Saya suka blog ini

Ahad, Disember 13, 2009

Beres... RPT KSPK Siap...

Assalamualaikum
Selepas menghadiri kursus orientasi Kurikulum Prasekolah Kebangsaan seminggu sebelum cuti sekolah, puas juga saya mengulangkaji nota yang diberikan. Malah untuk memahami dengan lebih mendalam, saya memohon jasa baik Encik Sariman, Penolong Pengarah Prasekolah Jabatan Pelajaran Johor untuk mengikuti kursus ini sekali lagi. Sebenarnya selama 2 minggu ikuti kursus itu, saya ditugaskan sebagai urusetia. Sambil bekerja sambil mendengar siri penerangan jurulatih utama. Alhamdulillah dalam pada sibuk membantu urusan Jabatan Pelajaran Johor dan semangat ingin tahu yang tinggi dapat juga saya mengkhatamkan nota-nota yang diberikan. Semua saya perincikan dan membaca berulang kali. Adakalanya macam tak percaya saya boleh segigih itu mengalahkan waktu menuntut di Universiti Malaya dulu. Kalau di univerisiti dulu mata saya mudah sahaja nak terpejam. Mungkin kerisauan yang mendalam membuatkan saya mencuba sedaya upaya. Maklumlah terlalu banyak harapan diletakkan di bahu saya sejak kebelakangan ini. Kalau nak menunggu para jurulatih menyiapkan Rancangan Tahunan, saya tidak tahu bila. Saya menjadi semakin risau kerana sekolah hanya beberapa hari saja akan bermula.

Seronok bila hari ini usaha saya hampir tiba ke penghujung. Alhamdulillah baru sebentar tadi bereslah sudah semua Rancangan Tahunan itu. Untuk makluman rakan-rakan yang memesan RPT ini, saya tidak mengasingkan RPT Tunjang Pembelajaran mengikut semester. Rakan-rakan kena asingkan sendiri ya mengikut kesesuaian lokasi sekolah kerana pencapaian kanak-kanak di bandar agak berbeza dengan di pedalaman. Rakan-rakan juga boleh menambah sekiranya ada aktiviti yang lebih menarik untuk dimasukkan di alam RPT Tema. Apa yang saya tulis adalah berdasarkan apa yang termampu saya fikirkan sendiri. Mungkin ada idea rakan-rakan yang lebih hebat dari apa yang telah saya sampaikan. Bahan yang saya ingin kongsikan ini mungkin tidak sehebat jangkaan rakan-rakan dan saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya apa yang ada itu tidak dapat memuaskan hati rakan-rakan. Bekerja dalam keadaan tergesa-gesa ini memang meletihkan kerana saya bersendirian menyediakannya. Apa yang termampu itulah yang saya berikan.

Selepas ini saya akan cuba mengumpulkan pula sumber-sumber lain untuk dijadikan panduan. Apa yang menarik perhatian saya ialah semasa menyiapkan tugasan ini banyak ilmu yang diperolehi secara tidak langsung. InsyaAllah berdasarkan pembacaan dan pengalaman, saya akan cuba kongsikan bersama rakan yang lain di masa akan datang. Mungkin pada bulan Januari tahun hadapan, saya akan mula mengedarkan bahan-bahan rujukan lain kepada anda semua untuk dimanfaatkan bersama. Terima kasih atas sokongan anda semua. Tanpa anda siapalah saya.

0 ulasan: