Saya suka blog ini

Rabu, September 30, 2009

Sambutan Hari Raya 2009

Sambutan Hari Raya


Program Ziarah dan Marhaban


Assalamualaikum,
Kelas prasekolah akan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya mengikut ketetapan seperti berikut:

Tarikh : 8 Oktober 2009 ( Rabu )
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Kelas Prasekolah
Pakaian : Baju kurung dan baju Melayu

Semua guru SKDUA dan ibu bapa murid dijemput untuk meraikan majlis tersebut.

Aturcara:
1. Ucapan alu-aluan oleh Guru Besar
2. Marhaban dan doa
3. Jamuan

Kami juga akan mengadakan Program Ziarah dan Marhaban ke rumah murid-murid. Klik surat untuk besarkan imej.

Selasa, September 29, 2009

Raya 2009

Assalamualaikum
Raya tahun ini saperti tahun sudah. Kami beraya di rumah sendiri dahulu barulah ke rumah mak dan abah. InsyaAllah tahun depan kami beraya di rumah baru pula.

Kami sekeluarga

Barisan cucu-cucu mak dan abah.

Rakan seuniversiti dahulu ada juga datang ke rumah, Baizura Mohd Saidi yang kini bertugas di prasekolah SK Pancor, Seremban, Negeri Sembilan. Malangnya entah di mana anak saya meletakkan gambar yang diambil. Nantilah saya cari...

Rabu, September 16, 2009

Kad dari Cikgu Shahril

Assalamualaikum
Minggu ini saya ingin memaparkan semua kad-kad raya yang diterima. Hari ini kad datang dari Cikgu Shahril yang mengajar di SK Mela, Pahang. Beliau merupakan antara blogger-blogger pertama yang saya kenali. Seronok juga mengenali guru muda ini kerana berpengalaman mengajar di sekolah orang asli di SK Titom. Banyak kisah pahit manis yang dilaluinya bersama-sama guru prasekolah SK Titom yang antara lain membawa peralatan kelas prasekolah menaiki motosikal masuk ke dalam hutan. Kalau lihat gambar bagaimana mereka membawa peralatan itu sambil menolak motosikal menaiki bukit yang becak dan licin, pasti hati tersentuh. Bayangkan kalau kita sendiri diminta berbuat demikian. Sanggupkan korang buat sebagaimana guru-guru muda di SK Titom. Bayangkan nak bawa papan gelongsor, tiang gol, almari, rak, kerusi meja... meleleh airmata dibuatnya. Tapi itulah pengorbanan guru yang ada kalanya tidak dipandang oleh masyarakat. Masyarakat mudah menuding jari andai guru membuat sedikit kesilapan... tapi pengorbanan mereka yang sanggup tidur di kegelapan malam diratah nyamuk dan unggas, bermandikan lumpur dan air sungai. Eh... banyaklah pengorbanan mereka yang saya sendiri tidak mungkin mampu melakukannya. Tahniah buat guru-guru di Titom.

Selasa, September 15, 2009

Kad Raya Dari Kawan-kawan

Assalamualaikum.
Malam ini dipaparkan kad-kad raya yang saya terima:

1.Kad Raya dari Wak Jenal
Terima kasih Jenal. Moga ko sekeluarga selamat pulang beraya di Pontian dan Sabak Bernam. Akak ni beraya di Kota Tinggi je...maklum kami suami isteri dah menetap di sini. Lagipun anak dara yang sulung tu cuti 2 hari sahaja. Hari raya ketiga dah kena duduk di klinik gigi menggantikan misi-misi lain bercuti. Maklumlah budak tengah praktikal.

kak g




salam sahrul magfiroh.

selamat hari raya maaf zahir dan batin,

halalkan termakan dan terminum, terkasar bahasa, terguris hati dek kelancangan tutur kata. kalau rajin jemput la datang umah. raya pertama -2 beraya di pekan nenas, ke-3-5 kat sabak bernam, ke 6 baru balik JB. apa-apa hal kol dulu. tq atas segalanya. Tunjuk ajar ku sifu.........


