Saya suka blog ini

Jumaat, Januari 19, 2007

Catatan Seminggu 13 - 19 Januari 2007

Sejak Sabtu aku tidak boleh online sebab ketiadaan bekalan eletrik dan talian telefon di rumah. Lagipun hujan lebat telah menyebabkan Kota Tinggi ditenggelami air. Rumahku juga tidak terkecuali. Air naik melebihi 2 kaki. Sekolah Datuk Usman Awang telah dijadikan pusat pemindahan banjir. Aku turut mendaftar di situ tetapi memilih untuk menginap di rumah orangtuaku di Kampung Lukut. Melihat air naik ke rumah selepas Solat Asar ( aku pulang ke kampung sebelum solat Zohor untuk memindahkan semua barang-barang ) airmata terus mengalir tanpa dipaksa. Aku terpaksa mengangkut barang-barang dari rumah ke rumah orangtuaku sebanyak 5 kali. Kebanyakannya adalah buku-buku (hingga ke saat ini buku-buku itu masih aku tinggalkan di rumah orangtuaku kerana fobia). Aku hanya mampu memetik keratan berita dari akhbar Berita Harian untuk dijadikan kenangan bersama. Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi datang ke Kota Tinggi turut memberi kenangan manis kerana aku telah diarahkan untuk menyambut beliau di meja buku pelawat. Gambar-gambar kenangan itu akan aku upload minggu hadapan kerana aku hanya akan berjumpa jurugambar berkenaan bila waktu sekolah dibuka. Sebenarnya sekolah telah ditutup sehingga Isnin depan!... cuti yang tidak menyeronokkan.

Berikut petikan dari Berita Harian yang telah kusunting semula khusus membincangkan banjir di Kota Tinggi.

Isnin, 15 Januari, 2007:

LUMPUH: Keadaan jambatan yang merentangi Sungai Johor ditenggelami air
yang memutuskan hubungan Kota Tinggi dengan Johor Bahru
dan Mersing, semalam.

Lebih 100,000 orang dipindahkan di semua lapan daerah sehingga malam tadi dalam banjir kali kedua di Johor – angka tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah bencana itu di negara ini.

Hujan lebat tidak berhenti di seluruh negeri yang dijangka berterusan sehingga Rabu ini menjadikan bencana itu semakin teruk dan lebih buruk berbanding banjir pertama melanda Johor 19 Disember lalu dengan 80,000 orang dipindahkan.

Sehingga jam 8 malam semalam, 101,680 penduduk dipindahkan akibat banjir yang bermula empat hari lalu. Sejumlah 30 jalan utama di seluruh negeri tidak boleh dilalui semua kenderaan, manakala Kota Tinggi, Tenggara, Mersing dan Segamat hanya boleh dihubungkan menggunakan helikopter.

Daerah Kota Tinggi paling teruk terjejas apabila seluruh kawasannya ditenggelami air akibat menerima jumlah hujan luar biasa sepanjang empat hari lalu iaitu lebih 600 milimeter (mm), berbanding purata tidak sampai 100 mm sehari biasanya.


DEMI KESELAMATAN: Mangsa banjir dibawa dengan bot melalui kawasan
pekan Kota Tinggi ke tempat lebih selamat.

Hujan lebat menyebabkan paras kandungan air dalam tanah mencapai tahap tepu dan tidak lagi mampu menyerap air, manakala paras semua tasik, sungai, parit dan empangan terus meningkat sekali gus memberi isyarat keadaan boleh bertambah buruk.

Malah, antara jam 8 hingga 11.30 pagi semalam, seluruh daerah Kota Tinggi terputus bekalan apabila pencawang elektrik yang membawa talian 132 kiloVolt (kv) hampir tumbang dihanyutkan arus.


Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohammad Mokhtar Mohd Ali, berkata bekalan elektrik di daerah berkenaan dipulihkan selepas talian itu dialihkan ke menara sementara.

“Bagaimanapun, kira-kira 30 peratus daerah Kota Tinggi, khususnya di bandar masih tidak mempunyai bekalan kerana 71 pencawang elektrik kami ditenggelami air,” katanya.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor (SAJ) Sdn Bhd, Jamaluddin Jamil, berkata secara keseluruhannya bekalan air bersih di seluruh negeri masih berada dalam keadaan stabil.

Selasa, 16 Januari, 2007:

Daerah Kota Tinggi yang paling teruk dilanda banjir kali kedua di negeri ini, lumpuh apabila pejabat kerajaan, swasta dan premis perniagaan ditenggelami air menyebabkan semua urusan terpaksa dihentikan.

