Selasa, Disember 30, 2008

Persediaan Sesi Persekolahan 2009

Assalamualaikum
Sesi persekolahan 2009 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Sudah pasti semua guru sudah mula pergi ke sekolah untuk mengemaskini kelas. Sebagai ibu bapa sudah pasti mereka akan sangat bersemangat untuk menghantar anak ke sekolah khususnya bagi ibu bapa yang baru pertama kali anaknya bersekolah. Suasana kelas anda akan memberikan gambaran positif mahupun negatif. Pendek kata pandang pertama sepatutnya akan menerbitkan rasa cinta.
Apa akan berlaku andai anda sebagai ibu bapa yang ingin meletakkan anak anda yang baru mula melangkah masuk ke sekolah dan mendapati kelas tersebut berada di dalam keadaan tidak terurus? Persoalan ini perlu anda fikirkan. First impression atau pandangan pertama boleh memberi seribu pentafsiran. Mahukah anda dikatakan guru yang malas? Guru yang tidak kreatif? Guru yang makan gaji buta? Tentulah jawapannya tidak.

Hmm... apakah agaknya persediaan awal yang perlu anda buat? Antara yang boleh dibuat adalah...

A. Pengurusan Murid
1. Alat permainan mencukupi untuk semua kanak-kanak untuk membuatkan mereka leka seketika agar ibu bapa boleh menyelinap keluar dari kelas. Kebiasaannya kanak-kanak akan menangis dan meraung. Jadi pastikan mereka leka seketika.
2. Bersedia dengan lagu-lagu dan cerita kanak-kanak sama ada guru bercerita sendiri atau memasang vcd yang sesuai.
3. Galakkan ibu bapa berada di luar kelas atau terus pulang selepas menghantar anak mereka. Ini untuk mengalakkan kanak-kanak mempunyai keyakinan diri untuk bersama rakan-rakan sebaya mereka.
4. Pastikan makanan yang bakal dimakan pada hari pertama mencukupi. Biasanya pembantu pengurusan murid tidak memasak pada hari pertama kerana dia perlu membantu guru mengawasi kanak-kanak yang beraneka ragam.
5. Minta ibu bapa membekalkan pakaian gantian yang bertanda nama sekiranya kanak-kanak terbuang air besar, air kecil atau muntah di kelas.
6. Sediakan marker pen untuk menulis tanda nama pada kasut kanak-kanak agar keadaan tidak menjadi kelam kabut sewaktu pulang.
7. Pastikan semua beg kanak-kanak mempunyai tanda nama agar kekecohan dapat dielakkan. Kanak-kanak biasanya akan menangis apabila beg mereka diambil oleh orang lain atau ada yang tidak mahu mengakui begnya sendiri jika beg itu serupa dengan rakan yang lain.
8. Setokin kanak-kanak mesti ditandakan supaya tidak tertukar atau mereka akan biarkan sahaja sehingga anda boleh membuat koleksi setokin busuk!.

B. Pengurusan Kelas
1. Pastikan kelas anda berada di dalam keadaan bersih dengan perabotnya tersusun rapi.
2. Pasanglah langsir lebih awal agar kelas kelihatan ceria seolah-olah anda ingin menyambut hari raya. Aura ceria akan membantu keyakinan diri kanak-kanak.
3. Pastikan tandas boleh digunakan dengan sempurna.
4. Lantai yang basah perlu sentiasa kering. Sediakan kain pengelap yang mencukupi supaya pembantu selesa bekerja andai ramai kanak-kanak yang terbuang air kecil atau muntah di kelas akibat ketakutan dan menangis melampau.

C. Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran
1. Pastikan anda menyediakan atau memiliki buku Rancangan Pelajaran Tahunan.


2. Menyediakan jadual waktu kelas.
3. Menyediakan carta organisasi Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa, senarai nama kanak-kanak yang lengkap dengan alamat dan nombor telefon yang mudah dihubungi sekiranya kecemasan.
4. Menyediakan pelan tindakan strategik ( bagi guru Negeri Johor diwajibkan menyediakan pelan tindakan berkenaan )

D. Pengurusan Kewangan
1. Menyediakan perancangan perbelanjaan barangan basah dan kering.
2. Mengemaskini akaun penerimaan dan perbelanjaan kelas.

E. Penampilan Diri Guru dan Pembantu Pengurusan Murid
Berdasarkan maklumat yang diterima, etika berpakaian perlu dipatuhi semasa bekerja. Penampilan yang kemas dan menarik amat penting untuk menarik perhatian kanak-kanak. Bersedialah dengan emosi yang stabil semasa menyambut kedatangan kanak-kanak dan ibu bapa mereka dengan senyuman dan layanan mesra. Ceriakan diri anda agar orang lain juga ceria. Ambil berat dan beri perhatian sewajarnya kepada semua kanak-kanak tanpa memilih latarbelakang sosial mereka. Aura kasih sayang yang anda tunjukkan akan membantu anda mengawal perjalanan kelas. Puji atau cium atau peluk mereka. Pelukan yang mesra akan membuatkan kanak-kanak sentiasa dekat dengan anda.

Demikianlah antara keperluan yang sempat saya fikirkan untuk kita sediakan bersama. Semoga maklumat awal ini akan membantu meningkatkan imej dan profesion perguruan kita.



Tiada ulasan:

Worksheets