wak jenal

2. Kad Raya dari Inna
Terima kasih Inna. Sepanjang Ramadan ni kita jarang dapat berjumpa. Inna merupakan ibu kepada salah seorang murid di sekolah saya. Dia seorang yang tabah walaupun kedua-dua anaknya mengalami masalah tulang. Moga Inna akan terus tabah dan berbahagia disamping suami ( Dr Yusof - Klinik Kausar, anak-anak tersayang: Khudori dan Wardah ). Gambar pada kad raya di bawah ni merupakan pemandangan di taman rumah Inna yang terletak berhampiran rumah saya. Hehe... Inna ni antara blogger tegar.

[Copy+of+12092009_005.jpg]

Isnin, September 14, 2009

Mood Raya

Assalamualaikum
Semua orang dalam mood nak beraya. Dalam kepala sarat mencongak bajet raya. Saya juga tidak terkecuali. Sibuk dengan persiapan raya. Sabtu dan Ahad masa dipenuhi duduk di meja menghadap mesin jahit. Bukan buat baju raya tapi jahit langsir bodoh je... hehe jahit lurus je maklum rumah baru tu kalau tidak berlangsir terang benderang dari luar gamaknya. Tak boleh nak berseksi-merry ( hiss... bukanlah seksi melampau tu... cuma dapatlah buka anak tudung kalau duduk di dalam rumah. Lagilah lerni musim panas... rasa mendidih kulit kepala kalau asyik bertudung dalam rumah ) Susah juga rumah baru bila dekat dengan rumah pekerja. Aurat nak kena jaga. Kang tak pasal-pasal ada tayangan percuma.



Kepada rakan-rakan yang hantar email, maaflah lambat balas sebab tak sempat nak baca. Kalau korang sms tu kira oklah. Menjelang minggu akhir puasa ni saya akan jarang online. Di kelas buka sekejap-sekejap je. Habis kelas saya sibuk menyiapkan e-book. Jadi minggu ni tak adalah entri tentang PnP ya. Apa yang nak saya bagi tau... minggu ni aktiviti kami berkisar tentang perayaan.... buat kuih raya, kad raya... dan macam-macam lagilah. Aduh....malasnya nak buat entri. OKlah... chow cin chow la ya..

Ahad, September 13, 2009

Kad Raya Pertama

Assalamualaikum
Inilah kad Hari Raya pertama yang saya terima dari Dikwa. Terima kasih daun keladi. Ada sesiapa nak kirim lagi... saya sudi terima. Kepada pembaca setia blog ini saya juga ingin menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin di atas kesilapan tutur kata saya selama menulis di sini. Tanpa anda tiada ertinya blog ini.


Maaflah saya tak reti nak buat kad secantik di atas ni. Lagipun saya sedang sibuk menyiapkan persiapan raya maklumlah cadangnya nak beraya di rumah baru yang dijangka siap sepenuhnya esok. Hehe... letrik dan air belum ada pun lagi. Siling rumah pun belum siap pasang. Bajet dah lari ni... apapun semangat tetap ada nak hias rumah baru. Eleh... pasang langsir je... beraya waktu siang je di rumah tu sebab dah dekat rumah mak dan sedara mara di kampung... malam balik semula ke rumah di Taman Kota Jaya.


Jumaat, September 11, 2009

SOLD OUT

Assalamualaikum
Kepada semua yang memesan CD Cerlang Minda Prasekolah Diri Saya harap maklum bahawa cd berkenaan sudah kehabisan stok. Insya-Allah selepas cuti hari raya stok baru akan tiba. Bagi yang telah menjelaskan bayaran, saya memohon kemaafan kerana belum dapat mengirimkan bahan tersebut. Bahan-bahan lain masih ada dalam simpanan. Saya akan mengirimkan modul-modul dari pakej 1 dan 2 seperti biasa. Terima kasih atas sokongan anda.

