Sabtu, Disember 02, 2006

Sesi Bercerita / Story Time

Anda memerlukan bahan untuk sesi bercerita?
Jom link laman web berikut yang boleh membantu anda dengan lebih mudah:

www.lil-fingers.com/storybooks/index.html
Animated stories contain large text and big buttons for little fingers!.

www.magickeys.com/books
Children's Storybooks Online Children's Storybooks Online "There are original stories with color illustrations for young children as well as older children and young ...


Cerita-cerita bertemakan haiwan yang beranimasi juga boleh anda dapati disini. Hanya klik pada beruang di bawah. Seronok bukan?





http://www.babysstory.com
Offers illustrated journal pages and ecards, so you can record, print, save, and email memorable events in the life of your baby from before birth through age six.


cgcreations.org/babyanimals/index.html
An online picture story book for children about baby animals.

Mahukan free online e-book? Di sini anda boleh mengajak kanak-kanak sama-sama membaca mengikut fonik.
www.fonetiks.org/foniks/ohandah
Oh and Ah is a story about two aliens that children aged 3-9 can 'read' simply mousing over words to hear them spoken.



Peraturan Pakaian Guru

Surat Pekeliling Iktisas Bil.6/1985
Peraturan Pakaian Guru di Sekolah/Pensyarah di Maktab Peguruan, Politeknik, Lain-lain Pegawai dan Kakitangan Perkhidmatan Pelajaran di Pejabat Pelajaran Daerah dan Bahagian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.


Tujuan surat pekeliling ini adalah untuk menetapkan peraturan pakaian sewaktu bertugas bagi guru-guru di sekolah, pensyarah di Maktab Peguruan, Politeknik, lain-lain Pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Pelajaran di Pejabat Pelajaran Daerah dan Bahagian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran. Peraturan pakaian ini adalah disesuaikan dengan peraturan pakaian masa bekerja dan semasa menghadiri upacara-upacara rasmi bagi peawai-pegawai awam dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil.2 tahun 1985 bertarikh 18hb Februari, 1985 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

2. Sebagai golongan pendidik, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan lain-lain pegawai perkhidmatan pelajaran sewajarnyalah menunjukkan pakaian yang sesuai apabila bertugas di dalam atau di luar sekolah/maktab dan pejabat. Oleh yang demikian, di samping pakaian yang kemas dan bersih, pakaian yang berpatutan dan bersesuian bagi guru-guru/pensyarah-pensyarag serta pegawai-pegawai dan kakitangan perkhidmatan pelajaran adalah penting. Pakaian seumpama ini adalah melambangkan disiplin imej profesyen perguruan.

3. Untuk tujuan ini, berikut adalah peraturan pakaian yang ditetapkan:
3.1.1 Guru-guru/Pensyarah-pensyarah Lelaki
i)Seluar panjang dan berbaju kemeja (digalakkan bertali leher, atau bush jacket atau lounge suit. Jika baju berlengan panjang. Tangan baju itu hendaklah jangan dilipatkan. Baju hendaklah dimasukkan ke dalam.
ii) Kasuit kulit atau lain-lain kasut sejenis dengannya.
iii)Pakaian baju Melayu lengkap dengan samping, atau pakaian yang mirip dengan potongan baju Melayu dan dipakai dengan seluar panjang.
iv) Pakaian baju Melayu dengan kain sarong, jean, track suit, seluar pendek, kemeja t/sukan, kersi, kasut sukan, baju Hawaii, baju batik, selipar; kasut getah dan lain-lain jenis pakaian yang menjolok mata tidak boleh dipakai.

3.1.2 Guru-guru/Pensyarah-pensyarah Perempuan
i)Pakaian kebangsaan dan pakaian kaum masing-masing dan lain-lain jenis pakaian yang sesuai dan tidak menjolok mata.
ii)Kasut kulit, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai dengan pakaian yang ditetapkan,
iii) Kasut sukan, jean, slack, track suit, kemeja t /sukan, jersi, seluar pendek atau apa-apa pakaian yang menutup muka serta lain-laian pakaian dan jenis kain jarang dan menjolok mata, tidak boleh dipakai.

3.2 Sewaktu bertugas di luar bilik darjah ( menjalankan gerakerja Pendidikan Jasmani dan sukan) – lelaki dan perempuan.
3.2.1 Track suit, seluar panjang yang sesuai, seluar pendek ( bagi guru/pensyarah lelaki sahaja ), kemeja sukan, jersi, kasut getah, kasut sukan dan lain-laian pakaian yang sesuai yang tidak menghalang kecergasan gerak geri dalam gerakerja tersebut.
3.2.2 Kasut tumit tinggi atau kasut kulit yang mengganggu kecergasan gerakgeri, sarong ketat atau seluar ketat, cheongsam, kebaya, sari dan lain-laian pakaian dari jenis kain jarang dan menjolok mata adalah tidak sesuai dipakai.

3.3 Sewaktu menjalankan kerja-kerja praktik di bilik makmal / sains rumahtangga/ bengkel seni perusahaan.
3.3.1 Pakaian khas, jika ada, untuk menjalankan kerja-kerja praktik di tempat-tempat berkenaan hendaklah dipakai.
3.3.2 Seluar panjang dan berbaju kemeja, Sekiranya memakai baju berlengan panjang, lengan baju itu bolehlah dilipatkan jika perlu.
3.3.3 Bagi guru dan pensyarah perempuan, jenis pakaian sewaktu bertugas di bilik darjah boleh dipakai dan hendaklah sesuai dengan jenis kerja-kerja praktik tersebut.

3.4 Sewaktu menjalankan kerja praktik sains pertanian.
3.4.1 Pakaian khas, jika ada untuk menjalankan kerja-kerja praktik di tempat berkenaan hendaklah dipakai.
3.4.2 Seluar panjang dan berbaju kemeja ( jika berlengan panjang, lengan baju itu bolehlah dilipatkan jika perlu ) atau kemeja sukan, kasut sukan atau kasut getah.
3.4.3 Bagi guru dan pensyarah perempuan, jenis pakaian sewaktu bertugas di bilik darjah atau lain-laian pakaian yang sesuai dengan kerja-kerja praktik tersebut dengan berkasut sukan atau berkasut getah.

4. Sewaktu bertugas di pejabat sekolah/maktab, Pejabat Pelajaran Daerah atau Bahagian / Jabatan Pelajaran Negeri / Kementerian Pelajaran bagi pegawai-pegawai perkhidmatan pelajaran

4.1 Lelaki
4.1.1 Seluar panjang dan berbaju kemeja dan bertali leher atau bush jacket atau lounge suit. Baju hendaklah dimasukkan ke dalam dan jika berlengan panjang, tangan baju hendaklah jangan dilipatkan.
4.1.2 Pakaian baju Melayu yang lengkap dengan samping, atau pakaian baju yang mirip dengan potongan baju Melayu dan dipakai dengan seluar panjang.
4.1.3 Pada hari Sabtu atau bekerja separuh haru, baju batik (batik buatan Malaysia) boleh dipakai, kecuali pegawai-pegawai yang dikehendaki memakai pakaian seragam.
4.1.4 Ksut kulit atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya. Capal hanya boleh dipakai dengan baju Melayu yang lengkap dengan samping.

4.2 Perempuan
4.2.1 Pakaian kebangsaan atau pakaian kaum masing-masing dan lain-lain pakaian yang sesuai dan tidak menjolok mata.
4.2.2 Selipar, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai boleh dipakai dengan pakaian yang ditetapkan.
4.2.3 Kasut sukan, jean, slack, seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup muka atau yang menjolok mata tidak boleh dipakai.

5. Pakaian seragam kakitangan sekolah/maktab/pejabat yang dibekalkan dengan pakaian seragam hendaklah memakai pakaian tersebut sewaktu bekerja.