Sehingga semalam, bandar Kota Tinggi hanya boleh dimasuki dengan bot atau helikopter kerana paras air banjir yang dalam, malah sehingga mencecah tingkat dua deretan rumah kedai di sesetengah kawasan akibat limpahan air Sungai Johor yang memutuskan hubungan daerah itu dengan Johor Bahru dan Mersing.

Operasi Hospital Kota Tinggi (HKT) pula terhad kepada perkhidmatan pesakit luar dan hanya bergantung kepada bekalan elektrik dari set generator yang disediakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pesakit yang dimasukkan ke wad hospital itu. dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Panglima 3 Divisyen Tentera Darat, Datuk Zulkifeli Mohd Zain, menyifatkan keadaan di Kota Tinggi amat buruk dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila sebuah bandar ditenggelami air sehingga lebih lima meter.

Seramai 98 pegawai dan anggota dengan 12 bot tempur serta 15 trak ditempatkan di Kota Tinggi sejak Khamis lalu bagi membantu menyelamat dan memindahkan penduduk.


TERJEJAS: Pemandangan bandar Kota Tinggi yang tenggelam
dilimpahi air banjir selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu.

Jalan yang masih ditutup ialah KM32 Bandar Tenggara, KM24 Jalan Kota Tinggi-Kulai, KM 26 Kota Tinggi-Kulai berdekatan Sungai Telor, KM40 Kota Tinggi-Johor Baharu di Kampung Batu 23, Jalan Tun Sri Lanang di Bandar Tenggara, KM 24 Jalan Mawai di Jalan Tun Habab dan KM 68.8 Jalan Kota Tinggi.

Rabu, 17 Januari, 2007:


TINJAU: Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi
diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman
menaiki bot tentera melihat sekitar bandar
Kota Tinggi yang ditengelami air, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang meninjau kawasan banjir serta melawat mangsa di beberapa pusat pemindahan di Kota Tinggi dan di sini semalam, mengingatkan penduduk supaya mengambil suntikan pencegahan penyakit yang diberikan pihak berkuasa.

Keadaan banjir di Kota Tinggi juga semakin pulih dengan beberapa jalan sudah boleh dilalui kenderaan, walaupun pusat bandar ini masih digenangi air sedalam satu meter.

Jalan yang masih ditutup di Kota Tinggi ialah kilometer (KM) 24 Jalan Mawai-Sedili, KM40 Kota Tinggi-Johor Bahru, KM23 Jalan Ulu Tiram-Kota Tinggi, KM32 Bandar Tenggara-Kulai, KM33 dan KM56 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi.

Khamis, 18 Januari, 2007:


KESAN BENCANA: Nurainul Nadira Isa ,13, bersama
ahli keluarganya membersihkan rumah mereka selepas
air mula surut di Kota Tinggi, semalam.

Ketika ramai mangsa banjir kali kedua, terutama di Johor, mula pulang ke rumah selepas air di kebanyakan kawasan semakin surut, semalam, kerajaan mengumumkan lagi bantuan tambahan bagi meringankan beban penduduk terbabit. Bantuan itu termasuk bekalan makanan asas seperti beras, minyak, susu dan sardin selama sebulan serta keperluan membersihkan rumah meliputi baldi, penyapu dan mop.

Pengarah Direktorat Pengurusan Krisis dan Bencana Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Che Moin Umar (gambar), yang dihubungi Berita Harian di Putrajaya, berkata bantuan makanan asas itu dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mangsa yang pulang ke rumah.

“Jumlahnya bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga atau bilangan anggotanya," katanya.

Sehingga petang semalam, kira-kira 15,000 mangsa banjir di seluruh Johor pulang ke rumah masing-masing dengan 100 pusat pemindahan ditutup. Bandar Kota Tinggi yang ditenggelami air sehingga lima meter sejak tiga hari lalu, juga beransur pulih.



AGIH BANTUAN: Exco Johor, Datuk Halimah Sadique dan
Datuk Baderi Dasuki (kanan) membungkus telur untuk
mangsa banjir di Kota Tinggi, semalam.

Sehingga 5 petang semalam, 75,394 mangsa banjir masih ditempatkan di 226 pusat pemindahan di Johor dengan Batu Pahat masih mencatat jumlah tertinggi, iaitu 45,994 orang diikuti Kota Tinggi (13,882); Segamat (4,593); Kluang (3,938); Mersing (3,010) dan Johor Bahru (834).

Abdullah yang turut meninjau kawasan banjir di Kota Tinggi, kelmarin, juga mahu pengagihan apa jua bentuk bantuan mesti diselaraskan supaya diterima mangsa terbabit. Beliau berkata, mesyuarat Kabinet pagi semalam turut membincangkan masalah banjir di Johor serta Pahang dan keputusan dibuat bagi memastikan semua mangsa banjir diberi bantuan sewajarnya. "Kita juga putuskan supaya semua bantuan yang diberi dilakukan dengan adil dan saksama," katanya.

Ketika berucap di SMK Penghulu Saat pula, Abdullah berkata, wang ihsan RM500 akan hanya diberi selepas mangsa kembali ke rumah bagi memastikan bantuan itu digunakan sebaik mungkin untuk membeli barangan keperluan masing-masing. Abdullah turut mengakui masih terdapat bantuan yang belum sampai kepada mangsa banjir, tetapi beliau sudah memberitahu Abdul Ghani supaya mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan pengagihan bantuan itu.

Jumaat, 19 Januari, 2007:


TIADA PILIHAN: Penduduk menaiki sampan untuk keluar
mendapatkan bekalan, selain menjaga keselamatan
kediaman mereka di Kampung Mawai, Kota Tinggi.

Umno Bahagian Tenggara yang diterajui Ketua Bahagiannya, Datuk Halimah Mohd Sadique dan timbalannya, Datuk Baderi Dusuki 'berkampung' bagi memastikan semua mangsa banjir dalam kawasan Parlimen itu mendapat perhatian sewajarnya. Sumbangan barang keperluan terutama makanan dari luar sama ada orang perseorangan atau syarikat, memerlukan pengagihan segera perlu kepada mangsa banjir terutama di pusat pemindahan.

Bagaimanapun, masih ada penduduk dua kampung yang terjejas teruk akibat banjir di Kota Tinggi iaitu Kampung Kelantan dan Kampung Panti yang memerlukan sumbangan disalurkan terus ke rumah mereka. Misalnya, di Kampung Kelantan yang air naik mencecah enam meter, musnah sama sekali, tetapi ada beberapa rumah terus diduduki penghuninya yang bimbang keselamatan rumah dan barangan mereka. Jadi, sudah tentu sumbangan perlu disalurkan kepada mangsa banjir ini yang mungkin kebuluran jika tiada pihak peduli nasib mereka ketika sibuk mengagihkan bantuan di pusat pemindahan. Individu ini sebenarnya, bertindak sebagai penjaga di kampung berkenaan, mengorbankan keselamatan mereka dan bagi Halimah adalah menjadi tanggungjawab Umno Tenggara supaya sumbangan terus disalurkan kepada mereka.


JALAN TUGAS: Ahli Jawatankuasa Bencana Banjir Umno Tenggara
mengangkut bekalan makanan ke dalam bot untuk dihantar
ke Kampung Kelantan, Kota Tinggi.

Melalui inisiatif Umno Tenggara, setiap hari rondaan dilakukan menggunakan bot penyelamat Bomba dengan menyusuri air banjir supaya agihan barang keperluan terutama sekali makanan dapat dilakukan. Ramai penduduk di dua kampung berkenaan tersentuh hati melihat dua Exco kerajaan negeri setiap hari menaiki bot mengagihkan barang keperluan. Antara barangan yang disalurkan kepada mangsa banjir berkenaan seperti roti, air mineral, susu tin, selimut dan tikar serta baju.

Halimah berkata, selain Kampung Kelantan, pihaknya menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk di Kampung Panti walaupun ia tidak dinaiki air. "Semua jalan perhubungan ke kampung ini (Kampung Panti) terputus, kecuali menggunakan bot, jadi sejak 12 Januari lalu, kami mengagihkan barangan keperluan menggunakan bot," katanya. Sekurang-kurangan tiga bot sarat dengan pelbagai barang keperluan termasuk lilin dan bateri diagihkan kepada 79 keluarga dengan jumlah mangsa lebih 200 mangsa banjir di Kampung Panti.

Bagaimanapun, usaha menyalurkan bantuan ini perlu diteruskan apabila banjir sudah pulih sepenuhnya kerana tempoh pascabanjir lebih sukar kepada mangsa yang hilang segala harta benda. Pengagihan barangan secara terus ini sebenarnya membuktikan pemimpin bersama-sama rakyat dalam mengharungi kesukaran dan kepayahan berikutan bencana alam yang paling buruk dalam sejarah Johor.

FAKTA:
Banjir di Kota Tinggi


  • Lebih 200 mangsa banjir di Kampung Kelantan terpaksa dipindahkan sebanyak dua kali pada 11 Januari lalu, antara jam 2.30 pagi dan 6 pagi selepas air naik hingga mencecah paras enam meter.

  • Penduduk kampung berkenaan ditempatkan di Dewan Jubli Intan, Kota Tinggi.

  • Penduduk kampung itu mula berpindah balik ke rumah mereka selepas banjir pertama surut pada 3 Januari tetapi terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan sembilan hari kemudian.
  • 0 ulasan: