Saya suka blog ini

Khamis, Januari 25, 2007

25 Januari 2007

Semalam aku tidak sempat mencatat di ruangan ini sebab setiap Rabu, pihak pentadbiran akan mengadakan mesyuarat guru. Selesai sahaja mesyuarat dah pukul 2.00 petang. Aku berkejar balik untuk memasak kerana anak bongsuku kena ke sekolah agama sebelum pukul 3.15 petang. Hari ini aku masak sardin sahaja (sardin bantuan banjir). Oleh kerana keletihan, aku tidak sempat menghantar anak perempuanku yang tengah ke sekolah untuk menjalani latihan merentas desa (sedangkan minggu depan dia dah nak ke SM Sains Muar) lantas dia merajuk dan menangis sepanjang petang itu. His geram juga tengok sikap dia yang terlalu ghairah sangat nak sertai merentas desa walhal minggu depan sudah nak berhenti dari SMK Tun Habab. Bercerita tentang banjir teringat aku foto yang diambil semasa lawatan Pak Lah ke SKDUA minggu lepas. Baru hari ini aku memperoleh foto-foto tersebut untuk tatapan pembaca yang telah menghantar email kepadaku (nak tengok bukti lah tu...ingat aku temberang ke?) Nah, ini dia.


Sewaktu menyerahkan pen kepada Pak Lah, tangan aku menggeletar. Maklum kali pertama berdepan dengan pemimpin nombor satu negara. Lidah kelu untuk berkata-kata. Mujur ada Guru Besar. Malah apabila Pak Lah bertanya tentang nama sekolah, aku masih terpacak kaku. Datuk Syed Hamid Albar menjadi penyelamat bila dia menerangkan siapa Datuk Usman Awang.


OKlah kita tinggalkan dulu kisah banjir. Aku ingin mencatat diari sepanjang dua hari ini di kelasku. Tema minggu ini adalah keluarga. Sepanjang minggu kanak-kanak akan menonton tayangan VCD berjudul Families terbitan Walt Disney (Magic English) dan You Can Read bagi sesi Bahasa Inggeris. Antara lagu yang kanak-kanak minati ialah:

1, 2, 3 We are happy
1, 2, 3 We're a family
1, 2, 3 We are happy
1, 2
1, 2, 3

Aku mengajak kanak-kanak berbual mengenai ahli keluarga mereka. Maka keluarlah lagu :

Bapaku Pulang
Bapaku pulang dari Kota
Bapaku belikan kereta
Kereta kecil warna merah
Boleh kubawa ke sekolah

Pon, pon, pon,
Pon, pon, pon,
Pon, pon, pon,
Kereta kecil kuberbunyi
Marilah adik, mari naik
Boleh kubawa jumpa nenek.

Apabila tersebut sahaja cerita nenek, aku teringat lagu berikut. Anda boleh klik pada tajuk lagu untuk mendengar lagu tersebut.

Burung kakak tua
hinggap di jendela
nenek sudah tua
giginya tinggal dua

letchum, letchum
letchum hu la la
letchum, letchum
letchum hu la la
letchum, letchum
letchum hu la la
burung kakak tua.

Selain itu kanak-kanak akan bercerita tentang bilangan ahli keluarga mereka dan mengira menggunakan jari. Aku lantas teringat lagu berkaitan jari di saat ini:

Mana Jari
(Where is thumbkin)
jari ibu, jari ibu
di mana?
di sini.
apa khabar kamu?
saya khabar baik
sembunyi
sembunyi.

jari telunjuk, jari telunjuk
di mana?
di sini.
apa khabar kamu?
saya khabar baik
sembunyi
sembunyi.

jari hantu, jari hantu,
di mana?
di sini.
apa khabar kamu?
saya khabar baik
sembunyi
sembunyi.

jari manis, jari manis
di mana?
di sini.
apa khabar kamu?
saya khabar baik
sembunyi
sembunyi.

jari kelengkeng,jari kelengkeng
di mana?
di sini.
apa khabar kamu?
saya khabar baik
sembunyi
sembunyi.

Versi Bahasa Inggeris:

(Start with hands behind back)

Where is thumbkin?
Where is thumbkin?

Here I am
(Bring right hand to front,
with thumb up)

Here I am.
(Bring left hand to front,
with thumb up)

How are you this morning?
Very well, I thank you.
(Wiggle thumbs as if they're
'talking' to each other)

Run away
(Hide right hand behind back)

Run away.
(Hide left hand behind back)

Where is pointer?
Where is pointer?

Here I am
(Bring right hand to front,
with index finger up)

Here I am.
(Bring left hand to front,
with index finger up)

How are you this morning?
Very well, I thank you.
(Wiggle fingers as if they're
'talking' to each other)

Run away
(Hide right hand behind back)

Run away.
(Hide left hand behind back)

Where is tall man?
Where is tall man?

Here I am
(Bring right hand to front,
with third finger up)

Here I am.
(Bring left hand to front,
with third finger up)

How are you this morning?
Very well, I thank you.
(Wiggle fingers as if they're
'talking' to each other)

Run away
(Hide right hand behind back)

Run away.
(Hide left hand behind back)

Where is ring man?
Where is ring man?

Here I am
(Bring right hand to front,
with fourth finger up)

Here I am.
(Bring left hand to front,
with fourth finger up)

How are you this morning?
Very well, I thank you.
(Wiggle fingers as if they're
'talking' to each other)

Run away
(Hide right hand behind back)

Run away.
(Hide left hand behind back)

Where is pinkie?
Where is pinkie?

Here I am
(Bring right hand to front,
with pinkie finger up)

Here I am.
(Bring left hand to front,
with pinkie finger up)

How are you this morning?
Very well, I thank you.
(Wiggle fingers as if they're
'talking' to each other)

Run away
(Hide right hand behind back)

Run away.
(Hide left hand behind back)

Where is the family?
Where is the family?

Here we are.
(Bring right hand to front,
with all fingers showing)

Here we are.
(Bring left hand to front,
with all fingers showing)

How are you this morning?
Very well, we thank you.
(Wiggle fingers as if they're
'talking' to each other)

Run away
(Hide right hand behind back)

Run away.
(Hide left hand behind back)



Selasa, Januari 23, 2007

Izzat Zulhelmi


Hari ini tiba-tiba sahaja banyak perkara nak aku coretkan. Bermula dengan Aqilah, sekarang giliran Izzat Zulhemi pula. Dia mangsa banjir. Dua kali rumahnya dinaiki air dan di gelombang kedua ini, rumahnya ditenggelami hingga ke bumbung. Izzat merupakan kanak-kanak yang rajin. Jarang menimbulkan masalah cuma kalau tahun lepas dia sering disakat oleh rakan-rakannya. Maklumlah baru berumur 5 tahun. Cepat sangat meleleh airmatanya. Bila mula menangis, aku menggelarkannya "anak gajah" sebab orangnya kecil comel tetapi bila menangis suaranya besar dan lantang. Paling kelakar bila aku membawanya pulang selepas aktiviti luar. Sengaja aku melalui kawasan semak sambil bercakap dengannya, "Kalau Izzat nangis lagi, cikgu letak Izzat kat sini ya sebab kat sini untuk anak gajah." Dengan nada suara yang pelat dia kata" Tak kesyah!" ...huh melawan gak ya.

Apa yang menarik pada Izzat ialah dia berani mencuba walaupun pelat. Kalau menyanyi suaranya lantang sekali. Semangat ingin belajarnya sangat tinggi. Tulisannya cantik walaupun ketika berumur 5 tahun malah dia kupilih sebagai johan tulisan cantik kanak-kanak 5 tahun. Izzat memang budak yang baik cuma mudah menangis. Sudah dua hari sejak sekolah mula dibuka selepas banjir Izzat kurang sihat. Bibirnya pecah kerana terjatuh. Kakinya kelenjar. Jalan terdengot-dengkot. Kesian Izzat.

23 Januari 2007

Semalam aku tidak membuat catatan untuk blog ini sebab sibuk melayari blog orang lain. Lagi pun semalam memang aku rasa malas sangat nak menulis ditambah pula keletihan mengemas rumah selepas banjir melanda. Suasana di bandar Kota Tinggi ibarat tsunami. Cuma yang aku pelik selepas banjir, suasana di bandar sangat meriah. Jualan lelong begitu banyak. Orangramai berasak-asak membeli seolah-olah lupa penderitaan yang sedang dialami malah bank juga tidak beroperasi. Mungkin duit mereka ambil dari bank di luar agaknya. Mungkin mereka dari luar kawasan banjir. Huh...lelong sakan. Kain langsir yang mahal itu hanya dijual dengan harga RM4 semeter!.

Eh, ini bukan cerita sebenarnya hari ini. Itu sekadar info sahaja suasana pasca banjir. Apa yang menarik hari ini ialah berkaitan murid aku, Nuraqilah Adlina (murid tahun lepas) yang kini berumur 5 tahun sudah tahu menulis namanya sendiri. Kalau tahun sudah dia banyak menggunakan huruf Q dan L sahaja untuk menulis namanya. Seronok aku melihat perkembangan dirinya. Kalau tahun lepas, dia hanya melihat rakan-rakan lain belajar dan dia hanya menconteng semua kertas yang aku berikan. Perkembangannya agak lambat malah sangat merisaukan aku kerana takut disalah ertikan seolah-olah tidak mengajar pula. Tahun lepas Aqilah lebih banyak bermain dari melakukan aktiviti menulis. Dia masih belum menguasai kemahiran mewarna...nak dipaksa takut dia enggan pula ke sekolah tetapi tahun ini memang drastik perubahan dirinya. Sayang Qila!


Aqilah murid yang agak pendiam. Jarang mendengar suaranya. Kalau tahun lepas, dia hanya akan menarik bajuku jika mahukan sesuatu. Hanya apabila dengan rakan-rakannya dia akan mula bercerita sekali-sekala. Perkataan yang mula-mula aku dengar ialah apabila dia berbual dengan kawan-kawannya. “ Hey, hey, nama aku Aqilah Adlina” dengan penuh beremosi. Sewaktu ayahnya baru pindah ke Putrajaya kerana dinaikkan pangkat, Aqilah bercerita ayahnya beli kereta baru. Sedangkan itu hanya khayalannya sahaja. Awal sesi persekolahan tahun ini... kisah yang mencuit hatiku ialah bila aku memujinya. Dia lantas bercakap kepada kawan-kawannya “ Cikgu kata aku pandai tau!” dengan mimik muka yang lucu sekali. Telatah Aqilah memang menghiburkan. Dia tidak pernah menangis di kelas sepanjang tahun walaupun waktu itu dia baru berumur 4 tahun. Itulah istimewanya Aqilah, seorang kanak-kanak yang comel dan menyenangkan mata memandang.

Ahad, Januari 21, 2007

Awal Muharam

Di kesempatan ini, saya dan murid-murid prasekolah SK Datuk Usman Awang ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1428. Semoga anda semua beroleh kejayaan dunia dan akhirat. Amin.

HIKMAH MEMBACA DOA AKHIR TAHUN HIJRAH

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini (3 kali pada waktu Asar), maka syaitan akan berkata:"Hampalah kami di sepanjang tahun ini".

DOA AKHIR TAHUN



Bismillahirrahmanirrahim

Maksudnya: Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Ya Allah! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

HIKMAH MEMBACA DOA AWAL TAHUN HIJRAH

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini (3 kali pada waktu Maghrib) InsyaAllah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

DOA AWAL TAHUN

Bismillahirrahmanirrahim

Maksudnya: Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Ya Allah Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Jumaat, Januari 19, 2007

Catatan Seminggu 13 - 19 Januari 2007

Sejak Sabtu aku tidak boleh online sebab ketiadaan bekalan eletrik dan talian telefon di rumah. Lagipun hujan lebat telah menyebabkan Kota Tinggi ditenggelami air. Rumahku juga tidak terkecuali. Air naik melebihi 2 kaki. Sekolah Datuk Usman Awang telah dijadikan pusat pemindahan banjir. Aku turut mendaftar di situ tetapi memilih untuk menginap di rumah orangtuaku di Kampung Lukut. Melihat air naik ke rumah selepas Solat Asar ( aku pulang ke kampung sebelum solat Zohor untuk memindahkan semua barang-barang ) airmata terus mengalir tanpa dipaksa. Aku terpaksa mengangkut barang-barang dari rumah ke rumah orangtuaku sebanyak 5 kali. Kebanyakannya adalah buku-buku (hingga ke saat ini buku-buku itu masih aku tinggalkan di rumah orangtuaku kerana fobia). Aku hanya mampu memetik keratan berita dari akhbar Berita Harian untuk dijadikan kenangan bersama. Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi datang ke Kota Tinggi turut memberi kenangan manis kerana aku telah diarahkan untuk menyambut beliau di meja buku pelawat. Gambar-gambar kenangan itu akan aku upload minggu hadapan kerana aku hanya akan berjumpa jurugambar berkenaan bila waktu sekolah dibuka. Sebenarnya sekolah telah ditutup sehingga Isnin depan!... cuti yang tidak menyeronokkan.

Berikut petikan dari Berita Harian yang telah kusunting semula khusus membincangkan banjir di Kota Tinggi.

Isnin, 15 Januari, 2007:

LUMPUH: Keadaan jambatan yang merentangi Sungai Johor ditenggelami air
yang memutuskan hubungan Kota Tinggi dengan Johor Bahru
dan Mersing, semalam.

Lebih 100,000 orang dipindahkan di semua lapan daerah sehingga malam tadi dalam banjir kali kedua di Johor – angka tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah bencana itu di negara ini.

Hujan lebat tidak berhenti di seluruh negeri yang dijangka berterusan sehingga Rabu ini menjadikan bencana itu semakin teruk dan lebih buruk berbanding banjir pertama melanda Johor 19 Disember lalu dengan 80,000 orang dipindahkan.

Sehingga jam 8 malam semalam, 101,680 penduduk dipindahkan akibat banjir yang bermula empat hari lalu. Sejumlah 30 jalan utama di seluruh negeri tidak boleh dilalui semua kenderaan, manakala Kota Tinggi, Tenggara, Mersing dan Segamat hanya boleh dihubungkan menggunakan helikopter.

Daerah Kota Tinggi paling teruk terjejas apabila seluruh kawasannya ditenggelami air akibat menerima jumlah hujan luar biasa sepanjang empat hari lalu iaitu lebih 600 milimeter (mm), berbanding purata tidak sampai 100 mm sehari biasanya.


DEMI KESELAMATAN: Mangsa banjir dibawa dengan bot melalui kawasan
pekan Kota Tinggi ke tempat lebih selamat.

Hujan lebat menyebabkan paras kandungan air dalam tanah mencapai tahap tepu dan tidak lagi mampu menyerap air, manakala paras semua tasik, sungai, parit dan empangan terus meningkat sekali gus memberi isyarat keadaan boleh bertambah buruk.

Malah, antara jam 8 hingga 11.30 pagi semalam, seluruh daerah Kota Tinggi terputus bekalan apabila pencawang elektrik yang membawa talian 132 kiloVolt (kv) hampir tumbang dihanyutkan arus.


Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohammad Mokhtar Mohd Ali, berkata bekalan elektrik di daerah berkenaan dipulihkan selepas talian itu dialihkan ke menara sementara.

“Bagaimanapun, kira-kira 30 peratus daerah Kota Tinggi, khususnya di bandar masih tidak mempunyai bekalan kerana 71 pencawang elektrik kami ditenggelami air,” katanya.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor (SAJ) Sdn Bhd, Jamaluddin Jamil, berkata secara keseluruhannya bekalan air bersih di seluruh negeri masih berada dalam keadaan stabil.

Selasa, 16 Januari, 2007:

Daerah Kota Tinggi yang paling teruk dilanda banjir kali kedua di negeri ini, lumpuh apabila pejabat kerajaan, swasta dan premis perniagaan ditenggelami air menyebabkan semua urusan terpaksa dihentikan.

Sehingga semalam, bandar Kota Tinggi hanya boleh dimasuki dengan bot atau helikopter kerana paras air banjir yang dalam, malah sehingga mencecah tingkat dua deretan rumah kedai di sesetengah kawasan akibat limpahan air Sungai Johor yang memutuskan hubungan daerah itu dengan Johor Bahru dan Mersing.

Operasi Hospital Kota Tinggi (HKT) pula terhad kepada perkhidmatan pesakit luar dan hanya bergantung kepada bekalan elektrik dari set generator yang disediakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pesakit yang dimasukkan ke wad hospital itu. dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Panglima 3 Divisyen Tentera Darat, Datuk Zulkifeli Mohd Zain, menyifatkan keadaan di Kota Tinggi amat buruk dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila sebuah bandar ditenggelami air sehingga lebih lima meter.

Seramai 98 pegawai dan anggota dengan 12 bot tempur serta 15 trak ditempatkan di Kota Tinggi sejak Khamis lalu bagi membantu menyelamat dan memindahkan penduduk.


TERJEJAS: Pemandangan bandar Kota Tinggi yang tenggelam
dilimpahi air banjir selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu.

Jalan yang masih ditutup ialah KM32 Bandar Tenggara, KM24 Jalan Kota Tinggi-Kulai, KM 26 Kota Tinggi-Kulai berdekatan Sungai Telor, KM40 Kota Tinggi-Johor Baharu di Kampung Batu 23, Jalan Tun Sri Lanang di Bandar Tenggara, KM 24 Jalan Mawai di Jalan Tun Habab dan KM 68.8 Jalan Kota Tinggi.

Rabu, 17 Januari, 2007:


TINJAU: Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi
diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman
menaiki bot tentera melihat sekitar bandar
Kota Tinggi yang ditengelami air, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang meninjau kawasan banjir serta melawat mangsa di beberapa pusat pemindahan di Kota Tinggi dan di sini semalam, mengingatkan penduduk supaya mengambil suntikan pencegahan penyakit yang diberikan pihak berkuasa.

Keadaan banjir di Kota Tinggi juga semakin pulih dengan beberapa jalan sudah boleh dilalui kenderaan, walaupun pusat bandar ini masih digenangi air sedalam satu meter.

Jalan yang masih ditutup di Kota Tinggi ialah kilometer (KM) 24 Jalan Mawai-Sedili, KM40 Kota Tinggi-Johor Bahru, KM23 Jalan Ulu Tiram-Kota Tinggi, KM32 Bandar Tenggara-Kulai, KM33 dan KM56 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi.

Khamis, 18 Januari, 2007:


KESAN BENCANA: Nurainul Nadira Isa ,13, bersama
ahli keluarganya membersihkan rumah mereka selepas
air mula surut di Kota Tinggi, semalam.

Ketika ramai mangsa banjir kali kedua, terutama di Johor, mula pulang ke rumah selepas air di kebanyakan kawasan semakin surut, semalam, kerajaan mengumumkan lagi bantuan tambahan bagi meringankan beban penduduk terbabit. Bantuan itu termasuk bekalan makanan asas seperti beras, minyak, susu dan sardin selama sebulan serta keperluan membersihkan rumah meliputi baldi, penyapu dan mop.

Pengarah Direktorat Pengurusan Krisis dan Bencana Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Che Moin Umar (gambar), yang dihubungi Berita Harian di Putrajaya, berkata bantuan makanan asas itu dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mangsa yang pulang ke rumah.