Rabu, September 09, 2009

Tip

Assalamualaikum
Hari ini hari kedua budak-budak prasekolah dicutikan. Aman sekejap rasa telinga sebab suasana sekolah agak tenang. Tekak saya pun taklah sakit untuk menegah mereka yang sering buat bising dan berlari keliling kelas. Kalau hari biasa... suara saya boleh didengar sehingga ke tingkat 3 bangunan sekolah. Haha... jadi bos tak payah nak observe saya mengajar sebab sound sistem suara saya ni memang dah di tahap loud speaker. Maklum anak bekas guru kawad Angkatan Tentera Malaysia.

Hari ini saya kena ganti guru di kelas 1 Hidayah. Ah... tak susah mana pun. Saya bawa bahan yang ada dalam simpanan saya untuk diberi kepada budak-budak tu. Bab jadi guru ganti ni bukanlah masalah besar. Nak ganti di kelas mana pun saya tak kisah.... nak ganti di kelas pelajar Sarjana Muda pun orait. Pendek kata... senjata dah siap dalam simpanan. Hehehe.... yang penting maklumkan awal-awal... jadi mudah saya nak buat kerja. Kalau dalam masa "on the spot" tu yang payah sikitlah... jawabnya saya akan ajar budak-budak tu menyanyi lagu kanak-kanak yang ada dalam PC di kepala saya ini sahajalah. Kalau ajar di peringkat tinggi lak... kena minta pelajar tanya saya apa yang mereka mahu... jadi saya boleh susun balik memori dalam PC saya untuk dimuntahkan keluar. Sebenarnya mengajar mereka yang lebih besar ni senang. No problem... sebab mereka lebih mudah faham apa yang ingin kita sampaikan.

Tapi kalau guru biasa disuruh mengajar di prasekolah... A LOT OF PROBLEM. Kenapa ya guru-guru biasa ni rasa ada masalah dengan kanak-kanak kecil ni? Sebabnya ialah mereka ni tak ada minat nak layan budak-budak. Tu je. Kalau kita ada minat layan budak-budak... tak susah mana pun. Ajak mereka berbual, kemudian kaitkan cerita mereka dengan cerita yang kita ada.... hehe.... banyak benda boleh di "goreng" kat budak-budak ni. Lepas tu bila cerita mereka ada kaitan dengan lagu yang kita tahu... ajak mereka menyanyi atau bagi mereka kertas suruh mereka lukis apa yang mereka dah cerita tadi. Nak tambah lagi rencah, suruh mereka bayangkan cerita mereka itu.... tanya tentang warna, saiz dan bentuk. Pastu minta mereka kira.... kaitkan dengan unsur-unsur sains dan agama. So... masa 20 minit boleh jejak 2 jam. Susah ke?

Sebab tu bila pegawai datang nak observe... mudah je. Apa tipnya? Jom baca seterusnya tip di bawah ini:
- Keluarkan segala bahan yang korang dah buat. Saya keluarkan semua modul bertema yang telah saya dokumentasikan.
- Pastikan hasil kerja murid seperti buku tulis murid disimpan di rak atau stor kelas. Buku yang sudah kanak-kanak siapkan jangan pulangkan sekarang tetapi akan dipulangkan sehingga hujung tahun. Selain sebagai bahan bukti, ibu bapa juga pasti akan terkejut bila dapat lihat apa yang anak mereka buat sepanjang berada di kelas kita... makin sikit buku bermakna anak tu tak buat apa-apa di kelas.
- Sistem fail kelas... beli rak besi dan letak kat tepi pintu kelas... jadi mudahlah kita nak cari di mana kita simpan maklumat kelas.
- Simpan kad-kad gambar, kad imbasan dalam kotak-kotak tema. Jadi angkat je la kotak mana ikut tema minggu itu. Pastikan bahan-bahan ni korang dah laminate. Kerja sekali guna berkali-kali.... sampai pencen daaa...
- Tanya tuan pegawai tu apa yang dia nak tengok... hahaha.... soal dia sebelum dia soal korang.

Tu je la tip untuk korang yang bakal diobserve oleh pegawai-pegawai prasekolah atau nazir atau sesiapa je yang rasa nak tengok atau cari kesilapan korang. Kalau tak buat jangan pandai ngaku-ngaku korang buat. Berterus-teranglah. Kalau korang kena observe kali kedua atau ketiga.... selepas observation tu buat semua yang disuruh atau ditegur. Jangan pulak liat macam gula getah... Jadi cikgu ni tak bolehlah malas-malas sangat dik Non oi... duit yang korang ambil kat mesin ATM tu kenalah jaga keberkatannya. Kalau tak pandai mewarna, korang belilah kamera digital, ambil gambar dan cuci di kedai. Kad imbasan lak korang taip je kat MSWord bersaiz font 150. Pastu cetak dan potong dan laminate. Jadi kerja hari ini korang dapat guna sampai pencen. Tak ada masa? Itu adalah alasan orang pemalas. Masa Allah beri 24 jam sama semua umat kat dunia ni. Jadi pandai-pandailah uruskan masa korang tu. Yang rajin bersms tu kenalah kurangkan ya. Buat kerja utama kita dulu. Satu lagi... kalau bagi budak-budak tu kerja ... pastikan korang tanda. Rasanya tu je lah tip untuk korang hari ini. Kalau korang buat semua bahan-bahan tu hari ini, esok lusa tulat dan hingga tahun seterusnya korang dah boleh rileks. Biasanya tahun pertama kedua je yang busy giler... tahun ke 6 atau tahun ke 22 macam saya sekarang ni... dah tak susah. Kelas dah boleh buat macam klinik kesihatan. Kita pergi kat stor, ambil kotak "ubat" dan bagi pada pesakit.

Boleh buat tak? Siapa yang kata boleh buat, tulis komen korang kat bawah ini sebagai tanda korang sambut cabaran akak ni...

Selasa, September 08, 2009

UPSR

Assalamualaikum
Hari ini, esok dan lusa kelas prasekolah dicutikan kerana murid-murid Tahun 6 menduduki peperiksaan UPSR. Kelas kami bersebelahan dewan besar sekolah, kalau murid prasekolah datang macam biasa sah-sah hingar bangar suasana sekolah. Puas pula untuk menegah mereka untuk senyap.

Memandangkan kelas dicutikan, saya berkesempatan menyiapkan tempahan jahitan manik baju raya rakan. Nak buat apa lagi? Kena gak menggantikan guru yang tiada dari pukul 11.30 hingga 12.30 tengah hari. Ada kala hati ini berkata juga... " Kalau aku tak ada, tak ada sorang pun guru yang diminta menggantikan aku di kelas" Kalau ada pun, ada tu buat-buat lupa. Geram gak bila kenangkan hal begini. Pernah masa PPM bercuti bersalin, saya hampir pitam di kelas. Tiada siapa pun datang menjengah. Dalam keadaan kecemasan itu, sempat saya berdoa semoga saya tidak pengsan. Kalau tidak apakah agaknya budak-budak kecil tu akan lakukan?

