Saya suka blog ini

Jumaat, Ogos 22, 2008

Tema Sukan dan Permainan

Assalamualaikum,
Sebagai memenuhi janji kepada Wani di sini saya berikan beberapa aktiviti yang boleh dilakukan untuk tema Permainan. Kalau ingin mendapatkan CD lembaran kerja yang mengandungi aktiviti Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan slide show serta rancangan pengajaran mingguan/harian bolehlah menghubungi email saya: fauziah.arahim@gmail.com.

Multi-Talented AthleteBola Keranjang:

Mencampakkan bola ke dalam bakul.

Lontar Tukul:

Masukkan bola ke dalam setokin yang panjang. Minta kanak-kanak hayun hujung setokin dan lepaskan. Siapa yang paling jauh jaraknya dikira pemenang.

Lontar Cakera:

Gunakan pinggan kertas atau penutup plastic sebagai cakera.

Rejam lembing:

Lontar straw untuk mengukur jarak yang paling jauh.

Cartoon Beaker Hitting a Tennis BallTennis:

Kanak-kanak boleh gunakan raket badminton dan belon sebagai bola.

Mengatasi Rintangan:

Sediakan beberapa rintangan yang boleh kanak-kanak lari mengelilinginya, masuk ke bawah dan sebagainya untuk ke garis penamat.

Bola Tampar:

Kanak-kanak boleh menggunakan belon sebagai bola.

Hoki:

Gunakan kayu hoki dan bola getah sebagai ganti bola hoki.

Click to view

Lontar Peluru:

Gunakan bola lisut sebagai ganti.

Two Marathon RunnersLari Berganti-ganti:

Gunakan kertas rol tisu sebagai ganti untuk kanak-kanak gunakan sebagai baton.

Rabu, Ogos 20, 2008

Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan

Assalamualaikum
Kepada rakan guru yang akan mengambil peperiksaan PTK esok diucapkan selamat menjawab soalan. Rasa-rasanya tempoh masa yang bakal saya ambil tetap sama... 15 minit kot... sebab tak nak ulang baca semula. Bukan apa kalau diulang baca...sah-sah tukar jawapan. Hehehe... Baru petang tadi cari buku soalan tapi tak jumpa. Alahai. Jawabnya baca buku nota yang tebal tu jugalah jawabnya. Nasib baik tinggal kertas Umum sahaja lagi. Tahun depan mungkin tak boleh ambil sebab dijangkakan naik gred DG44 pula... yalah dah cukup tempoh. Itupun kalau Kementerian luluskan permohonan. Kalau tidak, standby je la untuk mengulang semula. Harap-harap kali ni lulus untuk naik ke P3. Hmm teringat kisah bila ada kawan-kawan yang marahkan murid tak lulus periksa... cikgu sendiri pun malas nak buka buku. Macamana? Nasib baik budak prasekolah tak ada peperiksaan. Aha... saya tahu ada di kalangan rakan guru yang sibuk sangat nak buat peperiksaan pada murid prasekolah yang mana akhirnya membuatkan ibu bapa tidak senang duduk.
3D animated gifSchool Boy Thinking

Selasa, Ogos 19, 2008

Melukis bunga ros

Assalamualaikum
Selamat bercuti kepada semua. Walaupun bercuti Khamis, 21hb Ogos 2008 kena ke sekolah juga sebab menduduki peperiksaan PTK. Harap-harap luluslah. Hanya tinggal Kertas Umum sahaja lagi sebelum ke DG44. Sambil bercuti saya sempat juga melawat ke Youtube... Jom layan cara-cara melukis bunga ros... bunga yang saya paling suka di kelas...









Khamis, Ogos 14, 2008

Mengenal Huruf Awal





Assalamualaikum,
Banyak aktiviti boleh dibuat untuk memperkenalkan huruf kepada kanak-kanak. Antaranya adalah dengan memotong keratan perkataan yang terdapat di dalam akhbar. Untuk melancarkan aktiviti, potong dahulu keratan perkataan dan minta kanak-kanak memilih perkataan mengikut abjad yang dikehendaki dan melekatkannya di dalam buku kecil yang disediakan. Biasanya saya menggunakan kertas pendua yang dilipat dua dan distapler di tenga-tengahnya. Anda boleh membuat sebanyak 10 mukasurat dari 5 helai kertas pendua. Apabila aktiviti ini dilakukan pasti sahaja kelas akan berselerak dengan cebisan kertas dan lelehan gam di atas meja. Jangan risau kalau kelas anda berselerak kerana ini menunjukkan kanak-kanak sangat aktif bekerja pada waktu tersebut. Setelah selesai aktiviti dilakukan maka aktiviti mengemas bolehlah dibuat. Mungkin ada setengah pentadbir tidak suka melihat kelas yang berselerak tetapi kita ada rasional kenapa ianya berlaku. Jelaskan apakah aktiviti anda hari itu dan saya pasti pihak pentadbir dapat memahaminya.

Selamat Mencuba!

Rabu, Ogos 13, 2008

Media untuk aktiviti menulis

Assalamualaikum
Terlebih dahulu saya mohon maaf pada Nor Azila kerana terpaksa menjawab email yang diberi menggunakan entri di blog ini. Tujuan saya ialah supaya rakan-rakan guru lain boleh mendapat info juga...

Saya terima email dari NOR AZILA BINTI MUSA
yang dihantar pada Ahad, 10 Ogos, 2008 11:36:10

Assalammualaikum, saya ingin mengetahui selain daripada mengajar kanak-kanak prasekolah menggunakan tanah liat dan gambar. Apa lagi alat yang digunakan untuk mengajar menulis kanak-kanak prasekolah ?

Jawapan:
Sebenarnya ada banyak media yang boleh digunakan selain tanah liat untuk mengajar kanak-kanak menulis. Antara bahan yang boleh digunakan:
1. Kolaj dari bahan masakan - kekacang
2. Pasir
3. Stamp pad - guna cap jari
4. rubber stamp
5. alam semulajadi - daun, ranting kayu, kerang, siput, penutup botol,
6. huruf-huruf blok
7. menekap huruf-huruf yang sudah dilaminate menggunakan white board marker
8. guntingan huruf surat khabar
9. gumpalan kertas, kapas
10. stensil

Pendek kata apa sahaja bahan yang boleh dilekatkan pada kertas boleh digunakan sebagai media untuk menulis. Anda ada bahan lain selain dari yang telah saya senaraikan? Sila masukkan komen anda di sini. Terima kasih atas maklumat yang bakal anda berikan.


Jumaat, Ogos 08, 2008

Origami Ikan Mas

Minggu ini saya menemui semula buku origami ikan mas yang sudah 4 tahun berbakti di kelas ini. Walaupun sudah hampir ke penghujung tahun, namun saya masih seronok menghias kelas kerana bila saya seronok, murid-murid juga akan seronok kerana berada di kelas yang ceria. Betul tidak? Saya memasang mobile huruf Jawi. Saya puas mencari font Jawi percuma di internet tapi tidak berjaya. Oleh itu saya menggunakan huruf yang dicap dari rubber stamp sahaja pada kertas manila. Lihat hasil kerja saya...

Tarikh Keramat

Assalamualaikum
Jumaat, 8 Ogos 2008

Tarikh ini cantik betul dan hari ini ada satu perubahan besar yang berlaku di kelas. Muhammad Amir Aiman telah berada di kelas ini sejak tahun lepas. Setiap hari kerjanya adalah berjalan mengelilingi kelas. Sebagai bekas seorang guru Pendidikan Khas, saya dapati Aiman mempunyai ciri-ciri kanak-kanak autisme. Dia suka bersendiri dan sering ketawa seorang diri sambil menggigit kukunya atau jari-jarinya. Sukar untuk menyuruh Aiman duduk. Selama ini saya terpaksa membiarkan Aiman mundar-mandir di kelas. Apa yang mengejutkan walaupun tidak pernah membuat latihan yang diberikan Aiman kenal semua abjad dan nombor. Saya pernah memaklumkan bahawa Aiman ada mengalami masalah pembelajaran kepada ayahnya namun baru tahun ini ayahnya dapat menerima apa yang saya katakan hanya setelah dipanggil oleh jururawat dan doktor yang datang ke sekolah. Saya maklumkan kepada ayahnya bahawa satu hari kelak Aiman boleh pulih cuma dia perlukan guru khas untuk membimbingnya keluar dari dunianya.

