Rabu, Julai 02, 2008

Terima Kasih

Assalamualaikum
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menghubungi saya untuk mendapatkan CD Bahan Bantu Mengajar. Saya masih di dalam proses menyiapkannya mengikut kadar tempahan. Saya akan cuba mengirimkan secepat mungkin bahan yang diminta.

Saya tidak menyangka ada juga guru prasekolah dari Brunei Darusalam yang berminat dan sering membaca blog ini. Terima kasih Nur Azirah atas respon anda. InsyaAllah selagi ada kudrat, saya akan terus menulis dan memasukkan apa sahaja bahan yang terlintas di fikiran saya. Saya gembira kerana ramai yang menyatakan blog ini memberi inspirasi dan idea kepada proses pengajaran dan pembelajaran mereka di prasekolah. Saya hanya menyampaikan setakat yang termampu. Saya mengharapkan bagi anda yang masih menuntut di bidang pendidikan awal kanak-kanak tidak mengambil bulat-bulat idea dari sini kerana anda perlulah membuat kajian berdasarkan buku yang pernah diterbitkan oleh ilmuan yang hebat. Apa yang saya sampaikan hanyalah cetusan idea berdasarkan pengalaman saya di sekolah. Sebenarnya saya masih baru di prasekolah iaitu sejak 2004. Sejak menamatkan pengajian, saya ditugaskan mengajar di Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran dan kemudian dipinjamkan di Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi selama 4 tahun sebagai Pegawai Khas Prasekolah. Lawatan ke sekolah-sekolah seluruh Johor banyak memberi idea kepada saya sebenarnya ditambah pengalaman 10 tahun mengajar Tahap 1, Pemulihan Khas dan Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran. Apa yang menjadikan saya teruja untuk berkongsi idea di sini ialah apabila membaca laman web yang dikendalikan oleh mat-mat dan minah saleh. Idea mereka seolah-olah sangat realistik. Saya sering mencubanya di kelas untuk menarik minat murid saya belajar. Adakalanya tidak menjadi langsung. Alahai... Saya sering memikirkan alangkah baiknya kalau saya mahir berbahasa Inggeris. Saya faham apa yang ditulis tapi agak sukar untuk menerangkan kembali. Maklumlah takut kalau tersalah terjemahan.

Apapun saya seronok kerana dapat berkongsi cerita di kelas saya. Ada banyak bahan yang perlu dimuatkan tetapi saya kesuntukan masa. Saya telah melakukan banyak eksperimen dari laman web tersebut kepada murid-murid saya. Saya telah menemui laman web yang khusus untuk membuat topeng. Cuba lihat keriangan murid saya ini... Ada banyak foto mereka. InsyaAllah akan saya muatkan dalam slide show di masa yang akan datang.


Bagi anda semua, pastikan kamera sering dibawa ke sekolah kerana banyak benda yang boleh anda rakamkan. Tentu ianya menjadi inspirasi kepada anda untuk terus berusaha.

Saya pernah menemui laman web khusus tentang mewarna tetapi dalam bahasa Perancis. Macamana nak dapatkan laman web ini? Oh, semua itu mudah sangat. Taip sahajalah keyword yang anda perlukan di Google. Semuanya pasti terpapar di depan anda. Yang penting adalah semangat ingin tahu. Selamat mencuba.

Tiada ulasan:

Worksheets