Sebenarnya semalam GPK meminta saya menjadi pengawas peperiksaan. Ada ke dalam waktu begini saya nak gantikan orang? Saya kurang minat jadi pengawas peperiksaan ni sebab banyak benda saya akan "miss". Saya rasa bila kelas dicutikan, saya akan punya masa untuk diri saya sendiri. Tak kisahlah sangat kalau nak kena jadi guru ganti. Yang penting saya ada perancangan sendiri. Pengalaman jadi pengawas peperiksaan menyerikkan buat saya yang tak boleh duduk diam ni. Nak jalan keliling dewan... memanglah tak larat. Nak duduk saja tanpa buat apa-apa... mau lelap jadinya. Lebih baik duduk di kelas dan siapkan kerja yang saya suka. Sambil-sambil tu bolehlah buat kerja sampingan. Hehehe... Dari pukul 7.15 pagi hingga 1.00 tengah hari lebih 10 benda boleh saya buat. So...layan je la apa yang telah saya rancangkan selama ini. Antaranya siapkan e-book saya... buat entri kat blog yang terkini, cari maklumat, sms kawan-kawan.... apa lagi ek?..... jahit baju, termenung rancang strategi, baca email, cari laman web....his his his... pendek kata.... buat je la apa yang patut.... minum air, makan kuih sampel raya ke.... haha.... siapa yang tak pose tu hah?...

Isnin, September 07, 2009

Let Spell

Assalamualaikum
Hari ini seorang murid saya agak lewat diambil oleh ayahnya. Sementara menunggu ayahnya tiba, Haikal telah bermain permainan ini. Bapanya hanya tiba pada pukul 11.50 tadi. Maka Haikal sempatlah menyudahkan Level 2 di mana dia mampu menjawab 4 dari 6 soalan yang diberikan.

Mengikut pendapat saya, permainan ini sangat menarik kerana kanak-kanak boleh mendengar sebutan yang betul apabila mengklik "CLUE". Anda ingin mencuba di kelas? Jom ke link di bawah ini:

http://kids.aol.com/KOL/2/KOLJrGames/FlashHolder/musical-worms

Ahad, September 06, 2009

Aktiviti Pekerjaan Beruniform

Bahasa Melayu

Perbualan mengenai pekerjaan berunifom

- Pakaian

- Tempat bekerja

- Bidang tugas

Murid membawa nombor telefon, pakaian atau gambar.

- Polis

- Doktor

- Bomba

Mendengar sebutan dan menyatakan perkataan yang mengandungi awalan yang sama. Contoh: polis, posmen ( bunyi p )

Mendengar sebutan dan menyatakan perkataan yang mengandungi akhiran yang sama.

Bercerita berpandukan kad gambar tunggal / bersiri.

Latihan menulis nama-nama pekerjaan.

Melengkapkan rangkaikata dalam ayat yang diberi.


Bahasa Inggeris

Teacher gives instructions and children carry them out. e.g : No smoking. Please keep quiet.

Fill in the blanks with the correct words.

Children dramatise familiar stories by acting out the rules of the various characters. Eg. Police, nurse


Pendidikan Islam

Membaca bismillah dan doa sebelum memulakan perjalanan untuk melakukan pekerjaan

Latihan menyebut dan mengecam serta membunyikan perkataan pekerjaan


Pendidikan Moral

Bercerita tentang pekerjaan pelbagai kaum.

Bersoal jawab mengenai peraturan ditempat kerja

Mempamerkan carta atau lambang peraturan


Perkembangan Sosio Emosi

Bermain gambar suai pasang mengenai pekerjaan.

Main peranan mengikut pekerjaan.


Perkembangan Estetika dan Daya Kreativiti

Mewarnakan gambar

Menyanyikan lagu “Inilah barisan kita”

Kolaj pakaian pekerjaan beruniform


Perkembangan Kognitif

Tuliskan nombor yang betul dan tambah.

Menyusun kad gambar bersiri berdasarkan pekerjaan


Perkembangan Fizikal

Permainan Polis Sentri

Menjemput doktor memberi penerangan atau lawatan ke klinik

Berlakon main peranan.










