Saya suka blog ini

Sabtu, November 07, 2009

Seminar Pedagogi Berkesan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan 2010

Assalamualaikum,
Terima kasih di atas kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Johor untuk saya menyampaikan ceramah di SM Sains Johor di Kluang pada 9 dan 10 November ini dan 16 November 2009 bertempat di SK Parit Raja Batu Pahat sempena Seminar Pedagogi Berkesan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Pada 9 November 2009 semua guru prasekolah daerah Batu Pahat dan Kluang akan berhimpun di SMS Johor. Keesokan harinya pula giliran guru-guru prasekolah daerah Muar dan Segamat. Manakala pada 16 November, guru-guru prasekolah daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Pontian, Mersing, Kota Tinggi dan Kulai akan berada di SK Parit Raja, Batu Pahat. Harap-harap saya mempunyai stamina yang kuat untuk dapat melaksanakan amanah ini dengan jayanya.

Saya baru sahaja dapat maklumat terkini petang tadi yang meminta saya dan Puan Napsiah Omar, guru prasekolah SK Laksamana untuk mengendalikan sudut pameran bahan-bahan bantu mengajar di prasekolah. Nampaknya esok saya kenalah mengangkut bahan-bahan yang ada di kelas. Dalam keadaan mendesak ini harap-harap bahan-bahan penting tidak ketinggalan. Semoga apa yang bakal dipamerkan akan dapat membantu rakan-rakan guru menambah idea untuk meneruskan perjuangan. Rasa-rasanya tidak semua mampu saya bawa pada hari tersebut.

Saya memang sangat sibuk sejak beberapa hari lepas. Sekolah mengadakan perkhemahan tahunan unit beruniform dan saya juga diamanahkan untuk membawa pulang murid-murid yang mengikuti perkhemahan Kelab Pencegahan Jenayah di SMK Seri Aman. Memang terkejar-kejar. Semalam saya juga berusaha menyiapkan kertas kerja yang diminta untuk disampaikan di seminar berkenaan untuk diedarkan kepada rakan-rakan guru. Puas juga mencari bahan yang sesuai untuk dijadikan sumber rujukan. Mudah-mudahan bahan itu kelak dapat mencapai objektif seminar diadakan. Insya-Allah.

Baru sebentar tadi saya dimaklumkan untuk ke Hotel Selesa, Johor Bahru pada 10 hingga 13hb November 2009 bagi membantu menyelaras kursus Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan. Surat akan difaks pada Isnin depan. Nampaknya seminggu ini kelas saya akan ditinggalkan sehingga Selasa 17 November baru saya boleh duduk di sekolah. Sekali keluar banyak kali pula kena terbang ke sana sini. Harap PPM saya tidak risau sangat ketiadaan saya. Bahan-bahan banyak di kelas, hanya menunggu di fotostat sahaja. Guru ganti jangan risau ( kalau ada ) kalau diarah masuk ke kelas saya ya. Kalau tak larat nak mengajar, buka sahaja VCD Magic English yang ada sekotak penuh di kelas saya. Bahan You Can Read pun ada. Cuma korang kenalah tahan kerenah anak-anak di kelas saya tu. Boleh tahan nakalnya. Kalau sudi, ajarlah mereka membaca buku yang ada di dalam beg mereka tu. Memang hari-hari buku itu mesti mereka bawa ke sekolah. Kalau tak ada... "roti panjang" saya sedia menanti. Rotan murid ke? Ya... memang saya rotan supaya mereka ni tahu kepentingan menjaga harta masing-masing. Kalau tidak digertak kena rotan, hari-hari mesti buku tertinggal dan seribu satu alasan diberi. Mana tahan kalau begitu. Yang pedihnya kalau sorang dua murid prasekolah tak dapat kuasai 3M sering guru disalahkan seolah-olah guru prasekolah tak mengajar. Yang 23 orang berjaya tu apa cerita?. Sebab-sebab seperti inilah membuatkan saya kena tegas dengan murid-murid. Mereka yang tak dapat, kita pula yang dipersalahkan. Takkanlah nak dipukul-bantai setiap hari.

Topik murid gagal kuasai 3M ni memang dah muak didengar. Macamana nak buat kalau baru disuruh membaca, airmata jantan dia berjurai macam kena pijak dek gajah? Bila guru garang sangat, murid tak nak datang sekolah. Bila dibiar satu benda pun tak dapat. Hiss serba salah dibuatnya. Sebab itulah di dalam mesyuarat pertama saya akan menerangkan prinsip dan cara saya mengajar anak-anak. Bagi saya, kanak-kanak di kelas macam anak saya sendiri. Kalau salah memang ada balasannya. Kalau baik memang ada ganjaran diberi. Tidak dinafikan ada ibu bapa yang sukar menerima kalau anak mereka dirotan. Kalau ada yang berkata demikian, awal-awal saya minta mereka bawa anak mereka pindah ke sekolah lain. Saya tidak akan memilih bulu. Kalau salah dan patut dirotan, saya akan merotan mereka. Pernah seorang murid perempuan di kelas saya melelas pipinya akibat ditolak seorang murid lelaki. Dahlah ditolak, ditindih pula kepalanya ke tanah. Kalau anda bagaimana? Nak buat tindakan apa? Ada tu menumbuk belakang rakannya sekuat hati bertubi-tubi. Nak tengok aje ke? Nak dibiarkan sahaja ke perlakuan kasar itu? Jawabnya memang saya akan merotan tapak tangan mereka yang berbuat demikian. Ah.. entahlah ... kalau zaman saya bersekolah di tahun 60 - 70an dulu... guru yang garang itulah yang akan kita kenang kerana merekalah kita jadi manusia. Lu pikirlah sendiri....Nabil


2 ulasan:

wak berkata...

ROTAN: yes, aku setuju. kalau dulu aku tak kenal erti rotan memang tak jadi orang la jawabnya.

sapa yang anaknya tak nak di rotan jangan daftar kelas aku. masih banyak lagi kelas kat jb ni. tapi kalau anaknya nak pandai masuk jer kelas aku. insyaalllah.........

Fauziah berkata...

betul tu wak
kalau derang x nak anak kena rotan, boleh cari sekolah lain. setakat akak mengajar 22 tahun ni lum ada murid yang mati bila akak rotan. biasalah kalau kat rumah anak 4 org pun mahu gegar rumah... ni 25 org. ada tu perangainya macam anak buluh betong. tak ke mendidih je darah dibuatnya. nak ditangan kang anak orang... tak ditangan kang tak menjadi orang. dulu masa akak sekolah bila kena rotan tak berani mengadu kat mak abah. kalau mengadu bukan rotan je kena, mahu kerusi naik atas kepala.