hidupnya wajah arwah agak berbeza dengan emak saya. Ya Allah, saya pasti merindui wajahnya. Melihat keadaan arwah, membuatkan saya berfikir panjang... beliau seorang yang sangat baik tutur kata dan akhlaknya, banyak wirid dan solatnya... diuji puluhan tahun. Tidurnya dalam duduk kerana tidak mampu tidur macam kita akibat penyakit yang dihidapinya. Dia sangat tabah menghadapi ujian Allah. Dia seorang yang sangat sabar sama seperti pak su dan emak membuatkan saya bertanya pada diri sendiri... kenapa aku tidak mampu sabar seperti itu. Dalam adik beradik emak, kesabaran arwahlah yang paling tinggi. Melihat ipar duai arwah juga membuatkan saya terharu... betapa mereka menghargai jasa arwah sejak dulu. Sewaktu solat jenazah, ramainya yang datang memenuhi ruang untuk solat kali terakhir buat arwah malah pakcik sendiri menjadi imam solat jenazah buat isterinya.

Hilang kisah ulangtahun perkahwinan kami. Hanya doa dan airmata mengiringi pemergian makcik. Terima kasih makcik kerana mendidik saya sejak kecil. Mendidik saya pendidikan agama untuk mengenal Tuhan. Biarpun sedih, saya tetap bersyukur kerana penderitaan makcik selama ini sudah berakhir. Makcik sudah menemui Allah yang sentiasa dirinduinya.

Hari ini perjuangan dalam perjalanan hidup mesti diteruskan.

Tiada ulasan:

Worksheets