“Jumlahnya bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga atau bilangan anggotanya," katanya.

Sehingga petang semalam, kira-kira 15,000 mangsa banjir di seluruh Johor pulang ke rumah masing-masing dengan 100 pusat pemindahan ditutup. Bandar Kota Tinggi yang ditenggelami air sehingga lima meter sejak tiga hari lalu, juga beransur pulih.



AGIH BANTUAN: Exco Johor, Datuk Halimah Sadique dan
Datuk Baderi Dasuki (kanan) membungkus telur untuk
mangsa banjir di Kota Tinggi, semalam.

Sehingga 5 petang semalam, 75,394 mangsa banjir masih ditempatkan di 226 pusat pemindahan di Johor dengan Batu Pahat masih mencatat jumlah tertinggi, iaitu 45,994 orang diikuti Kota Tinggi (13,882); Segamat (4,593); Kluang (3,938); Mersing (3,010) dan Johor Bahru (834).

Abdullah yang turut meninjau kawasan banjir di Kota Tinggi, kelmarin, juga mahu pengagihan apa jua bentuk bantuan mesti diselaraskan supaya diterima mangsa terbabit. Beliau berkata, mesyuarat Kabinet pagi semalam turut membincangkan masalah banjir di Johor serta Pahang dan keputusan dibuat bagi memastikan semua mangsa banjir diberi bantuan sewajarnya. "Kita juga putuskan supaya semua bantuan yang diberi dilakukan dengan adil dan saksama," katanya.

Ketika berucap di SMK Penghulu Saat pula, Abdullah berkata, wang ihsan RM500 akan hanya diberi selepas mangsa kembali ke rumah bagi memastikan bantuan itu digunakan sebaik mungkin untuk membeli barangan keperluan masing-masing. Abdullah turut mengakui masih terdapat bantuan yang belum sampai kepada mangsa banjir, tetapi beliau sudah memberitahu Abdul Ghani supaya mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan pengagihan bantuan itu.

Jumaat, 19 Januari, 2007:


TIADA PILIHAN: Penduduk menaiki sampan untuk keluar
mendapatkan bekalan, selain menjaga keselamatan
kediaman mereka di Kampung Mawai, Kota Tinggi.

Umno Bahagian Tenggara yang diterajui Ketua Bahagiannya, Datuk Halimah Mohd Sadique dan timbalannya, Datuk Baderi Dusuki 'berkampung' bagi memastikan semua mangsa banjir dalam kawasan Parlimen itu mendapat perhatian sewajarnya. Sumbangan barang keperluan terutama makanan dari luar sama ada orang perseorangan atau syarikat, memerlukan pengagihan segera perlu kepada mangsa banjir terutama di pusat pemindahan.

Bagaimanapun, masih ada penduduk dua kampung yang terjejas teruk akibat banjir di Kota Tinggi iaitu Kampung Kelantan dan Kampung Panti yang memerlukan sumbangan disalurkan terus ke rumah mereka. Misalnya, di Kampung Kelantan yang air naik mencecah enam meter, musnah sama sekali, tetapi ada beberapa rumah terus diduduki penghuninya yang bimbang keselamatan rumah dan barangan mereka. Jadi, sudah tentu sumbangan perlu disalurkan kepada mangsa banjir ini yang mungkin kebuluran jika tiada pihak peduli nasib mereka ketika sibuk mengagihkan bantuan di pusat pemindahan. Individu ini sebenarnya, bertindak sebagai penjaga di kampung berkenaan, mengorbankan keselamatan mereka dan bagi Halimah adalah menjadi tanggungjawab Umno Tenggara supaya sumbangan terus disalurkan kepada mereka.


JALAN TUGAS: Ahli Jawatankuasa Bencana Banjir Umno Tenggara
mengangkut bekalan makanan ke dalam bot untuk dihantar
ke Kampung Kelantan, Kota Tinggi.

Melalui inisiatif Umno Tenggara, setiap hari rondaan dilakukan menggunakan bot penyelamat Bomba dengan menyusuri air banjir supaya agihan barang keperluan terutama sekali makanan dapat dilakukan. Ramai penduduk di dua kampung berkenaan tersentuh hati melihat dua Exco kerajaan negeri setiap hari menaiki bot mengagihkan barang keperluan. Antara barangan yang disalurkan kepada mangsa banjir berkenaan seperti roti, air mineral, susu tin, selimut dan tikar serta baju.

Halimah berkata, selain Kampung Kelantan, pihaknya menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk di Kampung Panti walaupun ia tidak dinaiki air. "Semua jalan perhubungan ke kampung ini (Kampung Panti) terputus, kecuali menggunakan bot, jadi sejak 12 Januari lalu, kami mengagihkan barangan keperluan menggunakan bot," katanya. Sekurang-kurangan tiga bot sarat dengan pelbagai barang keperluan termasuk lilin dan bateri diagihkan kepada 79 keluarga dengan jumlah mangsa lebih 200 mangsa banjir di Kampung Panti.

Bagaimanapun, usaha menyalurkan bantuan ini perlu diteruskan apabila banjir sudah pulih sepenuhnya kerana tempoh pascabanjir lebih sukar kepada mangsa yang hilang segala harta benda. Pengagihan barangan secara terus ini sebenarnya membuktikan pemimpin bersama-sama rakyat dalam mengharungi kesukaran dan kepayahan berikutan bencana alam yang paling buruk dalam sejarah Johor.

FAKTA:
Banjir di Kota Tinggi


  • Lebih 200 mangsa banjir di Kampung Kelantan terpaksa dipindahkan sebanyak dua kali pada 11 Januari lalu, antara jam 2.30 pagi dan 6 pagi selepas air naik hingga mencecah paras enam meter.

  • Penduduk kampung berkenaan ditempatkan di Dewan Jubli Intan, Kota Tinggi.

  • Penduduk kampung itu mula berpindah balik ke rumah mereka selepas banjir pertama surut pada 3 Januari tetapi terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan sembilan hari kemudian.
  • Jumaat, Januari 12, 2007

    12 Januari 2007

    Hujan turun tidak berhenti-henti. Hari ini Izzat Zulhemi, Mohamad Nazim, Mohamad Afif, Natasha dan Amir Nazrul Ezzad tidak hadir ke sekolah. Rumah mereka telah dinaiki air dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir. Kota Tinggi dilanda banjir lagi dalam masa tidak sampai sebulan. Aku turut rasa fobia dan sukar melelapkan mata setiap malam apabila sahaja mendengar hujan mencurah-curah. Di kawasan tempat tinggalku, kawasan di belakang taman perumahan ini telah dinaiki air sejak pagi tadi. Malah anakku juga tidak dapat ke sekolah kerana jambatan Kota Tinggi tidak dapat dilalui. Kalau tiada aral melintang, esok aku akan ke bandar untuk merakamkan suasana banjir untuk tatapan pembaca.

