Saya suka blog ini

Jumaat, Ogos 08, 2008

Tarikh Keramat

Assalamualaikum
Jumaat, 8 Ogos 2008

Tarikh ini cantik betul dan hari ini ada satu perubahan besar yang berlaku di kelas. Muhammad Amir Aiman telah berada di kelas ini sejak tahun lepas. Setiap hari kerjanya adalah berjalan mengelilingi kelas. Sebagai bekas seorang guru Pendidikan Khas, saya dapati Aiman mempunyai ciri-ciri kanak-kanak autisme. Dia suka bersendiri dan sering ketawa seorang diri sambil menggigit kukunya atau jari-jarinya. Sukar untuk menyuruh Aiman duduk. Selama ini saya terpaksa membiarkan Aiman mundar-mandir di kelas. Apa yang mengejutkan walaupun tidak pernah membuat latihan yang diberikan Aiman kenal semua abjad dan nombor. Saya pernah memaklumkan bahawa Aiman ada mengalami masalah pembelajaran kepada ayahnya namun baru tahun ini ayahnya dapat menerima apa yang saya katakan hanya setelah dipanggil oleh jururawat dan doktor yang datang ke sekolah. Saya maklumkan kepada ayahnya bahawa satu hari kelak Aiman boleh pulih cuma dia perlukan guru khas untuk membimbingnya keluar dari dunianya.

Minggu ini Aiman memang membuatkan saya dan ustazah Mazliah terkejut. Selasa lepas Aiman dengan lancarnya membaca Surah An-Nas sehingga ustazah Mazliah menciumnya secara spontan kerana benar-benar terkejut. Aiman yang kadang-kala seakan-akan kanak-kanak pekak bila dipanggil dapat membaca buku Iqra dengan lancar. Wow!.


Awal bulan ini dia sudah mahu beratur mengambil kertas lembaran yang diberi kepada semua murid. Dia mengambil kertas dan mewarnakannya tapi sekerat jalan sahaja. Tetapi hari ini Aiman membuat kejutan lebih besar lagi. Perangainya tiba-tiba berubah secara drastik. Dia telah berjaya menyiapkan lembaran kerja Bahasa Melayu dengan menjawab semua soalan yang diberi dengan betul. MasyaAllah... gembiranya hati saya sehingga menitiskan airmata melihat perubahan Aiman. Dia duduk dengan tekun di sebelah Audah Fateha, menjawab semua soalan yang diberi dan mewarnakan gambar!

Sewaktu pulang saya memaklumkan kepada ayah angkat Aiman apa yang berlaku. Saya mendoakan semoga Aiman akan berjaya satu hari kelak keluar dari dunia autismenya. Perubahan ini diharapkan akan berkekalan hendaknya.

Hari ini juga Shafaat, seorang murid yang sering tidak hadir ke sekolah telah juga memeranjatkan saya. Ya Allah, Jumaat ini banyak rahmat yang diturunkan. Buat kali pertamanya Shafaat telah menyiapkan semua tugasan yang diberi dengan sempurna. Sewaktu ayahnya datang, saya memaklumkan apa yang berlaku. Rasa seronok terpancar dari senyuman ayahnya. Saya ke warung ibu Shafaat dan memberitahu apa yang berlaku sewaktu pulang dari sekolah. Saya rasa gembira sangat bila melihat perubahan murid-murid saya. Kalau tahun lepas, Illyani, sepupu Shafaat mula meminta untuk membuat kerja yang saya beri pada 1 April, kini Shafaat juga telah menunjukkan perubahan sikap walaupun lewat 4 bulan dari Illyani. Dia dan Aiman baru menunjukkan kesediaan untuk belajar. Seronoknya melihat perubahan ini. Semoga Allah akan terus membuka pintu hati kedua-duanya untuk terus berjaya.

Bagi anda rakan guru yang masih punya murid yang masih tidak mahu belajar, janganlah mudah berputus asa. Berdoalah dan lakukan usaha untuk membantu murid tersebut sebagaimana anda berusaha untuk memajukan anak atau adik sendiri. Yakinlah bahawa usaha ikhlas anda pasti akan membuahkan hasil. Temuilah ibu bapa murid tersebut untuk membincangkan kelemahan anak mereka dan jangan lupa untuk memuji kemajuan anak-anak mereka. Bagi saya, biarpun perubahan itu sedikit, saya tetap akan maklumkan kepada ibu bapa murid bahawa usaha mereka dan usaha saya telah mula menunjukkan perubahan. Kejayaan murid adalah kepuasan seorang guru. Ganjaran Anugerah Khidmat Cemerlang tolak tepi. Hmm... mungkin anda semua akan terkejut kalau saya katakan bahawa sejak berkhidmat 20 tahun lalu saya TIDAK pernah menerima anugerah tersebut. Apa yang penting bagi saya adalah kepuasan bila melihat kejayaan murid-murid saya. Tiada anugerah yang ingin saya minta cuma sekadar ucapan ikhlas dari mereka TERIMA KASIH CIKGU .... cukuplah!.

0 ulasan: