Isnin, 3 Januari 2007: Sesi persekolahan 2007 bermula hari ini. Suasana hari ini amat meriah dengan tangisan anak-anak yang baru mengenal alam persekolahan. Tangisan silih berganti dan yang boleh digelar juara hari ini adalah Nur Aina Haziqah. Di peringkat awal pagi dia tidak menangis, tetapi apabila melihat Nafeesa Shahiza menitiskan airmata dia mula menangis dan muntah-muntah. Neneknya yang ada di luar kelas terpaksa masuk untuk membantu Puan Rosmizana kerana aku terlewat sampai ke sekolah akibat kereta mengalami kerosakan. Tangisan Aina berlarutan sehingga memaksa aku membawanya ke kantin selepas memancingnya untuk mengambil kertas lembaran kerja bagi membolehkan ibunya keluar balik ke rumah. Aku sangkakan tangisan Aina boleh reda, tapi rupa-rupanya ia semakin berlarutan menyebabkan dia muntah lagi.
Sebenarnya aku telah mengenali dia sebelum sesi persekolahan bermula iaitu semasa ibunya datang mendaftarkan nama Aina. Aku pergi ke rumahnya dan kebetulan pula ayah Aina adalah bekas rakan sekerja sewaktu aku mengajar di SMK Laksamana dan makcik Aina adalah juga rakan sekolahku dulu. Inilah kali pertama sejak mengajar di kelas prasekolah aku mendapat murid yang sanggup menangis dan sukar dipujuk. Tangisannya hampir 3 jam!. Puas dipujuk malah hingga aku terpaksa mendokong Aina untuk mententeramkan hatinya.
Kanak-kanak yang lain tidak menjadi masalah besar bagiku. Mereka seronok menonton tayangan video. Cuma apabila jam telah menjangkau ke pukul 10.00 pagi, suasana kelas mula murung. Ramai yang mula meninjau keluar kelas untuk memerhatikan ibu bapa masing-masing dengan mata yang mula berkaca. Puas juga ku ajak mendengar cerita dan menyanyi lagu-lagu untuk melupakan ingatan mereka terhadap rumah. Murid-muridku tahun ini ramai yang belum tahu menulis nama sendiri. Tepat jam 10.30 pagi, ibu bapa mula berkumpul di hadapan kelas. Agak kelam kabut sedikit kerana ada yang sudah berlari keluar untuk pulang.
Jam 11.45 pagi baru semua kanak-kanak diambil oleh ibu bapa masing-masing. Malah ada bapa yang terlupa waktu anaknya pulang. Oleh itu aku dan Rosmizana terpaksa menunggu di pintu pagar sekolah hingga jam 11.45 pagi. Memang meletihkan hari ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
Bahasa Melayu Mendengar cerita Mendengar puisi Mendengar perbualan Mendengar perbualan Bersoaljawab mengenai puisi dan cerita Me...
-
Urusan Pentadbiran Kelas Prasekolah (a) Membantu guru mendaftar kehadiran murid-murid prasekolah setiap hari. (b) Membantu guru membuat inve...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan