Jumaat, Oktober 06, 2006

Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid:
1. punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
3. kenal, hormati dan percayai murid-murid
4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
6. menggalakkan murid-muird bertanyakan soalan mengenai pelajaran
7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

Terhadap Mengajar:
1. melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
2. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
3. adil dalam menilai dan menggred
4. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
5. bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
6. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks
7. mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
8. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
9. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
10. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
11. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

Terhadap Disiplin:
1. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
2. seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
3. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
4. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
5. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
6. bina dan mengekalkan perhubungan profesional
7. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas

Secara Peribadinya:
1. tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi
2. berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.

Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"

Apa yang "unggul" itu?
Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek i) Diri Peribadi 2) Organisasi 3) Iklim dan
Budaya Kerja.
1. Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi); suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.
2. Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-massing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.
3. Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.

Tetapi "realitinya" bagaimana?
Aspek peribadi: bersikap yang tidak sesuai dan tidak cerminkan seorang (atau guru-guru) yang sejati dengan tingkah-laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri dan organisasi; datang lewat, lambat masuk kelas mengajar, atau kalau masuk tidak mengajar, atau masuk sekejap kemudian tinggalkan murid buat kerja sendiri, suka buang masa (berborak dan bersembang semasa bertugas), buat sibuk pada masa dia tidak sibuk; semuanya ini jadi amalan dan tak rasa malu apatah lagi rasa berdosa.Pengetahuan dan kemahiran yang tidak berkembang; walau dah lama menjadi guru tetapi kerja masih comot, kabur, salah sana salah sini, tak faham format dan kandungan, sangat lewat siapkan laporan data dan maklumat (termasuk analisis dan diagnosis) dan masih tak pandai buat minit mesyuarat atau belum faham-faham bezakan antara laporan dan minit; dokumen murid sering tidak kemaskini; buku-buku latihan murid sangat lama tidak diperiksa; dan paling buruk sikap bodoh sombong, besar diri dan sangka diri paling betul hingga kerja wajib sebagai seorang guru ditinggalkan dan melebihkan kerja-kerja lain yang bukan wajib (direct selling dan seumpamanya); bagaimana kita hendak jadi Guru Sebenar Guru?

Aspek Organisasi pula kenyataannya datangnya daripada sikap dan perlakuan para ahlinya; sering wujud senario nafsu-nafsi (tidak landaskan prinsip dan peraturan) akhirnya terbentuk organisasi yang kalut, caca-marba, ikut suka; hingga berlarutan bertahun-tahun maka wujudlah beberapa status organisasi seperti: i) Organisasi Bermasalah, ii) Organisasi Terbiar, iii) Organisasi Berpenyakit, iv) Organisasi Bebas-Cukai dan v) Organisasi Mentaliti "Mengajar sebagai Kerja Bodoh."

Aspek Iklim dan Budaya Kerja: Relitinya iklim yang gambarkan "budaya organisasi" yang sentiasa di bawah standard dan jangkaan semua pelanggan dalaman dan luaran atau tidak memenuhi aspirasi masyarakat dan negara. Maka terdengarlah segala macam rungutan, komen dan kritikan daripada rakyat jelata di desa sampailah kepada Perdana Menteri yang memerintah negara; antarnya seperti "Kita tidak serius sebagai Guru Besar..."; "..sekolah kebangsaan tidak menarik dan kurang berdisiplin.'; "3M tidak berkesan di sekolah kebangsaan berbanding SJK Cina."; "Sebanyak 1,919 buah sekolah dikenalpasti sebagai sekolah prestasi rendah (SPR) kerana pencapaian bawah 30% kelulusan UPSR (1999)"; " Pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi...."; adalah fakta dan faktor yang mesti kita terima dan akui bagi membanteras dan memperbaikinya melalui ruang yang luas di mana kita bebas membuat pilihan...yakni pilihan perjuangan menghapuskan kealpaan, kelederan, kelewatan, ketidakakuran, kelemahan dan kehinaan akibat dari kebejatan profesioanlisme.

Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan
Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang lain.

Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri.Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba, fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita. Pendeknya inilah yang dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.

Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu
Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.

Guru yang Profesional
Mula kerja awal pagi
Sedia bergerak awal hari
Mengurus dengan merancang
Ada perancangan & matlamat
Berpakaian secara 'profesional'
Guna waktu luang sebagai waktu 'kerja'
Suka ikuti latihan kerana berikan perkembangan profesional
Dalam mesyuarat mereka duduk di mana mereka boleh belajar
Cari perkara-perkara untuk dipuji
Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan
Sedia buat keputusan dan selesai masalah
Lihat pentadbir sebagai rakan kongsi dalam pendidikan
Melanggan dan membaca jurnal profesional
Mendapat penghormatan setiap hari
Kembangsuburkan kerjaya mereka
Rasa dan bertindak 'empowered'
Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan
Belanja wang untuk perkembangan profesional atau untuk bilik darjah
Percaya anak didik boleh belajar, dan lihat tugas mereka membantu proses ini
Melihat pekerjaan 'mengajar' sebagai satu profesion paling mulia.

Guru yang tidak Profesional
Mula kerja setelah loceng berbunyi
Sudah pun letih di awal pagi
Mengurus dengan krisis
Ada berbagai alasan
Berpakaian selekeh
Guna waktu luang mengumpat dan mengeji
Komplen tentang latihan dan pelik mengapa ianya perlu
Dalam mesyuarat mereka duduk di tepi pintu
Cari perkara-perkara untuk dikomplen
Salahkan orang lain bila sesuatu tidak berjalan
Bertanya "Apa patut saya buat?"
Lihat pentadbir sebagai tempat melepaskan geram
Fikir jurnal profesional sebagai membazirkan wang sahaja
Merungut kerana tidak dapat penghormatan
Buat yang terbaik Buat apa orang lain buat
Bimbang tentang kerja mereka
Rasa dan bertindak seperti mangsa
Tidak sedia belajar atau terima bantuan
Enggan belanja untuk perkembangan profesional atau untuk bilik darjah
Percaya anak didik degil, tidak bertanggungjawab, dan malas
Melihat kerja mengajar sebagai satu kerja dengan gaji lumayan sahaja.

Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"
Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar" dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita
sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.

Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Guru-guru begini tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.

Guru Sebenar Guru
tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara' atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri “orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa bertangguh.

Penutup
Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu tadbir, pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai 'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita dakwa bahawa kita tidak tahu mengenainya.

Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan masa sebaik mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak Kementerian Pendidikan jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu dan layu?”

Rujukan
Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

William E. Schneider, Ph.D., (1998). Why Good Managements Ideas Fail
- Understanding Your Corporate Culture. Paradigm Shift International USA.

___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Worksheets