Saya suka blog ini

Khamis, April 17, 2008

Al Fatihah

Assalamualaikum
Saya telah menghadiri mesyuarat Pengurusan Prasekolah anjuran Jabatan Pelajaran Johor pada 14 hingga 17 April 2008 di Klebang Beach Resort. Pada hari Ahad, 13 April 2008, saya, Ain Nur Atirah (anak bongsu), Sabariah (adik), Izan dan Cikgu Ramlah telah menziarahi Cikgu Salmah Harun (guru prasekolah SK Bukit Lintang). Kami ke sana pada pukul 3.30 petang. Sebelum ini saya memang tidak sempat menziarahinya. Pada petang itu saya bercadang untuk mengambil gambar beliau tetapi memandangkan keadaan beliau yang tidak menutup sebahagian auratnya, saya batalkan niat tersebut. Sememangnya saya tidak memiliki walau sekeping pun gambar beliau sebelum ini. Di kesempatan itu saya mengambil peluang untuk memohon kemaafan andai ada kesilapan yang telah saya lakukan walaupun beliau telah tidak mampu untuk berkata-kata. Hanya linangan airmata yang muncul di tubir matanya. Sewaktu memegang tangannya, beliau seolah-olah tersentak. Mungkin beliau sedar kehadiran saya. Saya sempat mengajar beliau untuk mengucapkan kalimah syahadah beberapa kali. Mujur juga anak saya ada. Atirah mewakili saya untuk menyedekahkan surah Yaasin kepada beliau kerana saya tidak boleh membacanya atas sebab uzur syarie. Airmata saya menitis menatap wajahnya yang kurus dan tidak bermaya. Setiap kali mengajar kalimah suci itu di telinganya, setiap kali itu juga airmata saya bercucuran. Sebelum pulang sekali lagi saya membisikkan kata-kata kemaafan. Airmatanya meleleh di tubir mata.

Isnin, 14 April 2008 saya, Aminah, Zamri dan Siti Suraya bertolak ke Melaka. Sepanjang perjalanan saya ada menceritakan tentang keadaan Salmah. Entah kenapa tiba-tiba boleh mulut ini menyatakan... biarlah Allah memanggilnya pulang dari dia terus menderita. Saya tiba di Melaka kira-kira pukul 3.00 petang. Setelah berehat seketika, kami berempat keluar ke Bandar Hilir. Kami pulang ke bilik hampir ke pukul 6.30 petang. Sementara menunggu azan Maghrib, pada pukul 7.15 petang saya menerima panggilan dari adik yang menyatakan Salmah telah dijemput oleh Allah s.w.t pada pukul 7.00 petang tadi. Ketika itu tiada airmata yang menitis kerana saya merasakan bahawa itu tandanya Allah lebih menyayanginya. Selepas itu saya mengirimkan sms kepada Encik Abdul Ghani selaku pegawai yang bertanggungjawab menguruskan prasekolah daerah Kota Tinggi untuk memaklumkan berita sedih ini. Sepanjang malam, saya memaklumkan kepada rakan-rakan rapat. Cikgu Aminah turut menghantar sms kepada semua rakan-rakan yang mengenali Allahyarhamah. Pada malam itu selepas pukul 10.00 malam di mana taklimat berakhir, kami memaklumkan kepada semua peserta untuk menghadiahkan Al Fatihah kepada Allahyarhamah... Al Fatihah

frames


1 ulasan:

Dumuro berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.