Sejak mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan selama setahun berkaitan prasekolah di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bahru pada tahun 1993, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan seterusnya berkhidmat di Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi selama 4 tahun (2000-2004) saya telah melawat banyak kelas prasekolah. Secara jujur saya katakan bahawa di negara kita ini, kelas prasekolah kebanyakannya sangat "lebat" dengan bahan-bahan yang digantung berbanding kelas prasekolah Jepun, Singapura dan luar negara lain. Saya pernah melawat sebuah tadika Jepun dan tadika rakyat di Singapura. Rata-rata kelas mereka sangat simple. Kalau melawat ke kelas prasekolah negara kita... ada yang hampir lemas saya dibuatnya. Memang sesak. Saya pelik bagaimana guru-guru sanggup meletakkan semua bahan bergantungan di kelas dan di tingkap yang menjadi penghalang laluan udara bersih. Kelas menjadi semakin gelap dengan kandungan udara yang menyesakkan. Terus terang saya katakan, andai saya melawat ke sesuatu kelas yang sesak begini... saya pasti akan menjadi orang pertama yang akan lari keluar. Kenapa? Saya tidak mahu merisikokan diri dengan asma yang saya hidapi sejak kecil. Tak pasal-pasal semput datang.
Harapan saya bagi pegawai-pegawai yang ingin menilai keadaan kelas prasekolah, pastikan pengudaraan kelas di tahap tinggi. Jangan seronok sangat dengan kelas yang seolah-olah pasaraya yang menjalankan jualan mega sehingga habuk-habuk terperangkap di dalam kelas. Perabot juga tidak perlu banyak kerana kanak-kanak memerlukan ruang yang selesa untuk bergerak. Saya pernah melawat ke sebuah sekolah di daerah lain yang saya rahsiakan yang dicalonkan oleh PPDnya sebagai kelas contoh. Aduhai sempit sungguh kelas tu dengan perabot sehingga naik lebam kaki saya akibat berlanggar dengan bucu-bucu meja dan kerusi. Untuk tatapan anda semua, ayuh kita nilai bagaimana susun atur kelas dari luar negara berbanding kelas kita di Malaysia. Ini adalah pandangan dan pendapat saya. Kebebasan bergerak secara aktif sangat penting bagi kanak-kanak di usia 5 dan 6 tahun. Sebab itulah anda akan melihat betapa riangnya kanak-kanak apabila di bawa ke taman permainan dan padang sekolah. Terfikirkah anda kenapa mereka begitu? Jadikan kelas anda sebagai rumah kedua yang anda sayangi. Inginkah anda menjadikan rumah anda sebagai shopping complex yang membuatkan hidup anda semakin kompleks? Lihat gambar di bawah, apa perasaan anda? Bagi saya, inilah suasana yang seronok untuk belajar.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
Bahasa Melayu Mendengar cerita Mendengar puisi Mendengar perbualan Mendengar perbualan Bersoaljawab mengenai puisi dan cerita Me...
-
Urusan Pentadbiran Kelas Prasekolah (a) Membantu guru mendaftar kehadiran murid-murid prasekolah setiap hari. (b) Membantu guru membuat inve...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan