Saya suka blog ini

Isnin, Januari 25, 2010

Catatan Minggu Pertama

Perhimpunan hari pertama minggu persekolahan.

Murid prasekolah wajib ikut serta

Tiada pengecualian

Wajah harapan negara

Assalamualaikum
Lama juga saya tidak menulis. Suasana kurikulum baru ini benar-benar merentap masa saya. Saya keletihan. Maklumlah setiap hari jadual di kelas prasekolah telah ditambah selama 4 jam. Banyak persediaan dari segi mental dan fizikal perlu dipertingkatkan. Benar-benar melelahkan. Mujurlah saya telah berada di sekolah ini sejak 2004 dan bermakna selama itu saya telah menyiapkan banyak bahan bantu mengajar yang sangat diperlukan di saat-saat begini.

Adakala saya terfikir bagaimana guru-guru yang baru mendapat kelas prasekolah. Dengan masa selama 4 jam untuk sesi pengajaran dan pembelajaran sudah pasti memerlukan komitmen yang tinggi untuk menyediakan semua prasarana di kelas. Ditambah dengan permintaan pegawai di Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah yang mahukan kelas mendapat anugerah 5 bintang...memang berbintang-bintanglah kepala cikgu memikirkan. Bunyinya program ini sangat indah dan menarik tetapi bayangkan cetusan idea itu buat masa ini kurang sesuai bagi kami guru-guru. Kurikulum baru sahaja membuatkan kami memerah otak setiap hari untuk memikirkan cara untuk mengajar dan menyediakan bahan sokongan. Kebanyakan guru masih lagi "blur" termasuklah saya yang adakala terpaksa bertindak macam pandai...maklum ramai sangat yang bertanya itu ini. Hanya berbekal pengalaman dan pengetahuan yang ditimba di universiti itulah modal saya untuk berbicara dengan guru-guru seluruh negara. Idea-idea lahir dari pengalaman sebagai guru sejak 22 tahun dahulu. Saya membaca bahan kursus berulangkali namun hasilnya amat kurang memuaskan hati. Adakala saya rasa benar-benar keletihan dan berasa ingin mengundur diri...

4 jam sesi pengajaran dan pembelajaran tanpa henti di hari pertama membuatkan saya tidak berkesempatan untuk menjamah makanan dan minuman. Di kantin selepas kelas berakhir tiada makanan lagi untuk dimakan membuatkan saya menitiskan airmata. Penat dan lapar. Waktu kanak-kanak makan saya dan pembantu tidak sempat menjamah apa-apa kerana ada sahaja kejadian kanak-kanak menangis dan lain-lain tingkahlaku yang amat menuntut kesabaran. Maafkan saya kerana meluahkan apa yang berlegar di fikiran saya. Bila memikirkan bebanan tugas ini saya berfikir alangkah seronoknya berada di kelas aliran perdana kerana masa mengajar mereka yang hanya 28 waktu sedangkan saya dan guru-guru prasekolah seluruh negara sebanyak 36 waktu. Itu adalah waktu bagi kelas yang ada guru agama / moral. Cuba bayangkan bagi kelas yang tidak dibekalkan guru agama / moral...guru prasekolah mengajar selama 4 jam setiap hari sepanjang minggu yang bermakna masa mereka adalah 200 jam. Jika di Terengganu, guru prasekolah mengajar sehingga 5 jam setiap hari tanpa henti kerana sesi pengajaran al-Quran. Memang elok dan murni niat pegawai atasan tetapi adakah tenaga guru itu seperti robot yang tidak memerlukan rehat? Apakala hal ini diajukan kepada orang atasan di KPM...jawapan mereka adalah..Arahan Menteri... guru terpaksa akur. Aduhai parah dan tenat jadinya.

Dikesempatan ini saya sangat mengharapkan agar adanya kajian semula tentang bebanan kerja guru prasekolah. Bukan hanya mengajar, kami juga terpaksa menjadi "dayang pengasuh" anak-anak yang lewat diambil oleh ibu bapa. Kami juga manusia biasa yang ada rasa. Ibu bapa perlulah bekerjasama untuk mengambil anak mereka tepat pada waktu untuk membolehkan kami "bersarapan" pada pukul 12.00 tengah hari. Mungkin ada yang akan menyoal...kenapa tak tinggalkan murid dengan pembantu untuk cikgu makan? Alahai mudahnya untuk melepaskan tanggungjawab sekiranya berbuat demikian. Untuk makluman ada sekolah yang tiada pembantu pengurusan murid. Kalau pembantu bersalin...kamilah guru, kamilah pembantu...

Siapakah yang sudi menghulurkan simpati?

2 ulasan:

Afniza Ahmad berkata...

Terima kasih kak g kerana meluahkan apa yang terbuku dihati kita semua..

Fauziah berkata...

luah jgn x luah.
kita bercakap perkara yg benar.
kalu org KPM, JPN, PPD nk kata akak ni terlebih komen terpulanglah kpd mereka. kalau nk ambil tindakan atas sebab suara ni pun buatlah... cuma 1 je ingatan akak..org yg menzalimi akan dizalimi oleh org lain kelak. pemimpin di akhirat nnt akan ditanya ttg apa yg dipimpinnya. sanggup ke tanggung sumpah seranah org atas sebab kezaliman mereka? maklum nk dapat nama sanggup buat apa sahaja sehingga menganiayai org lain.