Minggu ini Aiman memang membuatkan saya dan ustazah Mazliah terkejut. Selasa lepas Aiman dengan lancarnya membaca Surah An-Nas sehingga ustazah Mazliah menciumnya secara spontan kerana benar-benar terkejut. Aiman yang kadang-kala seakan-akan kanak-kanak pekak bila dipanggil dapat membaca buku Iqra dengan lancar. Wow!.


Awal bulan ini dia sudah mahu beratur mengambil kertas lembaran yang diberi kepada semua murid. Dia mengambil kertas dan mewarnakannya tapi sekerat jalan sahaja. Tetapi hari ini Aiman membuat kejutan lebih besar lagi. Perangainya tiba-tiba berubah secara drastik. Dia telah berjaya menyiapkan lembaran kerja Bahasa Melayu dengan menjawab semua soalan yang diberi dengan betul. MasyaAllah... gembiranya hati saya sehingga menitiskan airmata melihat perubahan Aiman. Dia duduk dengan tekun di sebelah Audah Fateha, menjawab semua soalan yang diberi dan mewarnakan gambar!

Sewaktu pulang saya memaklumkan kepada ayah angkat Aiman apa yang berlaku. Saya mendoakan semoga Aiman akan berjaya satu hari kelak keluar dari dunia autismenya. Perubahan ini diharapkan akan berkekalan hendaknya.

Hari ini juga Shafaat, seorang murid yang sering tidak hadir ke sekolah telah juga memeranjatkan saya. Ya Allah, Jumaat ini banyak rahmat yang diturunkan. Buat kali pertamanya Shafaat telah menyiapkan semua tugasan yang diberi dengan sempurna. Sewaktu ayahnya datang, saya memaklumkan apa yang berlaku. Rasa seronok terpancar dari senyuman ayahnya. Saya ke warung ibu Shafaat dan memberitahu apa yang berlaku sewaktu pulang dari sekolah. Saya rasa gembira sangat bila melihat perubahan murid-murid saya. Kalau tahun lepas, Illyani, sepupu Shafaat mula meminta untuk membuat kerja yang saya beri pada 1 April, kini Shafaat juga telah menunjukkan perubahan sikap walaupun lewat 4 bulan dari Illyani. Dia dan Aiman baru menunjukkan kesediaan untuk belajar. Seronoknya melihat perubahan ini. Semoga Allah akan terus membuka pintu hati kedua-duanya untuk terus berjaya.

Bagi anda rakan guru yang masih punya murid yang masih tidak mahu belajar, janganlah mudah berputus asa. Berdoalah dan lakukan usaha untuk membantu murid tersebut sebagaimana anda berusaha untuk memajukan anak atau adik sendiri. Yakinlah bahawa usaha ikhlas anda pasti akan membuahkan hasil. Temuilah ibu bapa murid tersebut untuk membincangkan kelemahan anak mereka dan jangan lupa untuk memuji kemajuan anak-anak mereka. Bagi saya, biarpun perubahan itu sedikit, saya tetap akan maklumkan kepada ibu bapa murid bahawa usaha mereka dan usaha saya telah mula menunjukkan perubahan. Kejayaan murid adalah kepuasan seorang guru. Ganjaran Anugerah Khidmat Cemerlang tolak tepi. Hmm... mungkin anda semua akan terkejut kalau saya katakan bahawa sejak berkhidmat 20 tahun lalu saya TIDAK pernah menerima anugerah tersebut. Apa yang penting bagi saya adalah kepuasan bila melihat kejayaan murid-murid saya. Tiada anugerah yang ingin saya minta cuma sekadar ucapan ikhlas dari mereka TERIMA KASIH CIKGU .... cukuplah!.

Khamis, Ogos 07, 2008

Blog Prasekolah

Assalamualaikum,
Kepada guru-guru prasekolah dan pembaca yang setia ( hmm...adakah pembaca setia blog kelas ini? ). Hari ini saya ingin berkongsi ilmu dengan anda semua di mana anda boleh melayari blog kelas prasekolah yang ada di Malaysia ini untuk menambahkan ilmu. Semoga dengan perkongsian maklumat ini dapat membantu anda memahami konsep dan prinsip serta kaedah pelaksanaan kelas prasekolah yang ada di Malaysia...