    Berbalik kepada suasana kelas, kira-kira pukul 8.00 pagi, ibu Mohd Irfan Zakri mengambilnya pulang kerana khuatir jalan untuk pulang ke rumah tidak dapat dilalui kerana air semakin naik. Beberapa orang guru juga tidak dapat hadir ke sekolah hari ini kerana terperangkap di kawasan yang dinaiki air. Suasana kelas agak sunyi hari ini kerana hero-hero yang ada di kelas tidak hadir hari ini. Terasa juga bila Nazim tidak datang kerana biasanya dialah yang sering mengingatkan kanak-kanak lain untuk segera menutup paip di sinki selepas mencuci tangan. Lucu betul budak tu. Dia akan menyuruh kanak-kanak lain menutup segera paip dengan berkata, "Nanti kena bayar banyak tau!". Nazim...walaupun baru berumur 5 tahun sudah tahu menilai kepentingan berjimat cermat dalam penggunaan air. Bila ditanya kepada ibunya, rupa-rupanya dia suka bermain air di rumah dan sering dinasihati ibunya dengan kata-kata sedemikian.

    Jika hujan berterusan sehingga Isnin, aku khuatir pembantuku tidak dapat hadir ke sekolah kerana rumahnya sejak malam tadi sudah dinaiki air. Aku sempat menghantar SMS kepada rakan guru yang tinggal tidak jauh dari rumahku yang tidak dapat ke sekolah kerana terputus jalan perhubungan. Khusairi, guru prasekolah dari SK Nam Heng meminta aku mengambilnya pada hari Isnin kerana motornya sudah kehabisan minyak. Oleh kerana dia sudah kuanggap seperti anak/adik sendiri, aku sedia membantu. Yang penting dia boleh membantu aku mengajar pada Isnin depan supaya aku boleh memasak makanan murid-muridku seandainya Rosmizana tidak dapat ke sekolah. Hujan, hujan...bilalah kau nak berhenti?

    Khamis, Januari 11, 2007

    Pemakanan Sihat

    Malam ini aku terbaca satu artikel berkaitan pemakanan sihat untuk kanak-kanak berusia 5 - 8 tahun. Apa ya makanan sihat tu? Alamak malaslah pula nak alihbahasa artikel itu ke Bahasa Malaysia. Anda baca dan terjemahlah sendiri ya.

    Whether you're off to the playground with the stroller, on a road trip to Grandma's, or flying to the Magic Kingdom, traveling with a child in tow means having food on hand. It's not your imagination that kids are hungry all the time: They take in their daily nutrition from snacks as well as meals, which is why it's a good idea to have healthy choices readily available wherever you go. Consider nutritious take-alongs like these:

    Fresh fruit cut in bite-sized pieces, including apple moons, sliced grapes, orange slices, and berries.

    Trail mix. The variety of textures keeps it interesting and fun, and you can tailor the blend to your child's tastes. Combine cereals (for fiber), nuts (for protein), pretzels, chocolate chips, and dried fruits (for energy). Be sure to pick items that are easy to eat with your fingers.

    Flavored popcorn. Sprinkle warm popcorn with paprika and Parmesan cheese, and package it in a brown paper sack. Or just pop it plain. If you'll have access to a microwave (when visiting at a friend's house, for example), bring a microwavable package .Look for a type that's low in heart-clogging hydrogenated fats.

    Muffins. Package carrot or fruit muffins in individual plastic bags. Add miniature chocolate chips to a basic muffin recipe, such as bran or zucchini, to increase the appeal of the good-for-you ingredients. Add a few tablespoons of wheat germ or a handful of oats to any batter to increase its fiber content in an undetectable way.

    Granola bars. They're less fatty than a candy bar. Plus, your child will get more fiber while still satisfying a sweet tooth.

    Rice cakes. Crunchy and fun.

    String cheese or cubed cheese. If you have a cooler or won't be away long, cheese provides calcium and protein. Add some whole-grain crackers for a satisfying mini-meal.

    Raisins. Sweetness, fiber, iron, and quick energy in each handful. What more could you ask? Single-serving boxes are easy to pack.

    Snack cookies such as animal crackers, fig bars, graham crackers, gingersnaps, or vanilla wafers. These low-fat, low-sugar treats can tide your child over until mealtime or serve as a stand-in for dessert.

    Raw veggies such as baby carrots or edamame. Serve them solo or with a yogurt dip, packaged together in a plastic container with separate compartments for dip.

    Cups of applesauce. Pick different flavors and blends for a satisfying low-fat source of fiber and vitamin C that tastes pleasingly sweet.

    Something to drink. Make it 100 percent juice or flavored water, a yogurt drink, or on a hot day, an energy drink such as Gatorade.

    11 Januari 2006

    Radin Muhammad Fathi Daei baru nak datang ke sekolah hari ini. Menurut ibunya sejak Selasa lepas Daei susah dikejutkan dari tidur. Sebut sahaja sekolah, dia terus menarik selimut ke muka. Kenapa dia tidak mahu hadir ke sekolah? Inilah persoalan yang menghantui diriku. Semalam aku mengirimkan tanda nama kepada ibu Daei untuk ditunjukkan kepadanya. Berjaya! Daei mahu ke sekolah pagi ini. Namun di bilik guru puas juga aku memujuknya untuk masuk ke kelas. Akhirnya ibu Daei terpaksa menunggu sehingga pukul 8.00 pagi sebelum aku mengumpan perhatiannya dengan meminta Daei menunjukkan bekas penselnya kepadaku. Sementara Daei menunjukkan apa yang ada di dalam begnya, ibu Daei menyusup keluar dari kelas. Selepas itu Daei sudah boleh bermain dengan rakan-rakannya.

    Hujan terus menerus sehingga ke tengahari. Sekejap lebat sekejap rintik-rintik. Aku bersoaljawab dengan kanak-kanak tentang diri mereka kerana minggu ini bertemakan Diri Saya. Sambil bersoaljawab tentang anggota badan kanak-kanak, aku selitkan lagu-lagu yang berkaitan. Antaranya:

    Angkatlah tangan kanan,
    Angkatlah tangan kiri,
    Goyangkan kaki kanan,
    Goyangkan kaki kiri.

    Aku meminta kanak-kanak menggayakan bagaimana seorang askar sedang berbaris untuk mengukuhkan konsep kanan dan kiri. Gamat juga kelas seketika. Bila berbual tentang gigi, kami menyanyikan lagu berkaitan gigi. Seterusnya berbual tentang kaki dan mata serta telinga. Hmm, lagu apa nak kaitkan ya? Bila berbual tentang mata, kanak-kanak kaitkan tentang kegunaan mata iaitu untuk melihat. Maka keluarlah cerita melihat banjir dan apa yang menyebabkan banjir terjadi. Aku lantas teringat lagu:

    Tanya sama pokok apa sebab goyang,
    Nanti jawab pokok, angin yang goncang,
    Tanya sama angin apa sebab goyang,
    Nanti jawab angin tanyalah awan.

    Awan nanti kata, aku kandung air,
    Sampai tempat teduh aku pun cair,
    Tengok dalam air nampak bayang-bayang,
    Campak satu batu bayang pun hilang.

    Aku juga teringat lagu Bangau Oh Bangau dan mengajak kanak-kanak sama-sama menyanyikannya:

    Bangau oh bangau,
    Mengapa engkau kurus?
    Macamana aku tak kurus,
    Ikan tidak timbul (2X)

    Ikan oh ikan,
    Mengapa kau tak timbul?
    Macamana aku nak timbul,
    Rumput panjang sangat (2X)

    Rumput oh rumput,
    Kenapa panjang sangat?
    Macamana aku tak panjang,
    Kerbau tak makan aku (2X)

    Kerbau oh kerbau,
    Kenapa tak makan rumput?
    Macamana aku nak makan,
    Perut aku sakit (2X)

    Perut oh perut,
    Kenapa engkau sakit?
    Macamana aku tak sakit,
    Makan nasi mentah.

    Nasi oh nasi,
    Kenapa engkau mentah?
    Macamana aku tak mentah,
    Kayu api basah (2X)

    Kayu oh kayu,
    Kenapa engkau basah?
    Macamana aku tak basah,
    Hujan timpa aku.

    Hujan oh hujan,
    Kenapa timpa kayu?
    Macamana aku tak timpa,
    Katak panggil aku.

    Katak oh katak,
    Kenapa panggil hujan?
    Macamana aku tak panggil,
    Ular nak makan aku.

    Ular oh ular,
    Kenapa nak makan katak?
    Macamana aku tak makan,
    Memang makanan aku (2X)

    Bila menyanyi lagu-lagu ini aku sering teringat zaman kanak-kanakku di akhir tahun 60an. Zaman masih dibelenggu kedaifan namun penuh keazaman untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Lagu Bangau oh Bangau banyak mengajar aku untuk tidak menyalahkan orang lain. Orang Melayu kena keluar dari konsep menyalahkan orang lain untuk terus maju dan bersaing dalam kehidupan ini. Ah dah melalut pula aku ni.

    Tepat jam 10.45 pagi, semua kanak-kanak pulang ke rumah. Hujan tetap mencurah-curah membuatkan aku lapar. Mujur ada lagi nasi lemak di dapur lebihan kanak-kanak pagi tadi. Makan sajalah apa yang ada. Nak ke kantin? Sudah lepas waktu sarapan ni... dah tak ada makanan di situ. Kalau nak minum air suam bolehlah. Baik aku menghirup Nescafe di kelasku yang masih panas tu. Sekurang-kurangnya panas sikit badan.


    Rabu, Januari 10, 2007

    10 Januari 2007

    Cuaca hari ini cerah. Tiada tanda hari akan hujan. Aku mulakan kelas dengan suasana yang paling ceria dan hari ini semua kanak-kanak juga ceria. Tiada seorang pun yang menangis sebab hari ini aku berikan tanda nama yang cantik itu kepada semua kanak-kanak. Seronok sungguh melihat keadaan mereka yang riang pagi ini.

    Sebagaimana biasa, aku mulakan sesi pembelajaran dengan aktiviti menyanyi. Nampaknya sepanjang minggu ini aku akan kenalkan kanak-kanak dengan lagu berkaitan hari supaya mereka ingat nama setiap hari yang ada dalam dwibahasa sambil menunjukkan bilangan hari:

    Isnin, Selasa, Rabu, Khamis,
    Jumaat, Sabtu, Ahad cuti.
    Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday,
    Friday, Saturday, Sunday holiday.

    Lagu ini aku ulang setiap hari supaya mereka ingat dengan lebih cepat. Dalam melodi yang sama aku ajar kanak-kanak menyanyi lagu "Anak Nabi" untuk mengukuhkan pengiraan hingga angka 7:

    Anak Nabi kita ada tujuh orang,
    Tiga lelaki, empat perempuan,
    Kassim, Abdullah, Ibrahim, Fatimah,
    Zainab, Rokiah, Umi Kalsom.

    Sambil itu aku juga bertanyakan bagaimana cara kanak-kanak menjaga kebersihan diri. Untuk itu kami menyanyikan lagu juga dalam dwibahasa:

    Ini cara gosok gigi,
    Gosok gigi, gosok gigi,
    Ini cara gosok gigi,
    Setiap hari.

    This is the way I brush my teeth,
    I brush my teeth, I brush my teeth,
    This is the way I brush my teeth,
    Early in the morning.

    Ini cara sikat rambut,
    Sikat rambut, sikat rambut,
    Ini cara sikat rambut,
    Setiap hari.

    This is the way I comb my hair,
    I comb my hair, I comb my hair,
    This is the way I comb my hair,
    Early in the morning.

    Sepanjang hari ini aku memberikan kanak-kanak latihan pratulis diselang-seli dengan aktiviti menyanyi dan bermain. Sewaktu hampir waktu pulang, aku mengajak semua kanak-kanak berkumpul di hadapan kelas untuk menyanyi lagu " Kalau rasa gembira ":

    Kalau rasa gembira tepuk tangan,
    Kalau rasa gembira tepuk tangan,
    Kalau rasa gembira, tandanya hati suka,
    Kalau rasa gembira tepuk tangan.
    ( Aku ulang dengan beberapa aksi lain)

    Tanpa aku sedari Afif rupanya ke tandas. Kebetulan pintu belakang kelas ditiup angin dan tertutup. Tiba-tiba aku terdengar suara kanak-kanak menangis. Rupa-rupanya Afif tidak dapat masuk ke kelas. Semua kanak-kanak pergi meninjaunya. Pucat sedikit rupa Afif kerana dia menyangka kami semua akan meninggalkannya di situ. Kerana tidak dapat membuka pintu, Afif menangis ketakutan. Afif! Afif!...itu pun jadi sebab untuk menitiskan airmata.