6. Pakaian batik di sekolah / maktab ( lelaki )
Baju batik boleh dipakai pada bila-bila masa kecuali sewaktu mengajar secara rasmi di bilik darjah / kuliah atau di luar bilik darjah/kuliah pada hari-hari persekolahan/kuliah.

7. Sewaktu menghadiri bengkel dan lain-lain majlis rasmi peringkat daerah/negeri dan kementerian seperti yang dinyatakan dalam para 3.1.1 dan 4.1 (bagi lelaki) atau para 3.1.2 dan 4.2 (bagi perempuan) jika tiada peraturan pakaian khas ditetapkan,

8. Pakaian semasa menghadiri upacara rasmi ( seperti yang dipetik daripada para 3, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 tahun 1965 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam )

8.1 Pakaian rasmi (formal) untuk lelaki
Seorang pegawai awam yang berhak memakai uniform ataupun dikehendaki memakai uniform yang khasm hendaklah memakai uniform tersebut apabila menghadiri upacara-upacara rasmi. Peraturan-peraturan pakaian seperti yang telah ditetapkan melalui edaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA SULIT.2578/Pt.1/35 bertarikh 8hb Jun 1970 di Lampiran A mengenai pakaian seragam pegawai-pegawai tadbir dan profesional dalam Kumpulan Pengurusan dan Ikhtisas, seperti dipinda oleh Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 8 Tahun 1975, hendaklah dipatuhi pada masa menghadiri istiadat-istiadat rasmi yang menetapkan dif-dif jemputan memakai pakaian seragam, serta pakaian rasmi kebangsaan. Sekiranya pegawai itu tidak mempunyai uniform maka lounge suit bolehlah dipakai, kecuali jika peraturan khas ditetapkan.

8.2 Pakaian untuk upacaraseparuh rasmi (lelaki)
Untuk upacara-upacara separuh rasmi seperti menghadiri upacara-upacara pembukaan seminar, adalah diputuskan bahawa bagi peringkat kebangsaan, di mana tidak ada perwakilan dari luar negara, maka pakaian sewaktu bertugas di pejabat seperti yang ditetapkan dalam pekeliling ini hendaklah dipakai. Untuk upacara-upacara peringkat antarabangsa, maka pakaian lounge suit hendaklah dipakai.

9. Dengan surat pekeliling ini, para 3 Surat Pekeliling Profesional Kementerian Pelajaran Bil.11/68 bertarikh 25 September 1968; Surat Pekeliling Kementerian Pelajaran Bil.13/69 bertarikh 26 Disember, 1969, para 4.3 dan 4.4 dalam surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1979 bertarikh 2 Mei,1979: dan surat siaran KP)BS)8591/Jilid 11/(14) bertarikh 2 Julai 1983 adalah dimansuhkan.

10. Adalah diharapkan tuam memaklumkan kandungan surat pekeliling ini kepada semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan pelajaran di semua sekolah, maktab, politeknik, Pejabat Pelajaran Daerah atau Bahagian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Bahagian di Kementerian Pelajaran.

Lawatan Pendidikan Murid Di Hari Persekolahan

Surat Pekeliling Iktisas Bil.12/2000
Lawatan Pendidikan Murid Di Hari Persekolahan


Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa menggalakkan guru-gur melaksanakan program lawatan yang berunsur pendidikan bagai murid-murid. Program-program seperti ini mendatangkan banyak manfaat dan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat. Di samping dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman masing-masing. Ia juga akan memberi pendedahan sebenar kepada murid mengenai suasana atau keadaan sebenar di sekeliling mereka. Namun begitu lawatan-lawatan yang diadakan pada masa cuti persekolah adalah tidak mencukupi untuk membolehkan matlamat ini dicapai sepenuhnya.

2. Surat Pekeliling ini bertujuan memaklumkan keputusan Kementerian Pendidikan membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolah secara terancang. Sekolah hendaklah menggunakan budi bicara secara bijaksana dalam menjalankan program ini supaya proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak terganggu. Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan dalam perancangan dan pelaksanaan lawatan seperti ini adalah:
2.1 Tujuan lawatan hendaklah berunsur pendidikan
2.2 Tempat-tempat yang dilawati hendaklah sesuai dengan minat dan keperluan pendidikan murid serta seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk memupuk minat murid-murid dalam bidang sains dan teknologi.
2.3 Masa lawatan hendaklah disesuaikan dengan takwim akademik sekolah.
2.4 Keselamatan dan kebajikan murid semasa lawatan diberi keutamaan dan
2.5 Segala peraturan dan arahan mengendalikan lawatan yang sedang
berkuatkuasa hendaklah dipatuhi.

3. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut. Adalah diharapkan penyertaan ibu bapa dalam kegiatan seperti ini, bukan sahaja akan dapat meningkatkan kefahaman mereka mengenai matlamat pendidikan melalui program lawatan tetapi juga akan dapat memantapkan pemuafakatan dan kerjasama antara pihak sekolah, murid dan ibu bapa.

Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran.

Surat Pekeliling Iktisas Bil.3/1999
Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran.

Surat Pekeliling Iktisas ini dikeluarkan dengan tujuan memansuhkan Surat Pekeliling Kementerian Pendidikan 256:”Buku Rekod Mengajar Guru”, bertarikh 1 Julai 1963.

2. Semenjak Surat Pekeliling Kementerian Pendidikan 256 dikuatkuasakan, terdapat amalan di mana maklumat-maklumat yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran telah dimasukkan ke dalam Buku Rekod Mengajar Guru sehingga mengubah sifat dan tujuan sebenar Buku Rekod Mengajar Guru itu diadakan.

3. Dengan Surat Pekeliling Iktisas, berkuatkuasa pada tarikh ia dikeluarkan, Rekod Pengajaran dan Pembelajaran hendaklah mengandungi hanya dua unsur sahaja, iaitu Rancangan Mengajar Tahunan dan Rancangan Mengajar Harian.
(I) RANCANGAN PELAJARAN TAHUNAN
Rancangan Pelajaran Tahunan mengandungi secara ringkas isi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
(II) RANCANGAN PELAJARAN HARIAN
Rancangan Pelajaran Harian merupakan terjemahan Rancangan Pelajaran Tahunan yang mengandungi sekurang-kurangnya malumat seperti objektif, cara bagaimana hendak mencapai objektif dan kenyataan sejauh mana objektif itu tercapai.

4. Rekod Pengajaran dan Pembelajaran bolehlah disediakan dalam apa jua bentuk yang munasabah dan sesuai dengan teknologi semasa. Ia haruslah diurus dengan sempurna dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa. Bahan-bahan lain yang juga perlu diurus dengan baik dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa.

BIDANG TUGAS GURU PRASEKOLAH

Pengurusan Mata Pelajaran
1. Memiliki, memahami dan boleh mentafsirkan serta menghuraikan kandyngan sukatan pelajaran dan huraian mata pelajaran yang berkenaan.
2. Memahami dan mematuhi Pekeliling-pekeluiling dan arahan yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar serta menentukan dan menetapkan matlamat yang harus dicapai; iaitu dari segi pengetahuan, kebolehan dan kemahiran yang harus dicapai di akhir tiap penggal.
3. Mempunyai sebuah buku rekod mengajar yang kemaskini dan menyerqahkan kepada Guru Besar pada masa yang ditetapkan.
4. Menyediakan rancangan pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar dengan lengkap untuk tempoh setahun/sepenggal/seminggu/harian dan melaksanakan pengajaran mengikut rancangan pelajaran yang disediakan.
5. Menyedia dan memberikan kerja-kerja latihan yang cukp, memeriksa buku latihan dan meulangkan semula secepat mungkin. Menyerahkan / menunjukkan buku latihan kepada Guru Besar atau wakilnya pada masa yang dikehendaki.
6. Mengesan kelemahan murid dan menjalankan kerja bimbingan.
7. Menjadi ahli panitia mata pelajaran, menghadiri serta mematuhi dan melaksanakan keputusan mesyuarat panitia.
8. Menyedari dan menggunakan buku panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran / Jabatan Pelajaran / Pejabat Pelajaran Daerah.
9. Memastikan keselamatan murid-murid serta mengawasi penggunaan alatan.
10. Menghadiri mesyuarat / taklimat mengenai mata pelajaran sama ada dikelolakan oleh Kementerian Pelajaran / Jabatan Pelajaran Negeri / Pejabat Pelajaran Negeri. Menyampaikan semula maklumat kepada guru lain yang mengajar mata pelajaran yang sama.
11. Sentiasa mengikut perkembangan dan pembaharuan tentang teknik mengajar bagi meninggikan lagi prestasi dalam pengajaran dan pembelajaran.
12. Menjaga keselamatan dan kebersihan alat-alat bantu mengajar yang digunakan, meastikan bahan-bahan tersebut digunakan secara meluas.
13. Magadakan ruang-ruang pembelajaran di kelas.
14. Menjalankan tugas sebagai seorang kaunselor dan seorang guru disiplin.
15. Menjalankan tugas yang diarahkan dari masa ke semasa.

