Khamis, Januari 04, 2007

4 Januari 2007

Suasana kelas hari ini terkawal. Sejak mula loceng berbunyi Aina masih tidak boleh berpisah dengan ibunya. Pagi ini dia menangis lagi. Puas juga untuk memujuknya. Malah aku sempat mengugut untuk mengambil gambar Aina untuk ditunjukkan kepada ayahnya. Huh!, semakin dia marah dan menangis. Nampaknya hari ini tiada gambar Aina.

Sebagaimana biasa, untuk menarik perhatian kanak-kanak aku mengajak mereka menyanyi lagu-lagu berkaitan dengan cerita yang kusampaikan pagi ini. Lagu-lagu berkaitan diri kanak-kanak dan bunyi-bunyi haiwan di sekeliling mereka. Setelah jam menunjukkan pukul 9.00 pagi, aku mengajak semua kanak-kanak untuk membuat aktiviti menulis. Rosmizana terus memujuk Aina dengan mengumpannya dengan alat permainan sementara ibu Aina menyusup keluar dari kelas sebaik Aina berpaling ke tempat lain. Setelah semua kanak-kanak lain selesai menyiapkan tugasan yang diberi, aku pun mengeluarkan "bintang" untuk diberikan kepada kanak-kanak yang dapat mewarna dan menulis dengan cantik. Sebaik melihat bintang itu, Aina mula menunjukkan minat untuk menumpukan perhatian kepada kertas yang kuberikan. dia mula mewarna dan menulis di bawah bimbingan Rosmizana. Akhirnya suara tangisan Aina mula berkurangan dan dia mula leka menyiapkan tugasan yang diberikan. Aina sudah boleh mula bergaul dengan rakan sekelas. Setengah jam sebelum balik, Aina mula teringatkan ibunya. Aku dan Rosmizana berasa lega kerana dia tidak lagi menangis cuma bertanya di mana ibunya berada. Tepat jam 10.45 semua kanak-kanak pulang ke rumah masing-masing.

Akhirnya Aina dapat dipujuk!. Mudah-mudahan esok Aina akan bersemangat untuk datang ke sekolah lagi.

Tiada ulasan:

Worksheets