Khamis, September 03, 2009

All About Me

Assalamualaikum
Hari ini murid-murid belajar tentang All About Me. Sebenarnya tema ini diulang semula supaya murid-murid dapat memahami dengan lebih mendalam tentang diri mereka di dalam Bahasa Inggeris. Mereka membaca petikan Who Am I dari laman web :
sebagaimana yang telah dibuat semalam. Petikan ini mengandungi: 25 unique words: a, am, are, black, blonde, blue, boy, brown, eyes, face, girl, hair, have, I, is, like, look, me, my, pajamas, red, skin, this, who dan yellow.
Saya telah mencetak lembaran kerja di atas untuk kanak-kanak menulis semula apa yang telah mereka fahami tentang diri mereka. Lembaran kerja itu telah di bahagikan mengikut jantina kanak-kanak. Aktiviti diteruskan dengan permainan mencari perkataan yang betul untuk disesuaikan dengan gambar sebagaimana di bawah.

Seronoknya melihat kanak-kanak berinteraksi dengan perisian ini. Bagi kelas-kelas yang tiada talian internet, cubalah dapatkan broadband stick yang boleh dibawa ke mana sahaja. Berbincanglah dengan guru besar anda untuk memohon menyewa talian portable broadband menggunakan duit majlis permuafakatan kelas. Hanya RM50 sahaja jika mendaftar dengan Celcom. Kalau tidak mendapat kerjasama pentadbir, anda sedekahkanlah sedikit wang gaji anda demi kebajikan murid-murid. Yalah... mudah-mudahan rezeki yang kita dapat itu semakin diberkatiNya. Insya-Allah.

Rabu, September 02, 2009

Eksplorasi Internet

* Catatan : Sila beri komen anda di ruangan komen di bawah entri ini. Kerjasama anda amat dihargai. Semoga kita akan lebih bersemangat untuk membantu anak-anak didik kita belajar dengan lebih seronok. Pastinya anda juga akan seronok melihat kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anak didik anda *

Assalamualaikum
Hari ini saya dan murid-murid telah membuat eksplorasi di internet. Maklumlah sistem bunyi komputer di kelas baru sahaja diperbaiki. Jadi mudahlah saya mengajar murid-murid. Malah mereka juga sangat seronok belajar melalui internet.

Laman web yang kami jelajahi hari ini adalah :



Di sini kanak-kanak dapat mengenal abjad - alphabet and phonemic awareness - ia juga menyediakan lagu-lagu yang boleh kanak-kanak ikuti dengan mudah.

Saya menguji kebolehan kanak-kanak membaca hari ini. Inilah senarai bahan yang dibaca pada pagi tadi.

Memang mudah menggunakan laman web ini kerana disamping kanak-kanak belajar membaca, mereka boleh mengagak sama ada apa yang mereka sebut itu betul. Malah saya juga turut belajar menyebut perkataan dengan betul. Rupa-rupanya banyak yang saya sebutkan selama ini misalnya perkataan red=merah dan mud=lumpur. Anda bagaimana, cubalah uji sama ada sebutan anda betul atau tidak selama ini. Memang mengejutkan kerana selama ini kita sangka apa yang kita sebut itu betul tetapi sebenarnya salah. Macam juga perkataan perang - warna perang dengan perang - perebutan kuasa. Jom kita perbaiki kelemahan ini. Bagi anda yang muda-muda tentu perjalanan perjuangan ini masih panjang. Bagi yang sudah seangkatan dengan saya, sekurang-kurangnya kalau dah pencen nanti bolehlah mengajar cucu pula berbahasa Inggeris. He...he...he...

Lihat gambar di bawah ini. Kalau kita klik pada perkataan "girl", ayat di bawah akan tertulis I am a girl. Kanak-kanak hanya klik pada ikon telinga di sebelah kiri perkataan untuk ikut menyebut perkataan yang tertera. Mudah bukan? Inilah antara cara untuk kita membantu kanak-kanak mengenali siapa diri mereka di dalam bahasa Inggeris. Nak tahu lebih lanjut? Mari kita sama-sama masuk ke laman web berkenaan.


Esok kami akan meneroka lagi bahan-bahan yang lain dari laman web yang sama. Selamat belajar.