Pengurusan dan Organisasi Kelas
1. Membentuk organisasi kelas.
2. Menentukan perkara-perkara berikut ada di dalam kelas
a) Jadual waktu
b) Perabot kelas dan semua peralatan diinventorikan.
c) Motto kelas
d) Alatan pembersihan.
3. Menentukan peralatan eletrik dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
4. Melaporkan perabot dan alatan eletrik yang rosak kepada pihak pentadbiran.
5. Membimibing organisasi kelas yang dilantik menjalankan tugas.

Jadual Kedatangan dan Kedatangan Murid
1. Menanda jadual kedatangan harian selewat-lewatnya sebelum waktu kedua berakhir dan menyimpan buku daftar kedatangan di pejabat.
2. Menentukan semua butir yang dikehendaki ada di dalam buku daftar kedatangan murid ditulis.
3. Memastikan data terkini murid di dalam kelas.
4. Memastikan kelas mempunyai buku kedatangan kedua dan diselenggara seprti yang diarahkan.
a) Buku diambil dan dihantar pada waktu dan di tempat yang ditetapkan.
b) Menjamin keselamatan buku tersebut.

Masalah Pembelajaran, Kesihatan Diri dan Disiplin.

1. Memberi galakan, motivasi dan merangsangkan minat murid terhadap akademik.
2. Menggalakkan pertandingan yang berbentuk akademik danmemberikan hadiah (jika perlu)
3. Sentiasa prihatin terhadap semua masalah murid.

Pendaftaran Murid Baru
1. Menerima kemasukan murid baru.
2. Mendaftarkan murid baru ke dalam buku kemasukan murid dan mendapatkan nombor pendaftaran murid dari buku kemasukan murid daripada Penolong Kanan HEM.
3. Mengambil butir-butir diri murid yang diperlukan.