    Selasa, Januari 09, 2007

    9 Januari 2007

    Hari ini cuaca gelap walaupun jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Menurut ramalan cuaca banjir mungkin akan berulang kembali. Hati ini rasa cemas juga dibuatnya. Sungguhpun gelap dan hujan sepanjang hari, Aina tidak "hujan" lagi. Dia sudah boleh bermain dengan rakan sekelas dan membuat latihan yang kuberikan. Seronoknya tengok perubahan Aina hari ini. Sepanjang hari ini aku menunggu Hadi tiba untuk melihat hasil kad matrik yang dibincangkan semalam. Setelah petang iaitu jam 4.30 baru Hadi muncul di rumahku. Nah inilah hasilnya. Cantik bukan?


    Esok semua kanak-kanak akan mula memakainya dan aku menempah sekeping kad yang akan diletakkan di bakul setiap kanak-kanak. Latar belakang cendawan dan pepatung merupakan latar yang diambil dari ruang tema kelasku.

    Isnin, Januari 08, 2007

    8 Januari 2007

    Perhimpunan mingguan merupakan aktiviti pertama hari ini di sekolah. Cuaca baik pagi ini. Semua kanak-kanak beratur di barisan yang telah ditetapkan. Aku membetulkan barisan kanak-kanak dan tiba-tiba Aina dah berada di belakangku. Aduhai, anak manis kenapa ni? Nangis lagi. Ni betul-betul jadi anak angkat cikgu ni. Aku ke belakang, Aina dah berada di sisi dengan airmata dan hingus yang meleleh. Aku kembali beratur bersama kanak-kanak lain. Bila upacara bermula dan aku berjalan ke kelas untuk mengambil kamera, Aina terus meraung. Alahai anak emak...terpaksa aku cepat mencempung dan mendokong Aina lari dari kawasan perhimpunan untuk mengelakkan suaranya yang nyaring itu mengganggu acara ucapan guru bertugas pagi ini. Setelah suasana reda, aku membawanya kembali ke kawasan perhimpunan. Akhirnya aku terpaksa duduk di sisinya untuk mengelakkan suasana gamat dengan tangisan.

    Jam baru menunjukkan pukul 9.00 pagi. Adikku menelefon menyatakan Hadi (anak angkatnya...jadi anak angkatku juga. Aku rasa seperti anak-anak saudaraku yang lain!) akan datang untuk mengambil gambar kanak-kanak untuk dijadikan kad nama. Sementara menanti kedatangan Hadi, aku mengedarkan lembaran kerja untuk disiapkan oleh semua kanak-kanak. Tepat jam 9.15 pagi semua kanak-kanak beratur di pintu dapur untuk bersarapan pagi. Hari ini Rosmizana menyiapkan bubur makaroni campur jagung. Mmm...sedap!. Selesai sarapan, aku mengajak kanak-kanak menyanyi lagu "Rama-rama":

    Dari ulat jadi kepompong
    Tidur lena dalam kelongsong
    Cukup masa kepompong pecah
    Pom!
    Jadilah rama-rama yang indah.
    Rama-rama terbang melata
    Sungguh cantik dipandang mata
    Tapi sayang hidup tak lama
    Itulah kisah rama-rama.

    Pukul 10.00 pagi baru Hadi sampai. Puas juga dia melihat sekitar kelas untuk melihat lokasi yang sesuai untuk mengambil gambar kanak-kanak. Mujur sesi bergambar selesai sebelum kanak-kanak pulang ke rumah iaitu pukul 10.45 pagi.





    Lama juga untuk Hadi menyiapkan kad-kad itu. Aku balik lewat hari ini. Pukul 2.30 petang baru semuanya selesai. Inilah hasilnya. Esok aku akan mengedarkannya kepada semua kanak-kanak. Nak tengok? Tunggu esok okay!

    Jumaat, Januari 05, 2007

    5 Januari 2007

    Hari ini perjalanan kelas seperti biasa. Pada pukul 8.00 pagi semua kanak-kanak yang terlibat banjir dari kelasku telah dipanggil berkumpul untuk mengisi borang maklumat yang diperlukan oleh Pejabat Pelajaran Daerah. Aku meminta pembantu pengurusan murid untuk menguruskannya kerana aku perlu mengajar di kelas. Hari ini Radin Muhammad Daie sahaja tidak hadir kerana demam.

    Aina. Aina lagi? Aina menangis lagi pagi ini. Jadi aku membawanya ke SK Laksamana kerana aku perlu berjumpa guru kelas prasekolah di situ. Bukan jauh pun hanya sebelah pagar sahaja. Selepas berjalan di situ Aina mula tenteram.Aku mengajak semua kanak-kanak menyanyi dan mula mengedarkan kertas lembaran kerja. Aina mahu kertas itu disiapkan di rumah. Pagi ini aku ikutkan sahaja rentaknya. Bila aku tunjukkan "star" yang kulekatkan di kertas kanak-kanak lain, dia mula sibuk untuk mewarna kertas berkenaan. Alhamdulillah...Aina dah boleh bergaul dengan rakan sekelas.

    Hari ini aku ingat nak mengambil gambar kanak-kanak tapi malangnya bateri kamera digital pula meragam. Sebelum pulang aku membekalkan fail lembaran untuk kanak-kanak membuat kerja rumah sepanjang Sabtu dan Ahad ini. Aku benar-benar mengharap agar ibu bapa semua murid-muridku akan memberikan kerjasama untuk membantu anak mereka menyiapkan latihan pratulis yang kubekalkan itu. Di peringkat awal semasa mesyuarat majlis pemuafakatan ibu bapa, semua ibu bapa bersetuju untuk membeli buku kerja tetapi apabila Menteri Pendidikan mengeluarkan kenyataan bahawa buku kerja tidak dibenarkan bagi murid-murid peringkat bawah ni, aku terpaksa merujuk kepada Guru Besar yang mana akhirnya bersetuju supaya pembelian buku kerja dibatalkan. Hai nampaknya aku terpaksalah memfotostat buku-buku kerja yang ada untuk dijilid menjadi buku. Kalau beli buku nanti ada pula ibu bapa komplen, jadi aku staple kertas-kertas lembaran untuk menjadi buku. Rasanya bila buat macam ni tak salahkan? Hai entahlah... kalau rasa salah juga rasanya aku bakar je kertas-kertas tu nanti atau jual timbang!