Prasekolah SK Titom

SK Titom terletak di pedalaman Daerah Lipis, Sekolah yang hanya dihubungkan dengan menggunakan motosikal atau berjalan kaki. Perjalanan dari Bandar Lipis ke RPS Betau melalui jalan bertar selama 2 jam,kemudian RPS Betau Ke simpang Lenjang melalui jalan balak selama 2 jam mengikut keadaan jalan dan cuaca jika cuaca hujan atau jalan licin mengambil masa antara 2-4 jam). Simpang Lenjang ke SK Titom melalui denai yang dibina oleh guru serta masyarakat setempat berukuran 3 kaki lebar sepanjang 17 km merentasi 2 buah jambatan yang dibina dari buluh dan batu serta melalui lereng bukit yang hanya boleh dilalui motosikal atau berjalan kaki jika cuaca dan keadaan jalan tidak mengizinkan(jika hujan motosikal tidak boleh melalui jalan berkenaan) menambil masa 1 hingga 3 jam perjalanan (mengikut keadaan cuaca).

Kelas yang ceria walaupun terletak di daerah pedalaman Negeri Pahang. Prasekolah ini telah dibuka pada tahun 2006 dimana seramai 25 murid orang asli telah mendaftar. Kelas Prasekolah yang semua kelengkapanya serba kekurangan terus operasi seperti kelas prasekolah di sekolah biasa. Walaupun masih baru, prasekolah ini telah menerima banyak kunjungan dari Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Pejabat Pelajaran Daerah Lipis, Pusat Sumber Negeri Pahang, Nazir Negeri Pahang, Nazir Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Jelai), Pengelaras Prasekolah Daerah Lipis dan banyak lagi. Suasana kelas yang ceria dan kondusif meransang murid prasekolah untuk aktif dalam P&P. Kelas yang ceria dan guru yang inovatif telah mewujudkan suasana yang baru bagi sekolah ini. Aktiviti yang kreatif membawa impak kehadiran ke sekolah, dimana kehadiran secara puratanya kesekolah 80% setiap bulan. Sesuatu yang baik bagi sekolah ketegori pedalaman (sk Orang asli). Guru yang masih baru ditempatkan tetapi menunjukkan minat yang baik dimana telah menguasai serba sedikit Bahasa Semai memudahkan P&P berjalan. Seperti kebiasaannya kanak-kanak orang asli bagi sekolah pedalaman tidak menguasai bahasa melayu menyukarkan komunikasi antara guru dan murid. Maka dengan ini guru perlu menyiapkan diri dengan pengusaan bahasa semai untuk arahan mudah. Cara pengajaran juga diubah mengikut kesesuaian murid. Dimana guru telah mengajar mengeja, membaca dan mengenal huruf dengan menggunakan bahasa semai. ( Ejaan bahasa semai sama dengan ejaan bahasa melayu) contoh KA LOK (KV + KVK) bermaksud tidak tahu. Konsep yang sama namun perlaksanaan yang berbeza. Pengajaran dengan menggunakan benda yang dekat dengan mereka, mudah difahami.Apabila mereka sudah mahir ia ditukarkan ke bahasa melayu dan menunjukkan peningkatan yang baik dan mudah difahami. Dengan adanya kelas Prasekolah ini menunjukkan perubahan dimana murid tahun satu keluaran Prasekolah lebih baik dari segi pembelajaran,emosi, fizikal, rohani and jasmani serta kebersihan. Jika hendak dibandingkan murid tahun 1 (keluaran prasekolah) dengan tahun 2 (tanpa prasekolah) jelas tahun 1 (2007) lebih baik. Ujian program KIA2M Dan G26(daerah lipis) menjadi kayu ukurnya. Ketersediaan murid untuk ke alam persekolahan (tahun 1) lebih baik jika hendak dibandingkan dengan murid yang tidak melalui kelas prasekolah.
Maka tidak hairanlah kehadiran prasekolah ini menjadi penyumbang kemenangan Sekolah dalam Anugerah Sekolah Harapan Negara Kategori Pedalaman Negeri Pahang pada tahun 2006 dan 2007.
Bacaan lanjut : http://da-titom.blogspot.com atau di sini