Guru Bertugas Harian / Mingguan
1. Datang sekurang-kurangnya 15 minit sebelum persekolahan bermula dan pulang sekurang-kurangnya 15 minit setelah sekolah berakhir.
2. Memastikan bilik-bilik darjah telah disapu, sampah sarap telah dibuang serta lampu dan kipas / tingkap telah ditutup setelah tamat persekolahan.
3. Mengawasi disiplin murid di luar waktu belajar seperti waktu rehat dan waktu sebelum loceng pertama dibunyikan, sekitar kawasan sekolah dan mengambil tindakan yang segera dan munasabah jika perlu.
4. Mengawasi kebersihan bilik-bilik darjah, tanda, kantin, bilik-bilik khas dan kawasan sekolah.
5. Memeriksa kebersihan makanan yang dijual di kantin sekolah.
6. Menguruskan rawatan murid yang sakit an menghantar mereka ke hospital / ke rumah.
7. Mengeluarkan surat kebenaran ke hospital dan merekodkan nama mereka yang memohon.
8. Mengawasi murid menepati waktu datang dan pulang ke sekolah, masa rehat dan masa pertukaran guru.
9. Menguruskan hal-hal bersabit dengan kehilangan barang.
10. Menentukan keselamatan murid di sekitar kawasan sekolah serta mengawasi harta benda sekolah.
11. Mencatatkan kegiatan-kegiatan sekolah seperti sukan, persatuan, unit beruniform dan aktiviti lain yang dijalankan.
12. Membuat catatan mengenai perkara-perkara penting yang berlaku sepanjang hari / minggu persekolahan ke dalam Buku Laporan Bertugas, antara perkara yang dicatat ialah:
a) kedatangan murid, guru dan staf sokongan
b) murid ponteng, tidak hadir atau sakit
c) lawatan / pelawat
d) ucapan/ pengumuman dalam perhimpunan
e) laporan hari Isnin ditulis dalam buku khas mengenai perhimpunan
13. Membuat laporan di dalam Buku Laporan Bertugas yang disediakan dan kalau perlu dilaporkan terus kepada Guru Besar supaya tindakan segera dapat diambil.
14. Perhimpunan
14.1 Memastikan semua guru dan murid-murid menghadiri perhimpunan.
14.2 Memastikan bendera-bendera, pembesar suara dan tempat duduk guru
telah disediakan.
14.3 Memastikan murid-murid telah beratur dengan kemas.

Jumaat, Disember 01, 2006

SKOP FUNGSI DAN BIDANG TUGAS PEMBANTU PENGURUSAN MURID

Urusan Pentadbiran Kelas Prasekolah
(a) Membantu guru mendaftar kehadiran murid-murid prasekolah setiap hari.
(b) Membantu guru membuat inventori peralatan dan bahan di dalam kelas prasekolah.
(c) Melaksanakan tugas dalam urusan surat menyurat yang berkaitan dengan prasekolah.
(d) Merekodkan pembelian bahan dan peralatan prasekolah.
(e) Mengemaskini data dan maklumat bagi murid-murid prasekolah.
(f) Menguruskan pendaftaran murid-murid prasekolah.
(g) Menghubungi agensi-agensi lain atau pihak luar yang bekerjasama atau bagi mendapatkan maklumat berkaitan prasekolah.
(h) Membantu guru membuat lawatan susulan ke rumah ibu bapa atau penjaga murid bagi murid-murid yang bermasalah.
(i) Membantu guru dalam menguruskan akaun dan perkara yang berkaitan dengan kewangan prasekolah.
(j) Merekodkan perbelanjaan dan sumbangan yang diterima untuk prasekolah.

Urusan Pengajaran/Pembelajaran Murid-murid Prasekolah
(a) Membantu guru prasekolah merancang aktiviti bimbingan dan asuhan.
(b) Membantu menimbulkan suasana yang selesa, selamat dan menggembirakan bagi meransang bimbingan dan asuhan.
(c) Membantu mewujudkan dan merangsang naluri ingin tahu, minat untuk meneroka dan menjelajah di kalangan murid-murid prasekolah.
(d) Membantu merangsang dan meningkatkan motivasi murid-murid prasekolah supaya bersedia untuk belajar.
(e) Membantu memilih dan menyediakan bahan-bahan serta peralatan yang sesuai dengan keperluan, kesediaan dan perkembangan murid-murid prasekolah.
(f) Membantu mengawas dan menjaga keselamatan, kesihatan dan keselesaan murid-murid sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah semasa murid-murid berkenaan di bawah jagaannya.
(g) Memberi bantuan kepada murid-murid dan mendampingi mereka semasa menjalankan aktiviti-aktiviti harian di sekolah supaya mereka dapat melibatkan diri secara aktif.
(h) Membantu guru prasekolah dalam penyediaan pengajaran dan pembelajaran prasekolah.

Urusan Penyediaan Makanan/Mengemas/Membersih

(a) Menyedia dan menghidangkan makanan dan minuman yang bersih, berzat dan seimbang bagi murid-murid prasekolah.
(b) Mengemas dan membersihkan perkakas seperti pinggan, piring, cawan, peralatan dapur, mangkuk, cerek, peti ais dan sebagainya.
(c) Menyedia dan mengemaskan bilik darjah dan bilik-bilik atau ruang yang lain sebelum dan selepas kelas termasuk menyapu, mengunci kelas dan menjaga kebersihan bilik darjah dan ruang-ruang lain.
(d) Mengatur kerusi dan meja serta membantu guru menyusun alat dan bahan pengajaran di dalam kelas.

Urusan Menjaga Hal Ehwal Murid
(a) Melayani karenah murid-murid prasekolah dan menolong memastikan murid-murid sentiasa berkeadaan bersih.
(b) Berusaha untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada murid-murid dari segi tingkah laku, tutur bahasa dan kekemasan diri.
(c) Menyambut kedatangan murid-murid semasa menghadiri kelas dan juga memastikan murid-murid keluar kelas dalam keadaan selamat.
(d) Membantu murid-murid ke tandas sekiranya perlu dan membantu memerhatikan murid-murid sentiasa dalam keadaan sihat dan bersih.
(e) Membantu guru prasekolah menjaga keselamatan alatan dan kemudahan prasekolah di dalam dan di luar kelas.
(f) Membantu mengawasi murid-murid prasekolah semasa ketiadaan guru prasekolah.

Jumaat, Oktober 06, 2006

Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid:
1. punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
3. kenal, hormati dan percayai murid-murid
4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
6. menggalakkan murid-muird bertanyakan soalan mengenai pelajaran
7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

Terhadap Mengajar:
1. melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
2. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
3. adil dalam menilai dan menggred
4. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
5. bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
6. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks
7. mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
8. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
9. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
10. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
11. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

Terhadap Disiplin:
1. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
2. seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
3. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
4. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
5. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
6. bina dan mengekalkan perhubungan profesional
7. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas

Secara Peribadinya:
1. tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi
2. berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.

Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"

Apa yang "unggul" itu?
Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek i) Diri Peribadi 2) Organisasi 3) Iklim dan
Budaya Kerja.
1. Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi); suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.
2. Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-massing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.
3. Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.

Tetapi "realitinya" bagaimana?
Aspek peribadi: bersikap yang tidak sesuai dan tidak cerminkan seorang (atau guru-guru) yang sejati dengan tingkah-laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri dan organisasi; datang lewat, lambat masuk kelas mengajar, atau kalau masuk tidak mengajar, atau masuk sekejap kemudian tinggalkan murid buat kerja sendiri, suka buang masa (berborak dan bersembang semasa bertugas), buat sibuk pada masa dia tidak sibuk; semuanya ini jadi amalan dan tak rasa malu apatah lagi rasa berdosa.Pengetahuan dan kemahiran yang tidak berkembang; walau dah lama menjadi guru tetapi kerja masih comot, kabur, salah sana salah sini, tak faham format dan kandungan, sangat lewat siapkan laporan data dan maklumat (termasuk analisis dan diagnosis) dan masih tak pandai buat minit mesyuarat atau belum faham-faham bezakan antara laporan dan minit; dokumen murid sering tidak kemaskini; buku-buku latihan murid sangat lama tidak diperiksa; dan paling buruk sikap bodoh sombong, besar diri dan sangka diri paling betul hingga kerja wajib sebagai seorang guru ditinggalkan dan melebihkan kerja-kerja lain yang bukan wajib (direct selling dan seumpamanya); bagaimana kita hendak jadi Guru Sebenar Guru?

Aspek Organisasi pula kenyataannya datangnya daripada sikap dan perlakuan para ahlinya; sering wujud senario nafsu-nafsi (tidak landaskan prinsip dan peraturan) akhirnya terbentuk organisasi yang kalut, caca-marba, ikut suka; hingga berlarutan bertahun-tahun maka wujudlah beberapa status organisasi seperti: i) Organisasi Bermasalah, ii) Organisasi Terbiar, iii) Organisasi Berpenyakit, iv) Organisasi Bebas-Cukai dan v) Organisasi Mentaliti "Mengajar sebagai Kerja Bodoh."