    Sudah tiga hari sekolah dibuka, selama tiga hari tu juga aku dok terperap di kelas. .. tak sempat nak pergi sarapan pagi. Pada pukul 11.30 pagi selepas kanak-kanak balik, baru aku menjamah segelas Nescafe di kantin sekolah. Ya Allah, lapar dan penat. Makanan di kantin dah habis. Nampaknya kena minum air sahaja! Selepas minum (sarapan...kalau boleh diistilahkan...orang lain dah waktu makan tengahari ni! ) aku berjumpa Guru Penolong Kanan 1 bertanyakan siapakah yang akan mengajar Agama di kelasku. Jawapannya: Aku sendiri. Wow!, nak pitam aku rasa. Aku juga? Aku kini bergelar cikgu, teacher dan ustazah!. Huh...lepak. Kalau pembantu pengurusan murid tidak datang...mau tergolek aku kat kelas nanti. 3 jam non-stop! Ayo...aku boleh jadi guru super ni. Bersiap sedia untuk lapar sepanjang 3 jam setiap hari. Nampak gaya aku kena amalkan puasa je la lepas ni. Sabor je la...

    Beginilah nasib guru prasekolah agaknya. Semua nak dikejar dalam satu masa. Akulah guru Bahasa Melayu, English, Maths and Science teacher, guru muzik, guru pendidikan jasmani, ustazah bila tiba masa Pendidikan Agama Islam dan guru disiplin serta pengasuh kanak-kanak. Bayangkan berapa banyak bahan kena sediakan untuk 3 jam setiap hari? Nampak gaya aku kena balik ke zaman praktikum la...Semoga Allah berikan aku kekuatan untuk menghadapi situasi ini. Amin.

    Khamis, Januari 04, 2007

    4 Januari 2007

    Suasana kelas hari ini terkawal. Sejak mula loceng berbunyi Aina masih tidak boleh berpisah dengan ibunya. Pagi ini dia menangis lagi. Puas juga untuk memujuknya. Malah aku sempat mengugut untuk mengambil gambar Aina untuk ditunjukkan kepada ayahnya. Huh!, semakin dia marah dan menangis. Nampaknya hari ini tiada gambar Aina.

    Sebagaimana biasa, untuk menarik perhatian kanak-kanak aku mengajak mereka menyanyi lagu-lagu berkaitan dengan cerita yang kusampaikan pagi ini. Lagu-lagu berkaitan diri kanak-kanak dan bunyi-bunyi haiwan di sekeliling mereka. Setelah jam menunjukkan pukul 9.00 pagi, aku mengajak semua kanak-kanak untuk membuat aktiviti menulis. Rosmizana terus memujuk Aina dengan mengumpannya dengan alat permainan sementara ibu Aina menyusup keluar dari kelas sebaik Aina berpaling ke tempat lain. Setelah semua kanak-kanak lain selesai menyiapkan tugasan yang diberi, aku pun mengeluarkan "bintang" untuk diberikan kepada kanak-kanak yang dapat mewarna dan menulis dengan cantik. Sebaik melihat bintang itu, Aina mula menunjukkan minat untuk menumpukan perhatian kepada kertas yang kuberikan. dia mula mewarna dan menulis di bawah bimbingan Rosmizana. Akhirnya suara tangisan Aina mula berkurangan dan dia mula leka menyiapkan tugasan yang diberikan. Aina sudah boleh mula bergaul dengan rakan sekelas. Setengah jam sebelum balik, Aina mula teringatkan ibunya. Aku dan Rosmizana berasa lega kerana dia tidak lagi menangis cuma bertanya di mana ibunya berada. Tepat jam 10.45 semua kanak-kanak pulang ke rumah masing-masing.

    Akhirnya Aina dapat dipujuk!. Mudah-mudahan esok Aina akan bersemangat untuk datang ke sekolah lagi.

    Rabu, Januari 03, 2007

    Persekolahan 2007 Bermula

    Isnin, 3 Januari 2007: Sesi persekolahan 2007 bermula hari ini. Suasana hari ini amat meriah dengan tangisan anak-anak yang baru mengenal alam persekolahan. Tangisan silih berganti dan yang boleh digelar juara hari ini adalah Nur Aina Haziqah. Di peringkat awal pagi dia tidak menangis, tetapi apabila melihat Nafeesa Shahiza menitiskan airmata dia mula menangis dan muntah-muntah. Neneknya yang ada di luar kelas terpaksa masuk untuk membantu Puan Rosmizana kerana aku terlewat sampai ke sekolah akibat kereta mengalami kerosakan. Tangisan Aina berlarutan sehingga memaksa aku membawanya ke kantin selepas memancingnya untuk mengambil kertas lembaran kerja bagi membolehkan ibunya keluar balik ke rumah. Aku sangkakan tangisan Aina boleh reda, tapi rupa-rupanya ia semakin berlarutan menyebabkan dia muntah lagi.




    Sebenarnya aku telah mengenali dia sebelum sesi persekolahan bermula iaitu semasa ibunya datang mendaftarkan nama Aina. Aku pergi ke rumahnya dan kebetulan pula ayah Aina adalah bekas rakan sekerja sewaktu aku mengajar di SMK Laksamana dan makcik Aina adalah juga rakan sekolahku dulu. Inilah kali pertama sejak mengajar di kelas prasekolah aku mendapat murid yang sanggup menangis dan sukar dipujuk. Tangisannya hampir 3 jam!. Puas dipujuk malah hingga aku terpaksa mendokong Aina untuk mententeramkan hatinya.





    Kanak-kanak yang lain tidak menjadi masalah besar bagiku. Mereka seronok menonton tayangan video. Cuma apabila jam telah menjangkau ke pukul 10.00 pagi, suasana kelas mula murung. Ramai yang mula meninjau keluar kelas untuk memerhatikan ibu bapa masing-masing dengan mata yang mula berkaca. Puas juga ku ajak mendengar cerita dan menyanyi lagu-lagu untuk melupakan ingatan mereka terhadap rumah. Murid-muridku tahun ini ramai yang belum tahu menulis nama sendiri. Tepat jam 10.30 pagi, ibu bapa mula berkumpul di hadapan kelas. Agak kelam kabut sedikit kerana ada yang sudah berlari keluar untuk pulang.



    Jam 11.45 pagi baru semua kanak-kanak diambil oleh ibu bapa masing-masing. Malah ada bapa yang terlupa waktu anaknya pulang. Oleh itu aku dan Rosmizana terpaksa menunggu di pintu pagar sekolah hingga jam 11.45 pagi. Memang meletihkan hari ini.