Khamis, November 26, 2009

Aktiviti Mengenal Abjad

Assalamualaikum

Hari ini saya ingin berkongsi idea untuk anda sama ada guru prasekolah atau ibu bapa membantu kanak-kanak cepat mengenal abjad. Mudah-mudahan di waktu cuti begini anda guru prasekolah dapat menyediakan bahan-bahan ini sebelum sekolah bermula. Manakala ibu bapa pula boleh menjalankan aktiviti ini sepanjang cuti persekolahan ini untuk menarik minat anak anda belajar dengan cara yang menyeronokkan. Selamat mencuba.


Sudut Abjad.

Setiap kelas prasekolah perlu ada satu sudut abjad di kelas. Anda boleh menyediakan ruang bilik di mana kanak-kanak boleh meneroka abjad dalam banyak cara yang berbeza. Anda boleh guna huruf-huruf magnetic, stencils, blok, kad-kad gambar, kad-kad imbasan, stamps, cookie cutters, span, puzzles atau set permainan yang banyak menggunakan abjad untuk diletakkan di sudut berkenaan.


Padanan Abjad.
Buat set kad-kad huruf kecil dan huruf besar. Minta kanak-kanak padankan huruf besar dan kecil. Kumpulan yang berjaya memadankan kad-kad huruf yang sama dengan banyak dikira pemenang. Permainan ini boleh menggunakan kad bersaiz daun terup dan dimainkan seperti permainan Happy Family.


Beg Abjad

Isikan beg plastik dengan gel rambut, krim bercukur, gam yang telah diwarnakan dengan pewarna makanan, atau sebarang bahan lain yang anda mudah temui. Biarkan kanak-kanak gunakan jari mereka untuk membuat huruf-huruf di atas bahagian luar beg. Mereka boleh kemudian goncang beg itu untuk menulis semula. Aktiviti ini sangat menyeronokkan dan tidak membuatkan kelas berselerak.


Name Scramble.

Tuliskan nama kanak-kanak di atas kad-kad berasingan.Kemudian campur-campurkan kad itu. Suruh mereka menyusun nama mereka ke dalam susunan yang betul. Mereka boleh juga menukar kad-kad dengan kanak-kanak lain-lain dan cuba untuk mengeja nama-nama lain. Secara tidak langsung kanak-kanak akan tahu mengeja nama mereka dengan ejaan yang betul.


Memburu Abjad.

Beri setiap kanak-kanak sekeping kad abjad. Minta mereka memburu abjad yang sepadan dengan kad yang mereka dapat di sekeliling bilik darjah, mencarinya di dalam majalah, atau buku-buku.


Kejar abjad.

Sorok kad-kad abjad di sekeliling kelas. Minta kanak-kanak mencari kad-kad tersebut. Siapa yang mendapat kad terbanyak dikira sebagai pemenang.


Kad hilang.

Letak kad abjad di atas lantai. Minta kanak-kanak menutup mata mereka. Guru sorok sekeping kad dan minta kanak-kanak meneka kad mana yang hilang. Permainan ini boleh dibuat secara kumpulan kecil. Minta pasangan lawan untuk menutup mata kumpulan yang akan meneka. Jika berjaya, markah akan diberikan.Kumpulan yang terbanyak menjawab soalan dengan betul akan dikira sebagai pemenang.


Memancing abjad.

Lekatkan kad abjad di botol mineral kosong. Pasangkan tangkai di bahagian penutup botol supaya mudah untuk dipancing. Guru sebut nama abjad dan kanak-kanak akan memancing abjad yang telah disebut. Kumpulan yang berjaya memancing huruf abjad yang betul dikira pemenang.


Alphabet Walk.
Bawa kanak-kanak keluar untuk melihat huruf-huruf yang terdapat di persekitaran mereka Mereka boleh melihatnya di papan tanda, bangunan dan di mana sahaja yang mempunyai perkataan tertentu.


Pasangan Perkataan.

Tulis dua perkataan yang sama bunyinya tetapi berbeza makna di atas papan hitam misalnya perang dan perang (warna) dan kemudian minta mereka beritahu anda perbezaan makna perkataan tersebut.


Main sorok-sorok Abjad.

Sorok kad-kad huruf-huruf di sekeliling bilik darjah. Minta kanak-kanak mencari kad tersebut. Bila mereka telah menemui kad, minta mereka duduk semula dan beritahu keseluruh kelas huruf yang mereka jumpa.


Lagu Abjad.

Lagu ini mudah untuk dipelajari dan menyeronokkan untuk dinanyikan. Beri kanak-kanak huruf abjad dan biarkan mereka menyanyi huruf mereka apabila tiba giliran mereka.


Menyisih perkataan.

Biar kanak-kanak memilih kad perkataan yang telah anda sediakan. Suruh mereka susun kad perkataan itu mengikut susunan abjad. Misalnya ayam, basikal, cempedak, durian, emak dan seterusnya.


Membuat Huruf-huruf.

Ajak kanak-kanak membuat huruf-huruf dari krim bercukur, play dough, span, pudding atau bahan-bahan lain yang menyeronokkan.


Abjad Lembaran kerja.

Gunting lembaran kerja. Tampal semula lembaran kerja dan lakukan latihan menulis untuk mengajar kanak-kanak mengenal abjad.


Telaga abjad.

Dengan menggunakan gelung rotan, Tulis di atas kertas dan tampalkan abjad tertentu pada skittel di tepi gelung rotan. Bahagikan kepada beberapa kumpulan murid. Guru sebut huruf dan kanak-kanak akan melompat ke dalam gelung rotan sambil menyebut nama huruf tersebut. Kumpulan yang berjaya menjawab dengan betul akan dikira sebagai pemenang.


Bunyi Abjad.

Sebut huruf abjad dan bunyinya dan minta kanak-kanak mengulang semula apa yang anda sebutkan.


Sepit Abjad

Gunakan kad-kad abjad untuk menjalankan aktiviti ini. Minta kanak-kanak sepit kad pada penyepit baju dan gantung di ruang yang disediakan. Dalam kumpulan kecil minta mereka cipta perkataan menggunakan kad abjad tersebut. Kumpulan yang berjaya mencipta perkataan yang paling panjang dikira pemenang.

Tiada ulasan:

Worksheets