Aspek Iklim dan Budaya Kerja: Relitinya iklim yang gambarkan "budaya organisasi" yang sentiasa di bawah standard dan jangkaan semua pelanggan dalaman dan luaran atau tidak memenuhi aspirasi masyarakat dan negara. Maka terdengarlah segala macam rungutan, komen dan kritikan daripada rakyat jelata di desa sampailah kepada Perdana Menteri yang memerintah negara; antarnya seperti "Kita tidak serius sebagai Guru Besar..."; "..sekolah kebangsaan tidak menarik dan kurang berdisiplin.'; "3M tidak berkesan di sekolah kebangsaan berbanding SJK Cina."; "Sebanyak 1,919 buah sekolah dikenalpasti sebagai sekolah prestasi rendah (SPR) kerana pencapaian bawah 30% kelulusan UPSR (1999)"; " Pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi...."; adalah fakta dan faktor yang mesti kita terima dan akui bagi membanteras dan memperbaikinya melalui ruang yang luas di mana kita bebas membuat pilihan...yakni pilihan perjuangan menghapuskan kealpaan, kelederan, kelewatan, ketidakakuran, kelemahan dan kehinaan akibat dari kebejatan profesioanlisme.

Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan
Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang lain.

Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri.Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba, fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita. Pendeknya inilah yang dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu
Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.

Guru yang Profesional
Mula kerja awal pagi
Sedia bergerak awal hari
Mengurus dengan merancang
Ada perancangan & matlamat
Berpakaian secara 'profesional'
Guna waktu luang sebagai waktu 'kerja'
Suka ikuti latihan kerana berikan perkembangan profesional
Dalam mesyuarat mereka duduk di mana mereka boleh belajar
Cari perkara-perkara untuk dipuji
Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan
Sedia buat keputusan dan selesai masalah
Lihat pentadbir sebagai rakan kongsi dalam pendidikan
Melanggan dan membaca jurnal profesional
Mendapat penghormatan setiap hari
Kembangsuburkan kerjaya mereka
Rasa dan bertindak 'empowered'
Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan
Belanja wang untuk perkembangan profesional atau untuk bilik darjah
Percaya anak didik boleh belajar, dan lihat tugas mereka membantu proses ini
Melihat pekerjaan 'mengajar' sebagai satu profesion paling mulia.

Guru yang tidak Profesional
Mula kerja setelah loceng berbunyi
Sudah pun letih di awal pagi
Mengurus dengan krisis
Ada berbagai alasan
Berpakaian selekeh
Guna waktu luang mengumpat dan mengeji
Komplen tentang latihan dan pelik mengapa ianya perlu
Dalam mesyuarat mereka duduk di tepi pintu
Cari perkara-perkara untuk dikomplen
Salahkan orang lain bila sesuatu tidak berjalan
Bertanya "Apa patut saya buat?"
Lihat pentadbir sebagai tempat melepaskan geram
Fikir jurnal profesional sebagai membazirkan wang sahaja
Merungut kerana tidak dapat penghormatan
Buat yang terbaik Buat apa orang lain buat
Bimbang tentang kerja mereka
Rasa dan bertindak seperti mangsa
Tidak sedia belajar atau terima bantuan
Enggan belanja untuk perkembangan profesional atau untuk bilik darjah
Percaya anak didik degil, tidak bertanggungjawab, dan malas
Melihat kerja mengajar sebagai satu kerja dengan gaji lumayan sahaja.

Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"
Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar" dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita
sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.

Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

Guru Sebenar Guru
tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara' atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri “orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa bertangguh.

Penutup
Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu tadbir, pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai 'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita dakwa bahawa kita tidak tahu mengenainya.

Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan masa sebaik mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak Kementerian Pendidikan jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu dan layu?”

Rujukan
Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

William E. Schneider, Ph.D., (1998). Why Good Managements Ideas Fail
- Understanding Your Corporate Culture. Paradigm Shift International USA.

___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Worksheets