Sabtu, Disember 13, 2008

Permainan Tradisional

11 Dec 08, 19:42
Mirza: Yg dihormati Kak G, saya sedang mencari bahan untuk assignment mengenai permainan tradisional yang sesuai dengan pembelajaran kanak-kanak.Boleh beri idea....

Amboi bersopan betul Mirza ni. Formal sangat nampaknya. Lain kali tak payahlah tulis yang dihormati tu... sebijik macam budak sekolah nak masuk bertanding pidato. Jangan marah... gurau je. Hmm... tengah fikir ni... Semalam tak boleh jawab sebab sakit kepala sepanjang pagi pastu badan panas terasa macam nak demam. Habis semua anak-anak kena kerahan tenaga picit kepala dan kaki maknya. Biasalah bila ada anak-anak di rumah waktu cuti begini. Mereka semua dah besar dan hanya berperap di rumah. Itulah anak moden sekarang, waktu cuti begini tahunya menghadap komputer. Saya masih ingat masa mereka kecil-kecil dahulu, kalau anak lelaki akak belikan kereta, habis dileraikannya. Kalau anak perempuan pula, anak patung habis disembelih kepala, tangan dan kaki. Anak-anak lebih banyak bermain di dalam rumah tetapi anak saya jarang dapat bermain mainan kerana jarang dibelikan. Yalah waktu itu zaman kemelesetan ekonomi. Kami bergaji kecil. Waktu itu gaji permulaan kami hanya RM345 sebulan dan terpaksa menanggung persekolahan adik-adik seramai 7 orang. Bagi saya waktu itu pelajaran lebih utama memandangkan kami hidup sukar. Jadi anak-anak lebih didedahkan kepada buku-buku berbanding alat permainan.



Bercerita tentang permainan kanak-kanak, lihat latar belakang hidup mereka. Seperti kisah anak-anak saya yang mengalami kesukaran di zaman kanak-kanak, permainan bagi mereka tidak ditekankan tetapi lebih kepada memanfaatkan kewangan yang ada untuk menambah ilmu. Zaman kanak-kanak saya juga berbeza. Semasa kecil saya tidak dapat bermain anak patung kerana tinggal dengan nenek di mana nenek saya amat pentingkan pendidikan. Jadual waktu cuti saya hanya dipenuhi dengan membaca atau membantu nenek di rumah. Hanya sesekali saya berpeluang bermain di luar rumah itupun hanya di dalam kawasan pagar rumah! Permainan saya adalah congkak yang dibuat dengan menggali tanah di bawah pokok rambutan, roundes (ejaan betul ke tu?), belon acah dan permainan polis dan pencuri. Kalau berpeluang keluar dari pagar rumah, saya dan sepupu akan berjogging hingga ke kaki gunung atau berkhemah di tepi hutan di hadapan rumah nenek. Semua itu bergantung kepada keizinan nenek. Ada kalanya saya mencuri-curi keluar semata-mata kerana ingin bermain air di sungai di mana saya dan kawan-kawan akan membuat empangan dengan mengorek tanah sungai untuk didalamkan. Kami seronok bermain menahan nafas di dalam air atau mencuba mengapungkan diri.

Kenapa saya ceritakan hal pengalaman hidup saya dan anak-anak? Sebagai guru sebenarnya kita mesti mengkaji latarbelakang kehidupan murid-murid supaya memudahkan kita menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Pengalaman sedia ada murid amat penting untuk memudahkan aliran pengajaran kita. Tidaklah nanti mereka melopong sepanjang masa tanpa memberi respon sepatutnya. Sebagai guru kita mesti cuba menyelami dunia kanak-kanak. Melihat dan mencuba permainan yang mereka ada sesuai dengan aliran masa. Ada kalanya sesuatu permainan itu menjadi tidak sesuai dengan umur mereka. Misalnya cebisan puzzle untuk dicantum perlu sesuai dengan umur kanak-kanak. Sekiranya kita memberi puzzle yang banyak untuk dicantum, sudah pasti kanak-kanak akan bosan dan hilang tumpuan.

Pemilihan jenis permainan yang sesuai dengan kanak-kanak dan langkah-langkah keselamatan perlu diutamakan sekiranya ingin dijalankan di kelas prasekolah. Antara permainan yang boleh atau biasa dijalankan adalah congkak, batu seremban, guli, teng teng, membuat layang-layang atau wau. Permainan bulu ayam atau chapteh jarang dimainkan kerana kanak-kanak belum mempunyai kemahiran motor yang tinggi. Perlu diingatkan bahawa permainan yang dipilih perlu sesuai dengan objektif pengajaran pada hari itu. Kalau sekadar ingin memperkenalkan seni permainan tradisional yang agak aggresif cukup sekadar menayangkan video klip atau gambar kepada kanak-kanak.

Kesimpulannya dalam membuat pemilihan permainan kanak-kanak perkara utama yang perlu difikirkan adalah kesesuaian dengan objektif, kawalan keselamatan, tahap umur dan kebolehan kanak-kanak.

Tiada ulasan:

Worksheets